Saya tunda dulu kisah Anwar Ibrahim tak ambil gaji bulanan.
Tangguh dulu kisah dan peranan cukong dan oligarki dalam politik Malaysia.
Saya tidak jujur pada diri saya jika saya tidak menulis tentang Palestin dan Gaza.
Pada tahun 1937, Dr Burhanuddin Al-Helmy menerbitkan sebuah majalah bernama Taman Bahagia.
Ia mengutarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh British melalui pembentukan Israel.
“Hanya kira-kira satu jam selepas majalah itu diterbitkan, Burhanuddin ditahan oleh pihak British.
Kemudian beliau berjaya diikat jamin oleh ahli keluarga al-Saggoff dengan bayaran yang sebanyak $1,000 bersamaan RM3.074.” (Petikan Zine Dari Johor edisi #10/2022).
Sejarah merakam seawal tahun 1937 lagi telah wujud bahan pencerahan tentang Palestin dan Israel kepada Bani Melayu.
Burhanuddin Al-Helmy anak kelahiran Changkat Tualang Perak.
Sosok ini bersama Ishak Haji Muhamad dan Ibrahim Yaacob telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938.
Sosok ini juga menubuhkan parti nasionalis Melayu pertama di beri nama Parti Kebangsaan Melayu Malaya pada 17 Oktober 1945.
Beliau terdidik dalam bidang Islam dan perubatan Homeopati, adalah juga seorang nasionalis Melayu yang progresif.
Sosok ini menjadi penasihat Parti Rakyat dan juga pemimpin parti Islam, PAS.
Malah pernah beraktiviti di Palestin untuk memahami lebih dekat tentang bagaimana Palestin telah diwujudkan oleh kolonial Inggeris melalui Deklarasi Balfour 1917.
Melalui Deklarasi ini, kolonial Inggeris menyokong dan mengajukan agar negara Israel ditubuhkan di Palestin untuk Yahudi.
Ketika ini Palestin di bawah kuasa Uthmaniyyah.
Apa yang hendak saya jelaskan di sini ialah perjuangan Palestin ini bukan satu yang baru untuk Bani Melayu.
Malah ada sosok Melayu yang dikenali sebagai Sulaiman Palestin yang pernah jadi calon menentang Hussein Onn, presiden Umno, pada 1978.
Sebelum bertugas di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney, wakil Baginda Queen yang ditembak mati oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya pada 6 Oktober 1951 di jalan ke Bukit Fraser, pernah berlatih mengawal dan membunuh warga Arab di Palestin.
Terbukti, Palestin dan Tanah Melayu memiliki sejarah yang sama.
Dua negara ini menjadi tanah jajahan Inggeris.
Hari ini Palestin dan Gaza bergolak lagi. Isu Palestin ini tidak pernah padam-padam.
Semenjak negara Zionis Israel di tubuhkan pada 14 Mei 1948, perang berterusan.
Perang tak henti ini mengancam Timur Tengah dan juga mengancam dunia.
Fakta sejarah merakamkan bahawa memang ada Yahudi yang tinggal di Palestin pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua.
Yahudi ketika itu adalah bangsa minoriti yang hidup aman damai dengan masyarakat Arab Palestin.
Setelah selesai Perang Dunia Kedua, semua berubah.
Sejarah merakamkan bagaimana pada 9 Mei 1948 telah dijalankan program pembunuhan beramai-ramai orang kampung di Dier Yassin.
Seramai 107 Arab Palestin, kecil besar tua muda, telah dibunuh oleh Irgun, kumpulan pengganas Yahudi.
Pembunuhan di kampung-kampung lain juga berlaku dalam usaha untuk membersih Palestin dari warga Arab.
Yang sempat dibunuh, dibunuh. Yang sempat lari, melarikan diri.
Dari sini bermula perang Arab-Yahudi yang tidak selesai hingga ke hari ini.
Warga Palestin dibunuh, tanah dan kampung halaman mereka dirampas.
Arab Palestin menjadi orang pelarian mencari perlindungan di Lubnan, Syria dan Jordan.
Hukum alam tetap berlaku: sebanyak mana penindasan sebanyak itulah perlawanan.
Yang ditindas dan ditekan pasti akan bangun melawan.
Negara-negara Arab semuanya tidak menerima kemunculan Israel di wilayah mereka.
Perang pertama meletus pada 1948, Perang Suez 1956, Perang Enam Hari 1967, Perang Pergeseran 1969-1970, Perang Ramadan 1973 dan Perang Lubnan 1982.
Setiap kali perang berlaku, Israel merampas lebih banyak wilayah.
Hingga ke 2023, Israel masih tidak memiliki batu sempadan yang tetap.
Setiap kali perang semakin banyak kota dan desa menjadi milik Yahudi Israel.
Semakin ramai warga Palestin menjadi pelarian perang.
Bandar Baitulmuqaddis di Tebing Barat, di mana berdirinya Masjid Al-Aqsa, telah jatuh ke tangan Israel pada Perang 1967.
Pada 1980, Knesset, parlimen Israel, mengumumkan bandar ini sebagai ibu kota Israel.
Kerajaan Amerika Syarikat pada 6 Disember 2017 di bawah Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis, atau Jerusalem, sebagai ibu kota Israel.
Pengumuman ini membawa bentrokan yang berterusan.
Ini kerana kota ini dianggap suci oleh umat Islam.
Kiblat pertama Islam ialah ke Masjid Al-Aqsa.
Tidak pernah ada hari damai dalam negara yang dipanggil Israel.
Ada saja rumah Palestin atau tanah ladang mereka dirampas.
Ada saja anak muda Palestin ditembak mati.
Pelbagai helah dan rancangan diajukan untuk memastikan dasar Zionis dapat di jalankan di Palestin.
Apa dia dasar Zionis ini?
Dasar Zionis cukup mudah. Kaum Zionis mahu mendirikan Israel sebagai Negara Yahudi.
Yahudi di serata dunia boleh pindah ke Israel untuk menjadi warganegara.
Pendatang baru berasal dari Eropah kini menjadi warganegara majoriti di Israel.
Dalam Perang Dunia Kedua, Hitler telah membunuh Yahudi.
Ekonomi Jerman dikawal dan dimiliki Yahudi.
Justeru dengan kebangkitan Parti Nazi, Hitler telah membantai Yahudi di mana sahaja ditemui.
Setelah tamat perang, maka di sinilah masuknya jarum Zionis.
Kaum Zionis telah menggunakan rasa bersalah Eropah yang membenarkan Hitler membantai Yahudi.
Dihebohkan enam juta Yahudi dibunuh oleh Nazi.
Holocaust – pembunuhan Yahudi beramai-ramai – menjadi kempen kaum Zionis.
Saban hari saban tahun, setiap detik kaum Zionis mengingatkan dunia tentang Hitler, Nazi dan Holocaust.
Justeru negara-negara Eropah menyokong penubuhan negara Israel atas bumi Palestin.
Ini dahulu. Bagaimana sekarang?
Keganasan, penindasan dan kezaliman ke atas Palestin berjalan tanpa henti.
Malah bekas presiden Amerika Jimmy Carter telah menyifatkan Israel negara apartheid.
Israel hari ini mengamalkan dasar rasis yang ekstrem – satu undang-undang untuk Yahudi, dan satu yang lain untuk Arab Palestin.
Kawasan dan wilayah Arab dipagari dengan kawat berduri dan tembok dibina untuk memastikan Palestin dan Israel tidak bertemu.
Semua dijalankan atas nama keselamatan.
Arab Palestin – besar kecil tua muda – semua dianggap pengganas yang wajib dijimatkan sebelum mereka sempat mengganas.
Apakah masyarakat dunia tidak melihat semua ini?
Amat jelas dan amat terang bahawa yang mengganas saban hari ialah Zionis Israel.
Ada penindasan pasti ada perlawanan. Muncul parti Hamas.
Hamas menang pilihan raya di Gaza.
Hamas menewaskan Fatah pada tahun 2005.
Pada 2007, Zionis Israel mengepung dan menjalankan sekatan ke atas Gaza.
Semenanjung Gaza menjadi penjara kepada lebih 2 juta warga Arab Palestin.
Gaza adalah penjara terbesar dunia.
Siapa keluar dan siapa masuk ke Gaza wajib mendapat kebenaran dari Israel.
Keluar masuk menjadi susah dan hampir mustahil.
Israel mengawal barang masuk dari darat dan laut.
Nelayan hanya dibenarkan menangkap ikan di pesisir pantai, tidak ke laut dalam.
Lawan pasti melawan. Justeru warga Gaza membuat lubang tikus dan terowong untuk menyeludup dari wilayah padang pasir Sinai yang bersempadan dengan Mesir.
Walaupun dalam kepungan dan sekatan, warga Gaza masih berupaya melawan.
Senjata masuk melalui terowong bawah tanah.
Beberapa kali Israel telah mengebom musnah rumah dan bangunan di Gaza.
Beribu Arab Palestin terbunuh. Beribu cedera. Beratus bangunan dan rumah runtuh musnah.
Perlawanan masih diteruskan. Inilah semangat Gaza. Inilah perjuangan Hamas.
Ketika saya menulis ini, kereta kebal, meriam dan soldadu bala tentera Zionis Israel sedang berkampung di sempadan Semenanjung Gaza.
Pada subuh 7 Oktober 2023, gerila pembebasan Palestin dari Hamas masuk menyerang Israel.
Ini bukan kali pertama Hamas menyerang Israel, tapi kali ini memeranjatkan dunia.
Gerila Hamas menyerang Israel dari darat, laut dan udara.
Israel yang mendakwa memiliki sistem risik tercanggih di dunia, kini tercabut seluar dalam.
Kem tentera Zionis diserang. Balai polis diserang. Siapa bergerak ditembak mati.
Dalam masa 20 minit, 5,000 roket masuk ke Israel. Sistem pertahanan Israel lingkup.
Kereta kebal meletup hasil kerja drone.
Pagar kawat besi dirobohkan jentolak.
Gerila Hamas bermotosikal masuk menyerang, seperti helang sampai dengan glider.
Soldadu dan orang awam ditawan dijadikan tebusan.
Tawanan perang dibawa pulang ke Gaza.
Diberitakan seorang kolonel tentera Israel turut menjadi salah seorang dari ratusan orang awam dan puluhan soldadu yang ditawan.
Dunia gempar melihat kebolehan gerila Hamas.
Operasi Taufan Al-Aqsa dirancang teliti.
Strategi ketenteraan yang cekap lagi menakjubkan.
Walaupun dalam penjara terbesar di dunia, gerila Hamas tetap melawan.
Apa yang berlaku telah menaikkan semangat perjuangan parti Hizbullah di Lubnan.
Hizbullah bersetia kawan dengan melancarkan serangan roket dari selatan Lubnan ke arah Israel.
Sokongan setia kawan juga meledak di dunia.
Di Sydney, Australia, himpunan menyokong Palestin menyaksikan ribuan ke jalan raya.
Di New York, anak muda dan warga Amerika turun berdemo.
Di Tehran, di Istanbul, ribuan demonstran turun bersolidariti dengan Palestin.
Dalam Parlimen Malaysia, para YB berbincang menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Negara-negara dalam dunia menuntut hentikan kepungan dan beri bantuan kemanusiaan pada warga Gaza.
Negara besar seperti China dan Rusia, kecuali Jerman dan Perancis, semua negara termasuk Malaysia, menyeru agar serang menyerang dihentikan.
Bentrokan jangan dilebarkan.
Tenaga elektrik di Gaza dipadamkan, bekalan air diputuskan dan bangunan dan rumah diledakkan.
Keganasan Zionis Israel sedang disaksikan oleh rakyat dunia.
Saya teringat kembali 50 tahun dahulu.
Ketika itu, sebagai setiausaha agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) saya mengadakan sudut pidato pada pagi Sabtu, 13 Oktober.
Saya menghasut anak mahasiswa semua bangsa untuk menyokong perjuangan adil rakyat Palestin.
Perang Arab-Israel telah meledak pada 6 Oktober 1973.
Ini Perang Ramadan untuk Arab.
Perang Yom Kippur untuk Yahudi.
Di akhir Sudut Pidato, lebih 500 orang siswa-siswi UM turun berdemo anti-Amerika di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, ketika itu dalam bangunan AIA di Jalan Ampang.
Demo mahasiswa penyokong rakyat Palestin dari UM telah diserang oleh gerombolan FRU. Bertempiaran kami lari.
Lima puluh tahun dahulu, sasaran kami ialah imperialis Amerika Sereket.
Justeru kami dibantai oleh FRU.
Lima puluh tahun kemudian saya tetap akan bersetia kawan dengan Palestin.
Saya menyokong perjuangan yang adil.
Tanpa mengira apakah mereka Islam, Hindu, Kristian, Majusi, Nasrani, beragama atau tidak beragama.
Yang wajib kita sokong ialah keadilan, walaupun ditangkap seperti Burhanuddin pada 1937.
Atau seperti pelajar UM ditembak dengan gas pemedih mata oleh FRU pada 13 Oktober 1973.
Yang wajib kita lawan ialah kezaliman.
Tanpa mengira yang zalim itu Islam, Kristian, Yahudi, Majusi, Nasrani, yang beragama atau tidak beragama.
Selagi ada kezaliman, selagi itu lawan.
Hishamuddin Rais