Pembohongan Dan Penipuan

Pembohongan Dan Penipuan

President Joe Biden dalam satu kenyataan mendakwa pengeboman hospital di Gaza berpunca dari roket milik pejuang Palestin yang tersasar adalah kenyataan yang amat karut dan tidak masuk akal.

Tidak perlu ada rasa sangsi sama sekali bahawa pengeboman Hospital Ahli Arab ialah dari serangan udara rejim pembunuh Israel yang hendak melenyapkan rakyat Palestin dan Gaza dari muka bumi sejak minggu lepas.

Israel yang menyerang rakyat Palestin selama ini, dalam usaha untuk melenyapkan mereka selama 70 tahun tiba-tiba sekarang, selepas melancar serangan udara siang dan malam, menyalahkan rakyat Palestin di atas pengeboman hospital.

Naratif Biden hanya bersandar kepada maklumat dari Netanyahu dan Pentagon.

Netanyahu sudah pasti berbohong. Dan kalau Biden mempercayai Pentagon, dunia masih belum lupa bagaimana Pentagon dan institusi Amerika yang lain berbohong mengenai kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di Iraq.

Malahan baru-baru ini, Biden terbukti membohong apabila mendakwa menyaksikan gambar Hamas menyembelih bayi.

White House sudah menarik balik kenyataan tersebut dan mengakui tidak ada bukti perbuatan sedemikian.

Persoalannya bagaimana Biden boleh berbohong sebegitu rupa tanpa sedikitpun rasa malu.

Yang pasti kekejaman yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin berpunca dari sokongan Amerika ke atas Tel Aviv.

Jika Kerajaan Amerika menarik balik sokongan kepada Israel dan hentikan bantuan ketenteraan kepada rejim tersebut, Israel tidak akan berani melakukan pembunuhan besar-besaran dan penyembelihan rakyat Palestin secara berleluasa.

Kerajaan Amerika Syarikat perlu tampil dan bercakap benar.

Israel dan pasukan IDF-nya adalah pengganas.

Amerika Syarikat terang-terangan menyokong pengganas.

Jadi, Amerika Syarikat ini negara apa?

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

Isu Semasa