Beberapa hospital kerajaan melaporkan peningkatan pesakit remaja yang mengalami masalah berkait vape, melahirkan kebimbangan baru tentang rokok elektronik itu yang kini mudah didapati selepas kelompongan undang-undang mengawal tabiat itu di kalangan golongan bawah umur.
Meskipun tiada angka rasmi, sumber daripada hospital kerajaan memberitahu MalaysiaNow tentang peningkatan kes halusinasi dan kebocoran paru-paru (pneumothorax) dalam kalangan penghisap vape muda.
Seorang doktor di selatan Semenanjung menceritakan bagaimana seorang pesakit di bawah usia 20 tahun mengalami halusinasi selepas menghisap vape.
Menurutnya, pesakit itu baru seminggu menghisap sejenis perisa vape baru yang diberikan kawannya.
“Selepas itu dia datang ke hospital kerana tidak boleh bezakan realiti dan fantasi. Tiang lampu nampak muka orang, bila berjalan jumpa orang, nampak muka arwah ayah dia.
“Dia nampak objek yang dia tak tahu wujud atau tidak,” katanya.
MalaysiaNow difahamkan pesakit berkenaan terpaksa dimasukkan ke dalam wad psikiatrik disebabkan masalah psikosis, iaitu sejenis gangguan jiwa.
Bagaimanapun, pihak kesihatan berdepan kesukaran mengesahkan kandungan perisa memandangkan vape tidak dikawal selia.
“Tetapi kami yakin bahannya ialah mushroom,” katanya, merujuk kepada perisa “magic mushroom” dalam vape.
Perisa tersebut ialah dari sejenis spesis cendawan dan mengandungi psilocybin, sejenis halusinogen yang sangat kuat.
Baru-baru ini, seorang pelajar Tingkatan 4 di Terengganu dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil vape jenis “magic mushrooms”.
Industri tembakau dan vape mendapat kelonggaran selepas pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim memansuhkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG), yang bertujuan melarang individu dilahirkan selepas 2007 daripada memiliki, membeli atau menggunakan sebarang jenis rokok termasuk vape.
Ia ditambah dengan keputusan kontroversi pada Julai tahun lalu oleh menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun, membolehkan vape dijual secara terbuka kepada orang ramai.
Remaja lebih berisiko
Seorang doktor di Lembah Klang juga melaporkan trend peningkatan komplikasi vape yang membabitkan halusinasi.
Katanya, pesakit akan berkelakuan sangat agresif dan perlu ditenangkan dengan ubat penenang.
“Ada pesakit yang berusia 15 tahun yang mahu cuba merokok. Tetapi sejak ada vape, trend ini berubah kepada ingin mencuba vape. Selepas itu mereka mencuba pelbagai perisa termasuk mushroom. Mereka ketagih dan pengambilan dos semakin bertambah apabila mereka mencapai tahap ‘tolerance’ yang mana dos biasa sudah tidak memberi kesan,” katanya yang mula mengesan peningkatan komplikasi kesihatan akibat vape sejak pertengahan tahun lalu.
Doktor yang enggan dinamakan itu berkata, sukar untuk mengawal dos nikotin atau bahan terlarang lain dalam perisa vape memandangkan ia tidak diselia.
Keadaan itu memangsakan remaja yang tidak peduli tentang kandungan bahan dalam perisa vape.
Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan juga sukar mengesan dadah haram generasi baharu melalui ujian air kencing yang biasa digunakan di hospital.
“Jika individu itu mempunyai masalah mental, apa-apa dadah termasuk dalam vape akan memburukkan lagi keadaan mental pesakit sedia ada, dan mempercepatkan seseorang itu untuk mendapat sakit mental.
“Jika tiada sakit mental, ia akan menyebabkan otak seseorang itu sangat terjejas dan berisiko mendapat sakit mental,” tambahnya.
Dr Hijaz Ridzwan, penolong professor di Jabatan Psikiatri, Universiti Islam Antarabangsa, berkata magic mushroom mempunyai bahan terlarang seperti LSD atau PCP yang menyebabkan kesan khayal dan halusinasi.
“Dalam tempoh masa 3-5 tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat betapa mudahnya remaja bawah umur terlibat dalam vape. Selain itu, semakin banyak jenis dadah sintetik seperti ganja dan metamfetamin juga dijual dalam bentuk vape,” katanya.
Komplikasi lain termasuk masalah pernafasan, jangkitan kuman dan radang paru-paru.
Menurut Hijaz, masalah tersebut boleh menyerang pengguna vape tanpa mengira umur.
Dr Rozanizam Zakaria dari Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah berkata golongan remaja lebih berisiko kerana otak mereka masih berkembang.
“Terdapat kes yang berlaku, termasuk remaja yang tidak mempunyai sebarang sejarah masalah kesihatan atau masalah mental tiba-tiba mengalami perubahan tingkahlaku yang tidak normal secara tiba-tiba, termasuk berkelakuan agresif terhadap ahli keluarga.
“Pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan fizikal, sehinggalah sejarah penggunaan bahan terlarang diperolehi. Dari situ kita mendapati remaja yang terbabit ada sejarah penggunaan vape dengan bahan yang mengandungi mushroom, dibeli secara atas talian,” katanya.
Jelas beliau, risiko mendapat psikosis lebih tinggi jika individu mempunyai sejarah penyakit mental dalam keluarga seperti skizofrenia dan bipolar.
Katanya, walaupun psikosis akan pulih selepas kesan bahan tersebut habis, ada kes yang mencatatkan kesan jangka panjang kepada kesihatan mental.
MalaysiaNow turut difahamkan ramai remaja sekolah di Pantai Timur dikejarkan ke bilik kecemasan hospital akibat komplikasi paru-paru.
Seorang staf hospital berkata pesakit sering kali perlu ditebuk pada bahagian dada untuk mengeluarkan cecair dari paru-paru.
“Apabila kita keluarkan air itu, jika warnanya keruh seperti coklat atau kelabu, biasanya kita akan tanya sama ada perokok atau hisap vape.”
Menurutnya, menjadi amalan biasa pesakit lain yang lebih serius akan dirawat dulu sebelum perhatian diberikan kepada pesakit menghisap vape.
Jelasnya , kebimbangan mengenai gejala itu menyebabkan Kelantan sudah mula mengumpul data dari klinik kesihatan dan hospital kerajaan untuk menilai tahap keseriusan impak vape kepada golongan remaja.
Sikap ibu bapa
Masalah itu ditambah dengan kegagalan ibu bapa melarang anak-anak daripada menghisap vape.
Sumber itu memberi contoh bagaimana seorang pesakit remaja mengaku tidak pernah dimarahi ibu bapa kerana menghisap vape.
Malah, katanya, remaka itu berkongsi cecair vape berperisa dengan ayahnya sendiri di rumah.
“Kita sudah terbeban dengan kakitangan yang tidak mencukupi, stok ubat yang tidak menentu tapi masih perlu risau dengan mentaliti masyarakat setempat yang enggan memahami bahaya rokok dan vape,” tambahnya.
Seorang lagi sumber berkata doktor dan pegawai farmasi sering mengeluh tentang sikap menteri dan pegawai di Putrajaya memandang sepi masalah berkait vape.
Katanya, Malaysia berdepan krisis kesihatan besar-besaran jika tiada usaha membendung atau kawal selia penjualan vape nikotin.
“Kalau alasan untuk kutip cukai dan dapatkan hasil kepada negara, lihat sahajalah, duit itu akan habis beli tiub pneumothorax nanti.”