Seorang pemimpin DAP Pulau Pinang menyerang seorang individu dipercayai pemimpin paling kanan dalam partinya, sambil menyifatkan amaran yang dilaungkan baru-baru ini mengenai “gelombang hijau” hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terhadap Perikatan Nasional (PN).
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata bahaya yang lebih besar bagi Pulau Pinang ialah “maharaja” tertentu, yang dibandingkan dengan seorang pemimpin komunis Cina.
“Istilah ‘gelombang hijau’ hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat.
“Kamu (pengundi) tak dapat ‘gelombang hijau’, kamu dapat Xi Jinping,” katanya dipetik Malaysiakini sebagai berkata, merujuk kepada presiden China yang terkenal sebagai pemimpin Parti Komunis China sejak 2013.
Beliau berkata senarai calon ditentukan oleh “maharaja” tertentu, sambil menambah ia memudaratkan demokrasi.
“Jika anda berada di Pulau Pinang, anda akan faham. Pulau Pinang adalah negeri barisan hadapan demokrasi Malaysia.
“Apa yang saya lakukan adalah demi kepentingan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang! Kami tidak memerlukan Maharaja di Pulau Pinang; kami perlu menggerakkan demokrasi!” tulis Satees dalam satu kiriman di Facebook.
Awal bulan ini, pengerusi DAP Lim Guan Eng mencetuskan kontroversi berhubung amarannya bahawa “gelombang hijau”, frasa yang digunakan oleh pemimpin parti itu untuk merujuk kepada pencapaian PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, akan menjejaskan kebebasan beribadat dan hak-hak orang bukan Islam.
Kenyataan itu mencetuskan beberapa laporan polis terhadap Lim.
Polis sejak itu berkata bahawa siasatan terhadap ucapan Lim hampir selesai tetapi setakat ini tidak mengumumkan jika beliau akan didakwa.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu, yang melepaskan jawatannya pada 2018 selepas berpindah ke Kabinet Persekutuan sebagai menteri kewangan, dikekalkan sebagai calon DAP Pulau Pinang, yang turut menyaksikan tujuh penyandang digugurkan termasuk timbalan ketua menteri P Ramasamy.