Peperangan antara kumpulan pejuang Palestin dan regim zionis Israel di Palestin sudah memasuki hari ke-10 dan belum ada satu pun tanda ia akan reda.
Malah terdapat tanda-tanda jelas peperangan ini akan merebak dengan begitu besar berikutan telah bermulanya pertempuran antara tentera Hizbullah dan tentera regim zionis Israel di utara Lubnan mahupun serangan roket dari arah Syria.
Lebih menguatkan tanda-tanda tersebut adalah kehadiran dua buah kapal pengangkut pesawat milik tentera laut Amerika Syarikat, USS Gerald R. Ford dan USS Dwight D. Eisenhower berserta kapal perang yang mengiringinya di Lautan Mediterranean berhampiran Palestin termasuk dua buah lagi kapal perang milik tentera laut Britain bagi menyokong dan membantu negara haram Israel.
Namun begitu ancaman daripada pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam peperangan ini sewajarnya lebih menggerunkan semua pihak terutamanya daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis mahupun Iran.
Walaupun dari satu sudut ancaman ini dilihat lebih kepada ingin mengelakkan peperangan ini daripada menjadi lebih besar tetapi ia sebenarnya mempunyai mesej dan maksud yang tersirat
Walaupun begitu, peperangan di Palestin khususnya di Semenanjung Gaza ketika ini sebenarnya mempunyai impak yang amat besar kepada kestabilan geopolitik di seluruh dunia, tidak hanya sekadar di Asia Barat mahupun secara khusus kepada Palestin kerana siapa sahaja yang “memenangi” peperangan ini akan mampu menentukan hala tuju dan masa hadapan geopolitik dunia.
“Pemenangnya” tidak hanya khusus kepada yang berperang ketika ini iaitu kumpulan pejuang Palestin yang berperang untuk membela nasib rakyat Palestin dan membebaskan bumi Palestin mahupun regim Zionis Israel yang berperang untuk mempertahankan bumi Palestin yang dijajahnya sekian lama tetapi juga proksi mahupun pendukung yang berada disebaliknya khususnya regim zionis Israel.
Hampir kecundangnya tentera regim zionis Israel pada awal peperangan ini sebenarnya amat mengejut dan menakutkan Barat khususnya Amerika Syarikat.
Tiada siapa menyangka sebegitu lemah keadaan pertahanan tentera regim zionis Israel yang dipropagandakan begitu hebat di mata dunia hanya dengan serangan mengejut oleh 2,000 orang kumpulan pejuang Palestin.
Oleh itu dikhabarkan setelah diteliti keadaan semasa dan senario yang bakal berlaku daripada peperangan ini oleh pakar ketenteraan dan “think tank” Barat, maka keputusan dibuat untuk menghantar seberapa segera bantuan ketenteraan kepada negara haram Israel mahupun pasukan sokongan daripada tentera laut Amerika Syarikat mahupun Britain untuk “menggertak” kumpulan pejuang Palestin dan pendukungnya.
Ramai penganalisa geopolitik mahupun ketenteraan dunia pada awalnya hairan dengan tindakbalas Amerika Syarikat dan Britain menghantar armada tentera laut yang besar ke Lautan Mediterranean bagi menyokong dan membantu negara haram Israel namun setelah beberapa ketika barulah kelihatan petanda bahawa peperangan ini sebenarnya mampu membawa malapetaka besar kepada Barat khususnya Amerika Syarikat dan negara haram Israel.
Apakah petanda malapetaka tersebut?
Ketika ini selain daripada peperangan di Palestin, terdapat satu lagi perang yang sedang berlaku iaitu peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Sebagaimana yang diketahui, perang tersebut sebenarnya adalah “perang proksi” antara Barat khususnya Amerika Syarikat dan Rusia di mana ketika ini telah mula kelihatan tanda-tanda jelas bahawa perang tersebut tidak mengikut “skrip” sebagaimana yang dikehendaki Amerika Syarikat.
Perang tersebut juga telah mula “memakan diri” Barat baik dari sudut sokongan geopolitik dunia, ekonomi dan ketenteraan.
Kebanyakkan negara-negara di dunia telah mula tidak menyokong Barat, tidak mengendahkan peperangan tersebut dan desakan Barat untuk menyokong Ukraine.
Bantuan kewangan ratusan billion Dollar Barat kepada Ukraine juga telah melemahkan ekonomi Barat dengan keadaan semasa ekonomi Barat ketika ini amat lemah dan berada dalam keadaan gawat.
Akibat perang tersebut juga, situasi ketenteraan negara Barat ketika ini berada dalam keadaan genting.
Berikutan sokongan ketenteraan Barat terhadap Ukraine, simpanan semasa atau “stockpile” gudang tentera Barat ketika ini berada dalam keadaan tenat seperti kekurangan peluru, mortar dan sebagainya di mana ia diakui sendiri oleh Barat dalam memenuhi tuntutan perang di Ukraine.
Malah menurut penganalisa dan pakar ketenteraan dunia, jika kedua-dua perang ini berlanjutan lebih lama, ia bukan sahaja menjejaskan “skrip” peperangan yang dikehendaki Barat malah akan membahayakan Barat sendiri khususnya dari sudut ketenteraan dan ekonomi.
Namun begitu perang di Palestin ini berdasarkan keadaan semasa dijangka akan merebak dengan lebih besar dengan jangkaan penyertaan Hizbullah, Syria dan berkemungkinan besar akhirnya Iran.
Jika ini berlaku, regim Zionis Israel dijangka tidak akan dapat mampu berperang dengan kesemuanya apatah lagi mengharungi peperangan darat dengan kumpulan pejuang Palestin berdasarkan keadaan sebelum ini, dalam kata lain, regim Zionis Israel akhirnya bakal dan mampu dikalahkan.
Dipercayai Barat telah menghidu semua ini dan sebab itulah secara tergesa-gesa menghantar armada besar tentera lautnya ke Lautan Mediterranean sebagai “ugutan” terhadap kumpulan pejuang Palestin dan pendukungnya.
Keadaan tergesa-gesa tersebut lebih jelas kelihatan apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken tidak henti-henti mengadakan kunjungan menemui pemimpin negara-negara Asia Barat seolah-olah “merayu” agar pemimpin negara Asia Barat dapat memujuk kumpulan pejuang Palestin agar mengadakan gencatan senjata walaupun dari satu sudut ia dilihat dapat menghentikan serangan udara ganas tentera regim zionis Israel yang telah mengorbankan ramai warga Semenanjung Gaza.
Kekuatan ketenteraan Barat baik negara haram Israel dan strategi ketenteraan hanyalah pada tentera udaranya sahaja, itu hakikat.
Lihat Iraq dan Afghanistan, serangan tentera udara Barat pada awalnya berjaya melumpuhkan tentera kedua-dua negara tetapi apabila masuk sahaja peperangan di darat, mereka lemah.
Bertahun-tahun tidak mampu menewaskan kumpulan pejuang dan rakyat kedua-dua negara yang menentang mereka dan akhirnya “lari” begitu sahaja setelah memporak-perandakan Iraq dan Afghanistan.
Itulah juga sebabnya tentera negara haram Israel menangguhkan operasi darat di Semenanjung Gaza, bukan kerana cuaca buruk tetapi dilaporkan setelah dinilai terutamanya oleh Barat, adalah lebih baik ditangguhkan dan diteruskan sahaja dengan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza apatah lagi setelah diugut oleh Hizbullah dan Iran yang mereka akan turut serta dalam peperangan jika tentera regim zionis Israel melancarkan operasi darat ke atas Semenanjung Gaza.
Walaupun tentera regim zionis Israel mempunyai kekuatan tentera udara yang ampuh, kehadiran Hizbullah khususnya Iran dalam peperangan ini bakal memberikan bencana besar kepada negara haram Israel malah baik kumpulan pejuang Palestin, Hizbullah mahupun Iran tidak sedikit pun menunjukkan rasa takut dan gentar dengan kehadiran armada besar tentera laut Barat di Lautan Mediterranean malah mengugut untuk bertindakbalas jika Barat mula bertindak.
Berdasarkan kesemua senario yang nyatakan dan situasi ketenteraan Barat sendiri, ramai penganalisa ketenteraan menyatakan bahawa Barat tidak akan mampu “menampung” peperangan di banyak medan di mana akhirnya ia akan memakan diri Barat walaupun Presiden Amerika Syarikat Joe Biden baru-baru ini menyatakan bahawa Barat mampu mengharungi dan mempunyai kekuatan untuk berperang di pelbagai medan yang bermaksud di Ukraine dan Palestin.
Namun yang lebih merisaukan ramai penganalisa geopolitik dan ketenteraan dunia adalah tindakbalas Barat diluar jangka yang bermaksud jika negara haram Israel berada dalam keadaan genting akibat daripada peperangan ini iaitu dari sudut yang lain adalah “hampir kalah”, adakah Barat khususnya Amerika Syarikat akan turut serta dalam peperangan ini dan bagaimana pula reaksi dan tindakbalas khususnya dari Rusia mahupun China.
Jika dihitung secara kasar kesemua senario tersebut, kesemuanya tidak menguntungkan dan hanya akan membawa malapetaka kepada Barat, baik negara haram Israel mahupun khususnya Amerika Syarikat.
Bukan sahaja ia bakal kehilangan kuasa geopolitik tetapi bakal mengakhiri hagemoninya bukan sahaja di Asia Barat tetapi di seluruh dunia.
Oleh sebab itu sebenarnya di sebalik tabir umum, Barat khususnya Amerika Syarikat mahu perang di Palestin ini “digantung” dan dilaksanakan gencatan senjata sebagaimana tergesa-gesa Antony Blinken bergegas menemui pemimpin negara Asia Barat “ merayu” agar memujuk kumpulan pejuang Palestin “ menggantung peperangan” serta mendesak Hizbullah dan Iran agar tidak turut serta dalam peperangan.
Semuanya sudah dihitung, semuanya sudah ditimbang dan semuanya sudah dinilai dan jika diteruskan buruk padanya kepada Barat.
Itulah sebabnya majoriti penganalisa geopolitik dan ketenteraan dunia mengatakan bahawa perang di Palestin ini adalah “ibu” segala peperangan kerana perang ini mampu mengubah dunia.
Namun apa yang penting pada kita umat Islam ketika ini ialah doa dan sokongan kepada rakyat Palestin khususnya warga Semenanjung Gaza agar mereka selamat dan dalam peliharaan Allah SWT.
Sama-sama kita doakan agar diberikan kesejahteraan dan kemenangan buat rakyat Palestin dalam usaha untuk membebas dan memerdekakan bumi Palestin dari penjajahan regim zionis Israel.
Takbir!
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.