Perlantikan AJK tambahan PAS Pusat serta Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri-negeri telah diumumkan semalam.
Dan pastinya dilihat agak mengejutkan, apabila ada dua nama besar politik negara yang telah dibawa masuk ke dalam keluarga besar PAS setelah diputuskan dalam mesyuarat pertama PAS Pusat.
Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa, telah dilantik menjadi AJK PAS Pusat.
Mereka berdua adalah musuh ketat PAS suatu waktu dahulu, ketika mereka di dalam Umno.
DS Shahidan sewaktu menjadi MB Perlis, pernah dijadikan bahan lawak oleh orang PAS yang beliau sebolehnya mahu menjadikan bendang padi Perlis berwarna biru.
Kisah ketika PRK Arau, PRK Indera Kayangan adalah secebis episod politik tidak matang yang menyaksikan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku ketika BN dibawah beliau.
Masih juga diingati bagaimana beliau sering menjemput Datuk Ustaz Hashim Jasin dalam dialog agama setiap petang Jumaat dengan beliau ditemani Mufti Perlis, Datuk Alim Panglima Jahaya Hussin, semata-mata mahu mengalahkan Datuk Hashim menggunakan Mufti.
Manakala Datuk Seri Annuar Musa pula pernah terlibat menabalkan Sultan Kelantan di bawah pokok ketereh ketika isu berkenaan penghapusan imuniti raja-raja sedang berada di kemuncak ketegangan.
Tidak sedikit rekod perlawanan beliau menentang allahyarham TGNA di dalam Dun Kelantan semasa menjadi Ketua Pembangkang.
Anak almarhum Tuan Guru Haji Musa Bukit Marak itu terus tegar bersama Umno dan berusaha keras bagi merampas Kelantan dari PAS dan hampir berjaya melakukannya pada tahun 2004.
Akhirnya kedua-dua mereka menyertai PAS.
Rahsia besar PAS:
Ada yang mungkin bertanya, tidakkah terlalu awal menerima mereka menjadi AJK PAS Pusat dan tidakkah PAS merasa bimbang dengan kebocoran rahsia PAS.
Jawapannya ialah tidak.
Bila-bila masa sahaja seseorang yang diyakini mahu berjuang bersama PAS akan diterima.
Rahsia PAS ialah hanya satu, iaitu menurut sedaya upaya kehendak al-Quran, sunnah, ijmak dan qias sebagai pedoman dalam mentadbir.
Kandungan rahsia itu boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
Namun untuk tahu maksud kod rahsia itu, mereka juga mestilah memahami apa kehendak al-Quran dan hadis gariskan.
Dan untuk itu, mereka memerlukan ulamak sebagai pembuka kunci kefahaman kehendak kod agama itu.
Ibarat kita diberikan formula lengkap untuk semua soalan ketika dalam peperiksaan.
Ia kelihatan sepertinya sangat membantu, tetapi awas, jika dengan formula sahaja, tetapi kita sendiri tidak biasa dengan formula itu, sampai ke sudah kita tidak boleh menjawabnya.
Hanya merenung tajam dan panjang formula itu, tidak menemui jalan penyelesaian.
Tetapi bagi yang sudah mahir dengan formula itu, maka dengan pantas, mereka akan mengaplikasikannya bagi mendapatkan jawapan yang betul.
Begitulah rahsia di dalam PAS.
PAS faham dan tahu kehendak al-Quran, sunnah, ijmak dan qias kerana PAS mempunyai sekumpulan ulamak yang mahir dan terlibat secara langsung dalam bidang ini.
Dalam sejarah Islam, sosok seperti Khalid al-Walid, Abu Sufian, Ikrimah, Wahsyi dan ramai lagi, diterima masuk Islam dengan jawatan tertentu bagi memperlihatkan layanan adil kepada mereka, tiada kasta senior atau junior, walaupun baru memeluk Islam.
Pimpinan PAS juga melakukan solat, memohon doa sebelum sesuatu keputusan besar dilakukan.
Maka tidak akan kecewa sama sekali apabila ini sudah dilakukan setelah keputusan dibuat.
PAS bukan gila jawatan:
Presiden PAS selalu berpesan yang seseorang itu jika pakar pada waktu jahiliyyahnya, dia akan diberikan tugasan yang sesuai dengan kepakarannya apabila menyertai jemaah Islam.
Islam tidak mengajar supaya kita takut kehilangan kuasa kepada mereka yang lebih layak, asalkan menjalankan tugasnya menurut kehendak Islam.
Khalid misalnya, sejurus memeluk Islam, tidak lama kemudian terus diberi kepercayaan mengetuai angkatan perang Islam.
Sehingga diturunkan pangkat beliau oleh Umar dan ada pakatan tentera mahu menggulingkan Umar.
Tetapi beliau menolaknya kerana beliau berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar dan jawatan.
Berbeza dengan parti lawan PAS.
Mereka sangat takut kehilangan kuasa mereka.
Maka sesama mereka sering menjatuhkan, apalagi jika ada bekas musuh yang baharu menyertai mereka.
Lihat Dr Khairuddin at-Takiri, Nakhaei Ahmad.
Nasib mereka hanya menjadi tukang sorak kepada Umno.
Itu sahaja piawai mereka duduk dalam Umno.
Tidak akan pernah mereka dipercayainya, kerana asas perjuangan Umno ialah mengejar pangkat dan kekayaan.
Percayakah anda, pernah seorang yang mahu dilantik menjadi Ketua Pemuda Umno cawangan, disiasat sehingga ke kampungnya untuk memastikan bukan dari keluarga PAS.
Begitulah ketakutannya.
Khianat kepada jemaah:
PAS telah mengalami pengkhianatan yang besar sebelum ini.
Ada ketika, sebelum tahun 2015, beberapa kali mesyuarat PAS Pusat, sudah diketahui wartawan apa isinya sebelum habis mesyuarat.
Ada yang masuk PAS kerana mahu membawa PAS keluar dari landasan perjuangan.
Berpecah dengan menubuhkan parti baharu.
Semua itu telah PAS laluinya dengan jaya.
Ini semua kerana istiqamah PAS di atas jalan yang menurut kehendak al-Quran dan sunnah, kita tegas mempertahankannya walaupun masih banyak kelemahan, ia tidak dijadikan alasan untuk meninggalkan semuanya.
Kita buat mana yang mampu.
PAS pernah sebelum ini menerima Tan Sri Muhammad Taib, bekas MB Selangor dan Naib Presiden Umno.
Beliau keluar dari PAS.
Tetapi apa yang beliau mampu lakukan untuk melingkupkan PAS, jika beliau dianggap sebagai Trojan Horse?
Tiada kesan langsung.
Sedangkan 18 orang AJK PAS Pusat yang keluar dan berusaha dengan gigih untuk menjahanamkan PAS dan mereka telah puluhan tahun bersama PAS, juga gagal melaksanakan tugas itu, walau mengetahui selok belok rahsia PAS.
Formulanya senang, mereka gagal kerana tidak menggunakan al-Quran dan sunnah dalam jemaah mereka, sebaliknya menggunakan otak musuh Islam dalam perjuangan baharu mereka.
Siruu ala barakatillah kepada DS Shahidan dan TS Annuar.
Mohd Nasir Abdullah