Simpulan Islam Dirungkai

Simpulan Islam Dirungkai

Firman Allah SWT:

﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦﴾

“Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar (Islam) daripada jalan yang sesat (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

[Surah al-Baqarah: 256]

Dibandingkan pegangan kepada ajaran Islam yang diimani laksana simpulan ikatan tali yang sangat kuat.

Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai aqidah, yakni simpulan.

Aqidah Islam berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan ketuhanan-Nya sahaja, di samping menerima ketetapan-Nya yang disampaikan oleh Rasul-Nya dan menolak segala yang lain daripada-Nya yang disebut taghut (pelampau daripada sempadan Allah).

Firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, (dan tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dirinya telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.”

[Surah al-Ahzab: 36]

Setiap ajaran Islam yang sempurna wajib diyakini dengan kepercayaan hati yang teguh dalam segala aspek, sama ada yang dinamakan urusan agama dalam istilah bahasa yang lain atau urusan kehidupan dunia yang tidak termasuk dalam takrif agama lain, namun ia tetap menjadi ajaran Islam.

Begitu juga, sama ada perkara yang dinaskan secara nyata atau dasar yang umum, mahupun termasuk perkara yang tidak dinaskan yang hukumnya wajib, harus, halal dan haram.

Semua perkara termasuklah perkara yang tidak dinaskan, terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna dan merupakan perkara yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan manusia.

Semua ajaran Islam yang sempurna itu wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan manusia, kelak pada Hari Kiamat ia akan dihisab.

Firman Allah SWT:

﴿فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨﴾

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya). (7)

Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya) pula. (8)”

[Surah al-Zalzalah: 7-8]

Sesungguhnya, ajaran Islam meliputi semua tindakan, gerak-geri dan amalan manusia dalam kehidupan di alam dunia menjadi jambatan ke akhirat.

Rasulullah SAW telah memberi amaran bahawa akan berlaku pada akhir zaman, ajaran Islam itu dirungkai satu demi satu, kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan langkah syaitan.

Sabda Rasulullah SAW:

لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Akan berlaku suatu keadaan apabila ajaran Islam yang disimpul dengan ikatan yang teguh akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu dirungkai, para penganutnya berpegang dengan simpulan yang masih ada. Pertama yang dirungkai ialah kuasa pelaksanaan hukum Islam (politik) dan yang terakhir dirungkai ialah pelaksanaan solat.”

[Riwayat Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22160, dan Ibn Hibban, Kitab al-Tarikh, No. 6715]

Kita menyaksikan hukum pemerintahan negara yang disebut al-Ahkam al-Sultaniyyah, Siyasah Syar‘iyyah atau Wilayat al-Faqih (politik) yang memberi kuasa kepada Islam memerintah dan mentadbir, menjadi perkara yang pertama sekali dirungkaikan, dan akhirnya ia akan dilupakan.

Begitulah gambaran betapa besar dan pentingnya hukum ini sehinggakan ia dinaskan dalam al-Quran, sunnah amaliah Rasulullah SAW dan ijmak para sahabat RA selepas kewafatan Baginda SAW.

Bahkan, hukum ini juga dipertahankan oleh semua kerajaan Islam yang tidak berani membatalkan kuasa Islam pada prinsipnya, walaupun mereka secara peribadinya melakukan maksiat.

Hal ini demikian kerana, mereka berpegang kepada ketetapan Allah yang menjadi amanah besar kepada manusia. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58)

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)”

[Surah al-Nisa’: 58-59]

Imam al-Ghazali RH menegaskan:

الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, kuasa pemerintahan (politik) itu pengawas. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh; dan apa yang tidak ada pengawasnya akan hilang.”

[Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128]

Sewaktu adanya kuasa pemerintahan Islam, apabila semua hukumnya dilaksanakan, umat Islam menjadi kuasa besar dunia yang dipandang hebat oleh musuh.

Hal ini disebabkan keadilannya dan kedatangannya yang bersifat tidak menjajah, serta ilmunya yang memberi kebijaksanaan dan kekuatan.

Islam dihormati kerana keadilannya, bukan kerana takut akan kezalimannya, sehingga umat Islam dan golongan bukan Islam berjaya diselamatkan daripada kezaliman tanpa paksaan beragama.

Apabila kuasa Islam dijatuhkan dengan sebab kelemahan pemimpin dan para ulama’ (ulu al-amr) melaksanakan ajaran Islam yang sempurna dengan bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), umat Islam mengalami kelemahan.

Akhirnya, tanah air umat Islam dijajah, kuasa politik Islam dihapuskan oleh penjajah, kemudiannya ajaran Islam yang berada di bawah bidang kuasanya dirungkai dan tidak diamalkan lagi.

Malah, ia diganti dengan hukum-hukum ciptaan manusia yang dibawa oleh penjajah dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.

Penjajah yang menakluk kita telah mencabut kuasa Islam dan memaksa kita beramal dengan hukum Islam yang hanya berkait dengan aspek fardu ‘ain, melibatkan urusan peribadi, kekeluargaan dan akhlak sahaja.

Ajaran Islam hanya boleh diamalkan dalam urusan ibadat, munakahat, undang-undang muamalat dan sedikit undang-undang jinayat.

Bahkan, umat Islam hanya boleh bertindak di bawah hukum takzir dalam perkara yang melibatkan kesalahan akhlak peribadi dan keluarga, mengikut bidang kuasa yang dinamakan bidang kuasa syariah yang diletakkan sempadannya.

Kuasa itu diberikan kepada raja-raja yang dirampas kuasanya sehingga hanya sekadar menjadi penaung kepada hukum Islam yang sedikit itu.

Adapun hukum yang berkait dengan pentadbiran negara, sistem pendidikan yang sempurna, pentadbiran, ekonomi dan kemasyarakatan, pertahanan negara dan undang-undang jenayah yang menjaga keamanan secara mendidik dibatalkan dan diganti dengan undang-undang ciptaan manusia yang lemah dan zalim.

Dalam perkara fardu kifayah yang melibatkan urusan kemasyarakatan, umat Islam hanya dibenarkan melaksanakan sembahyang jenazah sahaja.

Adapun semua perkara yang besar bagi kemajuan sains dan teknologi dalam segala lapangan yang menjadi fardu kifayah, dianggap bukan lagi fardu kifayah, sebaliknya dianggap urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan agama Islam.

Penjajah yang beragama Kristian itu telah menyeleweng daripada kitab Injil yang asal sehingga membawa kesesatan yang menjauhkan manusia daripada agama Allah.

Firman Allah SWT:

﴿…أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥﴾

“…Sesudah itu, maka patutkah kamu hanya mempercayai sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

[Surah al-Baqarah: 85]

Firman Allah SWT lagi:

﴿وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ ١٢٤﴾

“Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”

[Surah Taha: 124]

Kita menyaksikan kalangan penjajah banyak terpengaruh dengan tamadun Islam dalam segala lapangan, apabila mereka mengambil ilmu daripada kajian umat Islam dalam urusan dunia khususnya dalam aspek sains dan teknologi.

Namun, mereka memisahkannya daripada agama.

Hal ini demikian kerana, mereka mengikut prinsip sekular dalam agama Kristian dan Yahudi yang menyeleweng daripada ajaran para anbiya’ yang semuanya menganut Islam.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٨٦﴾

“Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami serta apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, serta para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya jua kami serahkan diri (menganut Islam).’ (84)

Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)

Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad) benar-benar seorang Rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim. (86)”

[Surah Ali ‘Imran: 84–86]

Akibatnya, kemajuan yang dicapai dalam aspek sains dan teknologi menyebabkan mereka bersikap melampau sehingga merosakkan manusia dan alam sekitar.

Demikian juga dengan penggunaan senjata dalam peperangan dan pembangunan yang dilakukan secara melampau sehingga menimpa mereka sendiri dengan sebab peperangan dan kemusnahan alam sekitar.

Firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbul kejadian yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan akibat perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

[Surah al-Rum: 41]

Malangnya, umat Islam yang dikurniakan Islam yang sempurna itu terpengaruh dengan kesesatan penjajah.

Sehinggakan, mereka tidak kembali ke pangkal jalan untuk menegakkan Islam yang sempurna setelah mencapai kemerdekaan supaya menjadi umat yang mulia dan kuat.

Mereka bukan sahaja meneruskan konsep yang ditanam oleh penjajah yang merungkai kuasa politik Islam, bahkan digantikan dengan sekularisme yang sesat apabila memisahkan urusan dunia daripada agama.

Kemudian, diikuti dengan merungkai ajaran-ajaran Islam yang sempurna.

Kini, mereka mahu merungkaikan hukum syariat yang kecil yang masih ada, supaya hanya tinggal hukum yang menjadi fardu ‘ain dalam perkara wajib dan sunat, serta halal dan haram.

Termasuklah membatalkan hukum takzir yang sedikit setelah disekat oleh Jadual Kesembilan yang diwariskan oleh penjajah dahulu.

Hal ini demikian kerana, mereka terpengaruh dengan kumpulan liberal, progresif dan reformasi yang salah yang merosakkan kemanusiaan di negara Barat, sehingga menjadi lebih teruk daripada binatang.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati, (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah); dan mereka mempunyai mata. (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah); dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

[Surah al-A‘raf: 179]

Sehingga menjaga hak kera dan babi yang merosakkan tanaman dan membawa penyakit kepada manusia, serta menjaga harimau ganas yang membaham manusia lebih diutamakan daripada menjaga keselamatan manusia.

Demikianlah yang diperjuangkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Barat.

Sabda Rasulullah SAW:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ.

“Sungguh kalian akan terikut-ikut perjalanan sesat umat terdahulu sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta (sedikit demi sedikit) sehingga jika orang-orang yang kamu ikuti itu masuk ke lubang biawak (padang pasir), pasti kamu pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah! Mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapakah lagi?”

[Riwayat al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3456, dan Muslim, Kitab al-‘Ilm, No. 2669]

Kepercayaan dan pegangan setiap penganut Islam kepada semua ajaran Islam adalah wajib dan tidak ada pilihan yang lain, serta haram mengadakan undang-undang dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.

Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾

“Patutkah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan jika tidak kerana ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah mereka (yang berbuat demikian) akan dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

[Surah al-Shura: 21]

Maka, haram bagi penganut Islam mencabar hukum Islam, bahkan wajib mempertahankannya apabila dicabar oleh pihak lain.

Para ulama’ yang berwibawa dan menjaga amanah untuk mempertahankan Islam pada masa penindasan penjajah telah membuat suatu keputusan bahawa wajib diambil jawatan yang terhad itu, apabila tidak mampu menentang ketetapan penjajah terhadap umat Islam.

Tujuannya adalah untuk memelihara hukum Islam yang masih ada lapangannya dan memilih mudarat yang paling ringan untuk dibebankan kepada umat Islam pada masa itu.

Mereka berpegang kepada beberapa kaedah hukum Islam yang berikut:

مَا ‌لَا ‌يُدْرَكُ ‌كُلُّهُ ‌لَا ‌يُتْرَكُ ‌كُلُّهُ.

“Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.”

‌ارْتِكَابُ ‌أَخَفُّ ‌الضَّرَرَيْنِ.

“Mengambil mudarat yang lebih ringan daripada mudarat yang lebih berat.”

Sehinggakan, ada dalam kalangan ulama’ yang dihukum bunuh, dipenjara dan dibuang negeri semata-mata ingin mempertahankan Islam.

Kita beruntung dengan adanya hakim-hakim yang arif lagi bijaksana seperti Almarhum Tun Sufian, Almarhum Tan Sri Harun Hashim, Almarhum Tun Salleh Abas, dan yang masih ada sekarang seperti Tun Ahmad Fairuz dan Tun Arifin Zakaria yang masih sihat, mereka mengambil pendekatan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang ada apabila hukum syariah dicabar.

Apabila ia diheret ke Mahkamah Sivil, mereka merujuk kepada bidang kuasa hukum syariah yang merupakan hak negeri, kerana mereka memahami apa yang tersirat, bukan sahaja yang tersurat.

Namun begitu, kita sedang menghadapi arus fahaman liberal yang menghanyutkan sebahagian penganut Islam yang jahil akan agamanya sendiri, sehingga mereka tidak kenal agamanya lalu menjadi alat kepada musuh Islam.

Selamatkan mereka daripada merungkaikan hukum Allah yang masih ada dan berjuang untuk kembali kepada hukum Islam yang sempurna, kerana kejayaan menyelamatkan manusia yang tenggelam dalam kejahilan adalah besar fadilatnya.

Kita telah berjaya meletakkan Islam agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pada masa yang sama, memberikan hak beragama kepada masyarakat majmuk.

Sepatutnya, dipinda segala peruntukan yang menghalang pelaksanaan syariat yang sempurna, bukannya merosakkan lagi menjadi lebih sesat dan lebih buruk daripada zaman penjajah kerana terpengaruh dengan kumpulan liberal yang dinamakan dengan jenama progresif dan reformasi, bukannya islah dan tajdid.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisih padanya. (48)

Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49)

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang mempunyai keyakinan. (50)”

[Surah al-Ma’idah: 48-50]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru