Bonus penjawat awam negeri tidak dapat diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2024 pada hari ini kerana Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terlibat satu proses demokrasi pilihan raya.
Ahmad Samsuri berkata, pembentangan beliau pada kali ini mengandungi beberapa perbezaan yang ketara berbanding dengan yang terdahulu.
Katanya, pembentangan pada kali ini tidak menyebut secara terperinci peruntukan setiap inisiatif yang ingin dilaksanakan.
“Walaupun begitu ia ada dinyatakan dalam buku Belanjawan 2024 yang ada di hadapan tuan puan, tugas ini akan diserahkan kepada Yang Berhormat Exco untuk memilih bagi menyebutnya semasa penggulungan.
“Antara sebab utama pendekatan baharu ini dibuat adalah kerana sewaktu belanjawan ini dibentangkan saya juga terlibat dalam satu proses demokrasi pilihan raya di tempat yang semua sedia maklum.
“Untuk mengelakkan saya dilihat mengambil kesempatan supaya pertandingan yang saya sertai itu, lebih asyik, adil sifatnya maka saya mengambil keputusan untuk bersikap lebih cermat untuk tidak menyebutnya dalam belanjawan kali ini,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu adalah satu perkara yang baru yang mungkin tidak pernah berlaku di mana jua sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2024 dengan tema Meneraju Era Baharu Terengganu pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Persidangan DUN Terengganu kali ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Adun Rhu Rendang mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penjawat awam negeri yang bersama menggerakkan agenda negeri.
“Walau bagaimanapun kadar bonus penjawat awam tidak dapat diumumkan dalam ucapan belanjawan pada hari ini diatas sebab semua sedia maklum.
“Insya-Allah setelah selesai urusan saya kadar bonus akan dimaklumkan secara pentadbiran,” katanya.