Sumpah, Doa Laknat Dan Qunut Nazilah Dalam Politik

Sumpah, Doa Laknat Dan Qunut Nazilah Dalam Politik

Di Malaysia pernah dilaporkan Dato’ Asri Muda dan Tunku Abdul Rahman pernah berbalas sumpah kerana saling bertuduhan sewaktu berkempen.

Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diawal waktu kepulangan beliau ke Malaysia akhir 70-an, sehingga kini, tidak terlepas dengan fitnah yang bermacam-macam yang sudah kita maklumi.

Tetapi semua fitnah itu sehingga kini, tidak pernah berjaya dibuktikan.

Puas sudah pihak berkenaan mengintai kesalahannya, namun hampa.

Hanya sahaja Tan Sri TGHH tidak pula mendoakan laknat atas lawannya, malah memaafkan musuhnya walau jelas beliau dizalimi.

Satu kes besar yang mungkin masih menjadi ingatan kepada rakyat Malaysia ialah apabila al-Arqam yang diharamkan oleh Kerajaan Malaysia kerana didakwa tergelincir aqidah mereka melalui Aurat Muhammadiah.

Menurut salah seorang bekas pimpinan al-Arqam, Ustaz Ashaari iaitu pemimpin utamanya juga telah melakukan sumpah mubahalah diiringi dengan sejumlah besar pengikutnya pada 30 Jun 1994, 30 tahun lalu.

Namun nasib malang hadir dalam hidup beliau bertimpa-timpa selepas sumpah itu.

Tidak mahu bersumpah

DS Anwar Ibrahim pernah berkata yang konon beliau telah dinasihati oleh Yusof al-Qaradhawi untuk tidak bersumpah bagi membersihkan dirinya dalam apa yang beliau namakan konspirasi politik oleh Tun Mahathir, 1998 dahulu, walaupun bukti-bukti telah disediakan oleh pendakwa.

Kemudiannya DS Anwar didapati bersalah sehingga dua kali sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dengan ada beberapa orang peguam beliau menarik diri.

Beliau juga pernah memilih untuk membela diri dari kandang tertuduh tanpa boleh disoal balas oleh pendakwaraya.

Tidak mahu bersumpah, tidak boleh disoal.

Namun agak menghairankan apabila penyokong beliau menyumpah-nyumpah pula Saiful Bahari Azlan dengan bersungguh-sungguh apabila Saiful bersumpah dua kali di dalam Masjid Wilayah dan di hadapan Kaabah bagi membuktikan kebenaran beliau.

Sehingga kini Saiful kelihatan baik sahaja, disebalik khabar angin yang disebarkan oleh penyokong DS Anwar yang Saiful sudah terkena berbagai penyakit hasil dari sumpahannya sendiri.

Begitulah ahli PKR, sampaikan Imam Masjid Wilayah Romlang Porigi yang menyaksi sumpah itu juga dikutuk mereka.

Fatwa berubah-rubah

Dato’ Seri Ahmad Said pernah dengan sengaja mengeluarkan kenyataan PAS adalah Parti Ajaran Sesat bagi menimbulkan kontroversi dan kegelisahan terhadap rakyat.

Dengan tangkas dan berani, cercaan itu dibalas oleh almarhum Dato’ Abu Bakar Chik dengan membawa bersama beliau ahli keluarganya dan mencabar DS Ahmad untuk bersumpah laknat yang PAS adalah sesat.

Menikus DS Ahmad Said diam membisu, tidak pernah dia menyahut cabaran itu sehingga almarhum meninggal.

Dan tidak pernah lagi DS Ahmad mengulangi fitnah itu.

Akhirnya beliau pula yang jatuh dari kerusi MB Terengganu, sampai menangis DS Ahmad dibuat DS Najib.

DS Najib Razak pernah bersumpah atas nama Allah di dalam masjid bagi membuktikan beliau tidak bersalah dalam skandal yang terkenal 1MDB.

Namun beliau akhirnya didapati bersalah juga oleh mahkamah walaupun sudah merayu.

Beliau kini masih dalam penjara.

Manakala penggantinya DS Zahid Hamidi juga pernah bersumpah atas nama Allah No Anwar, No DAP di hadapan khalayak ahli partinya.

Namun dia akhirnya mengingkari sumpahnya itu.

Jika kita masih ingat kedua mereka ini pernah didoakan laknat oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika hayatnya dahulu.

Waktu ini PKR tumpang mengaminkan doa almarhum, tiada pula mereka berfatwa haram mendoakan laknat sesama Islam.

Jangan lupa PKR juga tidak marahkan allahyarham Nik Radzi Nik Mat, adik kepada TGNA yang pernah mendoakan K.O Umno, K.O Umno.

Akhirnya kesemua doa-doa mereka terhadap Umno, benar-benar terjadi.

PKR dan Pan tumpang gembira dengan kejatuhan Umno itu.

Fatwa mereka ketika itu ialah menghalalkan himpunan “doa-doa politik” itu walaupun mereka sedar Umno juga beragama Islam.

Sekarang fatwa PH mengatakan doa laknat atau qunut nazilah terhadap musuh iaitu sesama Islam, tidak lagi dibenarkan. Ia haram.

Yalah, sudah nampak depan mata sejarah doa-doa itu diterima Allah, mana tak rasa takut.

Nanti kalau kerajaan PH jatuh dahulu, tidak sempat pulak dapat nak makan pencen menteri sekali lagi, sedihlah kan?

Doa laknat daripada orang yang dizalimi tidak kira Islam atau bukan, tiada hijab antaranya dengan Allah.

Kalau tidak mahu kena doa itu, janganlah berlaku zalim, simple.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis