Perang Gaza bermula 8 Oktober 2023 sudah masuk ke hari 48.
Hakikatnya Hamas telah menang. Bukan menang tempur tapi menang perang maklumat.
Hamas berjaya membuka kembali agenda Palestin yang dibenamkan selama ini.
Seluruh dunia kini menjadikan Palestin isu perbualan.
Untuk pertama kalinya dunia kini melihat apa itu Zionis dan apa itu Israel.
Naratif Israel sebagai penjajah dan Palestin dijajah sudah diterima masyarakat dunia.
Generasi muda yang dulunya tidak begitu sedar tentang perjuangan rakyat Palestin kini menerima kuliah Hamas melalui media sosial.
Paling ampuh ialah sokongan kumpulan Yahudi tua dan muda.
Yahudi agamawan, sekular, liberal dan kiri kini menyokong perjuangan Palestin.
Kumpulan Yahudi ini secara terbuka menentang Zionis.
Mereka tidak mahu identiti Yahudi mereka digunakan oleh Zionis untuk menjajah Palestin.
Paling menonjol ialah penerimaan masyarakat dunia bahawa Israel sedang menjalankan dasar “genocide” terhadap Arab Palestin.
Zionis Israel kini dituduh sedang menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai dan berusaha membantai bersih Arab Palestin.
Banyak negara yang dahulunya tidak ambil pot terhadap Palestin kini terbuka mata.
Ada negara membuat dasar baru terhadap Israel kerana ombak rakyat mereka yang keluar ke jalan raya menyokong Palestin.
Justeru Bolivia dan Belize memutus hubungan diplomatik. Manakala Bahrain, Chad, Chile, Colombia, Honduras, Jordan Turki dan Afrika Selatan memanggil duta pulang.
Memanggil duta pulang dalam bahasa tidak diplomatik sama seperti berkata “pergi mampuslah lu”.
Ini belum pernah terjadi dalam diplomasi geo-politik antarabangsa.
Ketika tulisan ini digarap, Netanyahu baru sahaja bersetuju untuk membuat gencatan senjata.
Al Jazeera melaporkan, selama enam jam Kabinet Netanyahu berbincang akhirnya bersetuju untuk berhenti menyerang Gaza selama 4 hari.
Dalam masa 4 hari ini, bantuan untuk warga akan di benarkan masuk ke Gaza.
Gencatan senjata 4 hari bermula pada 23 November 2023 waktu tempatan.
Netanyahu tidak mengeluarkan perincian tentang apa yang telah dipersetujui.
Dia hanya menyatakan satelah 4 hari, serangan terhadap Hamas akan diteruskan.
Dunia hanya mengetahui dari kenyataan Hamas di Qatar.
Perundingan sulit telah berjalan lama. Qatar menjadi orang tengah, dan Presiden Biden juga memainkan peranan.
Hamas mengumumkan butiran:
1. Empat hari gencatan senjata
2. Pengeboman dihentikan
3. Hamas membebaskan 50 tawanan kanak-kanak dan wanita
4. Israel membebaskan 150 wanita dan kanak-kanak dari penjara Israel
5. Bantuan kemanusiaan dibenar masuk
6. Gerila Hamas tidak akan diserang ketika membantu
Al Jazeera melaporkan bagaimana Biden menelefon Emir Qatar dan juga Netanyahu.
Biden mahu gencatan senjata ini berlaku untuk memperbaiki imej dan memasang niat untuk bertanding sekali lagi tahun depan.
Ombak pro-Palestin di Amerika dan di kalangan Yahudi Amerika sedang mengampuh.
Ini bahaya untuk Biden.
Palestin boleh menjadi agenda kempen pilihan raya presiden 2024.
Pada masa sama perundingan ini sedang berjalan, askar Yaman telah membajak Galaxy Leader, sebuah kapal pengangkutan di Laut Merah.
Kapal dengan 25 orang anak kapal dalam perjalanan dari Turki ke India.
Kapal milik bilionair Israel ini dikendalikan oleh syarikat NYK Jepun. Tidak ada warga Israel menjadi anak kapal.
Pembajakan kapal ini bukan satu yang baru yang dilakukan oleh Yaman.
Gerila Houthi dari Yaman telah menghantar drone ke Israel.
Yaman telah menghantar drone ke kapal Amerika yang berlabuh di Laut Tengah.
Apa yang jelas sekarang ialah perang Gaza ini sedang merebak dan meluas. Satu demi satu pentas perang dibuka.
Politik dan fahaman ideologi Zionis ini berasaskan konsep Eretz Israel atau Israel Raya.
Eretz Israel ini lahir dari kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud.
Israel Raya ini mencakupi semua bumi Palestin termasuk Lubnan, Syria hingga ke Iraq.
Justeru hari ini kita lihat perlawanan menentang Zionis ini datang dari Lubnan, dari Syria, dari Iraq dan juga dari Iran.
Selepas 7 Oktober kumpulan di Iraq yang dikenali sebagai Kata’ib Hizbullah berkali-kali menyerang khemah dan pangkalan soldadu Amerika di Iraq.
Setiausaha Agung Kata’ib Hizbullah, Abu Husen al-Hamidawi telah menghantar pasukan gerilanya ke sempadan Jordan.
Al-Hamidawi berkata, “Kami berada di sini untuk mempertahankan rakyat kami di Gaza, wilayah yang diduduki dan mereka yang terdedah.
“Peluru berpandu, drone dan pasukan khas kami berada di tempat yang tinggi. berjaga-jaga…”. ( The New Arab, 11 Oktober 2023).
Manakala di Lubnan, Hizbullah yang paling tersusun dan lengkap dengan senjata moden telah siap siaga menunggu arahan untuk masuk ke utara Israel.
Dalam ucapan pada Oktober 2021, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah mendakwa organisasinya mempunyai 100,000 pejuang terlatih, 25,000 pejuang sepenuh masa dan kira-kira 20,000 hingga 30,000 tentera simpanan.
Al Jazeera melaporkan pada 3 November kenyataan Nasrallah yang Hizbullah memasuki “perang” sehari selepas serangan Hamas 7 Oktober berlaku.
“Ada yang mendakwa kami akan terlibat dalam peperangan. Saya memberitahu anda, kami telah terlibat dalam pertempuran ini sejak 8 Oktober,” kata Nasrallah.
Dalam masa yang sama, kerajaan Iran secara terbuka merupakan penyokong kuat Hamas.
Iran mempersenjatai Hamas, memberi dana dan membantu sokongan logistik kepada Hamas.
Israel memusuhi Iran semenjak jatuhnya kerajaan Shah Reza Pahlavi pada 1979.
Kerajaan Shah adalah kawan baik Zionis Israel. Babak ini telah menjadi sejarah.
Setiakawan dan sokongan Iran ini diikat pula dengan ajaran Islam.
Parti Hamas dari mazhab Sunni kini dibantu oleh kerajaan Iran dari mazhab Syiah.
Perang Gaza ini memperlihatkan solidariti dan ikatan yang amat kuat antara Sunni dan Syiah.
Islam dilihat bersatu menentang Zionis.
Laporan juga menyatakan bahawa hampir 8,000 anggota Pengawal Revolusi, soldadu elit Iran, telah dihantar ke Lubnan.
Jelas Zionis Israel kini diasak dari tiga penjuru.
Dari dalam Gaza gerila Hamas menyerang.
Di utara Israel, gerila Hizbullah menyerang.
Dari selatan, soldadu dari Yaman pula menyerang.
Keadaan militer seperti ini menakutkan Amerika.
Biden tidak mahu perang Gaza ini melimpah hingga menjadi Perang Timur Tengah.
Justeru Amerika menghantar dua kapal perang ke Laut Tengah bersebelahan Gaza dan Lubnan.
Dalam kitab klasik, perang gerila dua kapal perang Amerika ini hanya harimau kertas.
Kapal ini dibawa untuk menakutkan Hizbullah dan Yaman agar jangan buat “lebih-lebih”.
Manakala negara Arab seperti Jordan dan Arab Saudi telah masuk ke dalam poket Amerika.
Begitu juga Mesir di bawah al-Sisi tidak berani bangun berdiri sebagai Arab dan mempertahankan Palestin.
Geo-politik ini tidak menggerunkan Hamas.
Lihat apa yang terus berlaku di Gaza sekarang.
Tanpa Mesir, tanpa Jordan dan tanpa Saudi, gerila Palestin di Gaza dan Tebing Barat terus melawan.
Dari segi taktik perang gerila, askar Israel sedang menjadi sasaran gurban, gerila bandar.
Ratusan kereta kebal dan kereta perisai Zionis Israel menjadi mangsa RPG Al-Qassam.
Diberitakan juga ratusan askar Zionis telah terbunuh.
Dilaporkan lebih dari 11,000 askar Zionis cedera.
Dalam perang, angka mati dan cedera disimpan sebagai rahsia.
Dalam perang, yang pertama mati kena bunuh ialah kebenaran.
Justeru hingga ke hari ini kita tidak tahu dengan sahih jumlah askar atau gerila yang mati.
Apa yang jelas, apabila Netanyahu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata, bermakna Zionis Israel telah ‘letih’.
Awalnya Netanyahu dengan angkuh berkata bahawa Hamas akan ditumpaskan secepat mungkin.
Kini Hamas masih lagi bergerila cergas.
Tarikh 7 Oktober 2023 adalah tarikh keramat. Tarikh ini telah mengubah geo-politik dunia.
Sebelum 7 Oktober, muka depan akhbar dan media ialah Ukraine dan Zelensky.
Kini Ukraine dan Zelensky telah menjadi mangsa Hamas.
Perang Ukraine yang menjadi hati jantung Amerika, Nato dan Eropah kini terbarai.
Ukraine dan Zelensky telah ditinggalkan.
Projek melemahkan Rusia dan menjatuhkan Putin telah gagal meleset.
Rusia tidak berganjak dari dasar menolak Ukraine dari menjadi ahli Nato.
Ekonomi Rusia masih kukuh. Nilai Rubel masih tinggi walaupun ada sekatan ekonomi.
Berbilion dolar bantuan senjata dan dana Amerika dan Eropah kini hangus.
Hakikatnya Ukraine telah kalah. Rusia sedang menang.
Kini Amerika, Nato dan Eropah beralih dari Ukraine ke Israel.
Perang di Gaza ini jika berpanjangan pasti akan mengubah lanskap geo-politik dunia.
Amerika, Nato dan Eropah yang parah dalam perang Ukraine akan dibantai sekali lagi oleh Hamas, Hizbullah dan Iran.
Hegemoni kuasa imperialis Amerika akan runtuh.
Kuasa dolar Amerika akan terbarai.
Sistem ekonomi kapitalis akan jadi huru hara.
Apakah elit politik di Amerika dan di Eropah tidak sedar tentang perkara ini?
Apakah mereka terlalu bebal politik hingga gagal melihat realiti yang sedang berlaku?
Pelik tetapi benar – dalam keadaan geo-politik sekarang – kenapa elit politik dan elit ekonomi Amerika dan Eropah terus membantu Zionis Israel?
Hishamuddin Rais