Sombong Si Kaya, Hak Orang Diambil

Sombong Si Kaya, Hak Orang Diambil

Sudah menjadi kelaziman apabila sesorang manusia itu menjadi kaya, sedikit sebanyak pasti hatinya akan cenderung kepada kesombongan.

Bukan semua pastinya, tetapi hampir keseluruhan mereka, begitulah perangainya.

Jika lambat dilayan, mereka mula bertanya, kenalkah aku siapa?

Salah beritahu harga barang itu mahal, mereka akan mula meninggi diri, menunjukkan kemampuan mereka.

Bilamana silap berurusan, maka saman menyaman adalah penyelesaian bagi mereka.

Walaupun silap mereka, tetaplah tidak mahu mereka mengaku.

Maka benarlah kata-kata Saidina Abu Bakar yang ketika mereka miskin, mereka berjaya mengharungi ujian hidup.

Namun apabila mereka senang dan kaya, ternyata mereka hampir-hampir gagal menanganinya kerana mungkin ada jiwa sudah merasa sombong yang mana itu adalah sifat iblis.

Pada kebiasaannya juga hati semakin sukar untuk menderma dan membantu orang lain.

Orang kaya mudah benar hatinya terpaut dengan takabbur.

Akan tetapi sebenarnya kekayaan mereka ini menggunakan orang miskin.

Tidak akan terbina kilang si kaya jika tiada si miskin yang mahu bekerja di kilang mereka itu.

Dan mereka tidak akan menjadi kaya kerana perusahaan mereka tidak berjalan.

Selalu mencari idea untuk mengurangkan upah demi keuntungan.

Si kaya juga bijak memanipulasikan keadaan dengan menggunakan segala ruang undang-undang bagi mengelak atau meminimakan bayaran cukai mereka.

Keadaan ini sudah pastilah tidak disukai kerajaan kerana kerajaan akan kehilangan cukai yang banyak.

Itu belum dikira dengan percubaan melarikan wang mereka daripada masuk ke kantung kerajaan dengan memindahkannya dengan cara haram.

Inilah antara sikap sebahagian besar kelakuan orang-orang kaya yang sentiasa memikirkan selain daripada mahu memperluaskan dagangan mereka, zakat difikirkan bagaimana mahu mengelaknya kerana tiada tindakan khusus perundangan menangkap mereka yang gagal membayar zakat.

Undang-undang hanya menumpukan kepada cukai sahaja.

Cukai pula menjadi semakin murah jika semakin kaya atau mengelaknya terus.

Akibat daripada ketamakkan dan kegilaan mengumpul harta dengan cara yang salah ini, peratusan besar hasil negara akan lama dikuasai oleh sebilangan kecil rakyat sahaja.

Dan keadaan ekonomi negara akan menjadi tidak seimbang dengan jurang kekayaan si miskin dan si kaya melebar dengan luasnya.

Si kaya semakin kaya, si miskin makin merempat.

Ini adalah contoh orang kaya yang jahat yang mengambil hak orang lain bagi mengkayakan diri.

Ada yang menggelarkan mereka sebagai perampok dan dibenci lapisan bawah marhaen.

Lebih perit jika mereka berjaya menggunakan penguasa bagi melindungi kegiatan mereka kerana ramai daripada mereka adalah kroni penguasa.

Berlainan dengan orang kaya yang pemurah yang mengambil harta dengan cara yang benar, tidak melupakan nasib insan lain.

Dalam hartanya ada hak orang yang wajib baginya menyerahkan kepada yang berhak.

Dia akan menggunakan hartanya dengan cara berhemah dan memberikan keutamaan yang sepatutnya dalam belanja hartanya.

Jurang kekayaan dikecilkan kerana mahu melihat orang lain juga menjadi kaya seperti dirinya.

Inilah sikap orang kaya yang beriman dan bertaqwa.

Anologi ini dapat kita padankan dengan keadaan pembayaran Royalti Petroleum Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pusat menjadi kaya dengan menyedut hasil bumi Terengganu dan memperlambat-lambat dan memperlecehkan pembayaran royalti yang termaktub dalam perjanjian itu.

Sedang dalam keadaan Kerajaan Pusat mahu menghukum peniaga yang culas membayar cukai setelah menikmati kemudahan yang Pusat sediakan, kelihatan mereka pula yang menjadi penyamun hasil bumi negeri.

Jadi apa agaknya hukuman kepada Pusat dengan perangai yang jahat ini?

Apa bezanya mereka dengan golongan kapitalis yang melarikan diri dari cukai itu?

Kalau boleh negeri-negeri ini dengan tekanan yang diberikan, sepertinya mahu dimiskinkan Pusat sehingga papa kedana, agar datang melutut kepadanya meminta bantuan.

Menjurangkan kekayaan antara negeri, memilih hanya negeri yang tunduk kepadanya sahaja untuk dibantu sebagaimana katanya suatu ketika dahulu yang bantuan tidak akan diberikan jika tidak mahu berunding.

Bolehkah kita meminta bank datang kepada kita, berunding agar kita membayar wang mereka setelah kita membuat pinjaman daripada mereka?

Arrhh, sifir mana yang kamu pakai.

Kerajaan Pusat telah meminjam wang Negeri Terengganu bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang terlebih masa dan bajet, sebanyak hampir RM1.8 bilion.

Baru dibayar ialah sebanyak RM400 juta, berbaki RM1.4 bilion lagi.

Yang baharu, tunggakan royalti 2023 masih berkurang RM1.5 bilion dan bayaran 2024, masih belum diterima penuh.

Apa-apa bayaran tahun ini yang tidak cukup RM1.5 bilion, tidak dikira sebagai bayaran tahun ini, kerana mesti hutang RM1.5 bilion itu dilangsaikan dahulu.

Dan RM1.4 juta hutang LPT2 juga jangan dilupakan.

Sekarang, patutkah Terengganu menjadi seperti bank yang pergi berunding, atau Pusat melaksanakan tanggungjawab membayar hutangnya?

Dan telah terbukti yang Kerajaan Terengganu sebagai Kerajaan yang baik dengan audit yang menepati piawaian serta memberikan hak yang sama kepada pembangkang (2018-2023) dan juga kepada semua rakyat tanpa mengira ideologi mereka.

Dan apabila ada khabar yang mengatakan mungkin wang royalti tersalah masuk akaun, lalu aku terus tersenyum teringatkan isu SPLASH yang mahu dijual di Selangor dahulu sehingga menyebabkan pemecatan allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis