Momen yang dapat dilihat di 6 buah negeri yang akan melangsungkan pilihanraya tidak berapa lama lagi amat luar biasa.
Program dan ceramah-ceramah PAS/PN mencatat kehadiran yang memberangsangkan sama ada dianjurkan di peringkat DUN mahupun peringkat negeri.
Inilah satu fenomena yang menjadi indikator kebangkitan rakyat.
Amarah rakyat terhadap kegagalan menguruskan ekonomi serta pembohongan demi pembohongan yang tidak bertepi oleh PMX seolah-olah bom jangka yang akan menggegarkan kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim.
Sebelum PRU15, memang sudah kelihatan pola sokongan terutamanya oleh golongan muda terhadap PN.
Namun situasinya tidaklah menyeluruh dan melibatkan semua peringkat masyarakat.
Tetapi kini, setelah lebih 6 bulan terbentuknya kerajaan PHBN, perubahan mood rakyat semakin nyata.
Setiap golongan tidak segan-silu lagi bersama-sama dengan kebangkitan rakyat ini.
Bukan sahaja di Terengganu, Kelantan dan Kedah malah di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sendiri menunjukkan trend peralihan sokongan rakyat kepada PN.
Persoalannya, dari mana dan bagaimanakah fenomena ini berlaku?
Sebelum PRU15 ahli dan penyokong UMNO percaya UMNO/BN akan mencapai kemenangan besar.
Naratif yang dicipta oleh Zahid Hamid dan klusternya dipercayai oleh kelompok besar akar umbi.
Mereka dilamunkan dengan 7 kemenangan berturut-turut dalam PRK sebelum itu.
Mereka menafikan kemenangan itu impak daripada pembentukan Muafakat Nasional dan sokongan PAS.
Mereka merasakan bahawa UMNO telah kembali kepada kekuatan sebenarnya.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menegaskan “No Anwar, No DAP’.
Tetapi apa yang berlaku dalam masa tiga empat hari sebaik selesai PRU15 ialah pengkhianatan Zahid Hamidi kepada ahli-ahli UMNO.
Apa yang berlaku adalah pelanggaran sumpah atas nama Allah; Wallahi, Watallahi, Wabillahi. Perbualan telefon antara ‘guru dengan murid’ yang dinafikan sebelumnya adalah munafik yang nyata.
Namun oleh kerana kuasa, akar umbi terimalah kerjasama dengan DAP asalkan dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan di Putrajaya.
Di sudut lain rakyat menantikan pelaksanaan agenda Reformasi yang sudah berpuluh-puluh tahun dilaungkan oleh Anwar dan PKR.
Rakyat yakin harga minyak, harga kereta dan kos hidup akan turun dengan adanya Raja Formula Rafizi sebagai Menteri Ekonomi.
Malangnya Reformasi tidak berlaku.
Anwarlah PM. Anwarlah juga Menteri Kewangan.
Rafizi sudah dilihat sebagai badut yang sedang ditertawakan.
Akhirnya, orang Melayu lari beramai-ramai ke PN.
Mereka mula mendekati PAS dan BERSATU.
Mereka tidak percaya lagi kepada UMNO selepas tokoh-toboh besar yang banyak berjasa kepada parti digantung dan dipecat sesuka hati.
Mereka melihat PN-lah sandaran baru perjuangan mendaulatkan agama dan bangsa.
Mereka yakin gandingan Tuan Guru Haji Hadi dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mengubah kemelut yang melanda bangsa dan negara sekarang.
Siapakah Melayu yang melakukan anjakan paradigma itu?
Siapakah Melayu yang menjadikan himpunan mega PN sekarang sebagai satu fenomena?
Itulah Melayu dari UMNO dan Melayu yang selama ini menjadi pengundi atas pagar.
Merekalah antara 2 juta ahli UMNO yang telah meninggalkan parti seperti disebutkan oleh Tan Sri Anuar Musa.
Beliau bukan beromong-omong kosong seperti Ahmad Maslan.
Sekarang rakyat telah melihat di lapangan bagaimana ahli dan penyokong UMNO sudah berada bersama-sama dalam perjuangan Perikatan Nasional.
Dengan 80% sokongan sekarang, PN hanya memerlukan 5% sahaja lagi untuk menggegarkan tiang seri Putrajaya.
Tak perlu bubarkan UMNO Bahagian.
Tak perlu bubarkan UMNO Cawangan.
Memadai diisi borang-borang keahlian.
Dua juta ahli telah meninggalkan kapal yang hampir karam.
Kehadiran mereka, kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.
Muafakat nasional terhasil jua; walaupun dengan cara yang berlainan.
BayangDiAir