Resort Anjur ‘Parti Liar’ Kena Kompaun RM25 Ribu

Resort Anjur ‘Parti Liar’ Kena Kompaun RM25 Ribu

Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort dan melarang penganjuran program seumpamanya diadakan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama pemilik resort tersebut.

“Ini berikutan penganjuran sebuah parti pada 20 Mei yang melanggar kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002 negeri Terengganu.

“Daripada penjelasan pihak Summer Bay Resort, kita dapati banyak perkara yang mereka langgar termasuk tatasusila, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara mesra muslim di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pertemuan bersama pengurusan Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6 Wisma Darul Iman pada hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Razali menjelaskan bahawa program tersebut diadakan setiap tahun tanpa pengetahuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya dan Jabatan pelancongan.

“Resort tersebut mempunyai lesen yang lengkap dan boleh beroperasi seperti biasa, namun kesalahan ini akan dikenakan tindakan.

“Pihak PBT akan mengenakan kompaun kepada resort tersebut dalam masa terdekat, di samping siasatan lanjut mengenai sebarang kesalahan lain di pulau tersebut,” tambahnya.

Difahamkan, program tersebut telah diadakan selama 10 tahun dan hanya dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa pengetahuan PBT.

Razali turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran peraturan oleh mana-mana resort kepada pihak berautoriti.

“Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan info mengenai parti terbabit,” katanya.

Terengganu