Polis Cuba Ubah Alasan Selepas Dibidas Siasat Azmin, Kata Peguam

Polis Cuba Ubah Alasan Selepas Dibidas Siasat Azmin, Kata Peguam

Polis Selangor didakwa cuba lari daripada kritikan selepas melanggar hak keistimewaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam siasatan terhadap ucapan disampaikan oleh Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Peguam Azmin, Sasha Lyna Abdul Latif menolak kenyataan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pada 21 Mei lepas yang mendakwa polis meminta Azmin hadirkan diri untuk memberi kenyataan adalah berkenaan kebocoran dokumen, dan bukannya ucapan ahli politik itu di dalam Dewan Undangan Negeri.

“Oleh itu, kenyataan Ketua Polis Selangor yang Azmin dipanggil berkenaan kebocoran dokumen di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan bukannya berkenaan kenyataan dan pernyataan Azmin dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ternyata tidak benar dan bercanggah dengan kandungan Notis tersebut,” kata Sasha.

Hussein sebelum ini berkata Azmin disiasat susulan laporan seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mendakwa dokumen sulit milik perbadanan itu dibocorkan.

“Pegawai tersebut mendakwa dokumen sulit perbadanan tersebut telah dibocorkan dan beberapa maklumat yang tidak tepat didedahkan kepada umum dan dikhuatiri boleh menjejaskan imej serta nama naik PKNS.

“Kehadiran Azmin adalah bagi membantu siasatan kebocoran dokumen tersebut dan bukan mengenai perkara dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri pada 28 Februari lalu,” Hussein dipetik berkata.

Sasha berkata dakwaan polis bahawa siasatan itu dijalankan disebabkan dokumen bocor di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan “bercanggah dengan kandungan notis” polis sendiri.

“Polis seolah-olah cuba untuk mengalihkan isu yang sebenar setelah menerima kritikan keras terhadap tindakan mereka.”

Azmin telah pun mengarahkan peguamnya memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan polis terhadapnya, dan menyeru agar sebarang siasatan dihentikan terhadap mana-mana Adun atau ahli Parlimen yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Sasha mengingatkan kedua-dua perlembagaan negeri Selangor dan persekutuan menjamin hak bersuara wakil rakyat di Parlimen dan DUN.

“Adalah satu prinsip demokrasi bahawa seorang Adun dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 berkenaan apa-apa kenyataan dan/atau pengataan yang dibuat olehnya semasa sidang Dewan,” katanya.

Isu Semasa