Saya bangga kerana ada pengusaha Melayu yang guna cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.
Penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk.
Semalam, 2 November saya berpeluang melawat dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja saya ke Terengganu sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4).
AdeqSue – menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek (package), dan Muslim Food Industries – keluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain.
Kedua-dua perusahaan ini menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan.
Kedua-dua ini antara contoh baik yang boleh dijadi panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini.
Industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini punyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari.
Selain itu, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ianya sampai ke pasaran.
Apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling.
Selain itu, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.
Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung.
Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan.
Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja.
Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.
Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa.
Terdahulu saya adakan perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Saya dapati Terengganu sebenarnya sudah banyak maju dan saya juga telah ditunjukkan pelan-pelan kemajuan negeri.
Buat masa ini banyak kerja-kerja sudah dilaksana, jadi tidaklah banyak saya perlu bantu, kecuali bidang-bidang tertentu selain dari yang sedia ada.
Saya juga singgah ziarah YB Tan Sri Haji Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang dan sempat berseloroh selepas 90 tahun lebih barulah saya dapat jejak kaki ke rumah kampungnya.
Didoakan semoga YB Tuan Guru Haji Hadi dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan. InsyaAllah.
Dr. Mahathir bin Mohamad