Cabar Islam: Wanita Urut Lelaki Di Tempat Terbuka Di Pulau Pinang

Cabar Islam: Wanita Urut Lelaki Di Tempat Terbuka Di Pulau Pinang

Tular video berdurasi 25 saat di platform pengguna Facebook, Abi Khair Azhari apabila membuat perkongsian berhubung beberapa wanita mengurut lelaki di suatu Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pendakwah Wanita dan Keluarga, Asmak Husin, turut terpanggil untuk bersuara mengenai isu ini bahawa tidak wajar perkara sebegini berlaku, sementelah dalam video tersebut jelas menunjukkan yang sebahagian terbabit ialah wanita Melayu Islam bertudung yang mengurut lelaki Melayu Islam tanpa segan silu, malah kelihatan ceria.

“Termenung kali ini dengan majlis yang berlangsung di Penang (yang) ada acara perempuan urut staf lelaki. Kalau awak sebagai isteri, rela ke suami awak diurut walaupun tempat terbuka di depan orang ramai oleh staf wanita lain seperti ini?

“Kalau saya, walaupun demi maksud apa pun tak bagi. Mula-mula suka-suka.. lama-lama terbiasa.. pastu (selepas itu) rasa seronok dan.. apatah lagi kalau kita orang Islam, lagilah jadi haram terus.

“Buatlah asing terus lelaki urut lelaki, begitu sebaliknya (wanita urut wanita). (Ini) Bukan benda tak biasa pun di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negara Kelantan, perkara sebegini yang harus dielakkan dibawa di tempat kerja.

“Bila kes berkaitan rumah tangga meningkat di pejabat seperti skandal isteri orang dan suami orang, dan lain-lain, mulalah cari asatizah, pakar motivasi, kaunselor untuk buat program tetapi pencegahan tidak dibuat dari awal,” ujarnya.

Justeru, beliau mendesak agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang perlu merangka dasar untuk majlis terbuka sebagai contoh isu ini khususnya melibatkan yang orang Islam.

“Kalau boleh PBT di Penang kena melihat premis perniagaan spa, salon dan perkhidmatan urut supaya ‘ada’ pengasingan antara lelaki perempuan.

“Bagi saya wanita bukan Islam juga ingin privasi sebab secara fitrah wanita perlukan keselesaan dan pemalu bila berkaitan peribadi,” katanya.

Video tular wanita mengurut lelaki di tempat terbuka di Pulau Pinang itu menimbulkan kontroversi selepas beberapa hari lalu, isu timbul susulan perlawanan bola sepak pasukan lelaki lawan perempuan di Pahang – kesemua melibatkan Melayu Islam.

Pulau Pinang