Kezaliman Sebagai Punca Kejatuhan Pemerintahan Rom Dan Parsi

Kezaliman Sebagai Punca Kejatuhan Pemerintahan Rom Dan Parsi

Kejatuhan empayar besar seperti Rom dan Parsi di tangan tentera Islam bukan semata-mata hasil kekuatan fizikal atau strategi ketenteraan Islam.

Sebaliknya, kezaliman yang meluas dan maksiat dalam pemerintahan mereka menjadi punca utama kelemahan dua kuasa besar dunia ini.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Kuliah Dhuha Jumaat yang diadakan di Masjid Rusila, Marang.

Menurut beliau, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat oleh pemerintah Rom dan Parsi menyebabkan rakyat membenci pemerintahan mereka sendiri, sehingga ia menjadi rapuh dan mudah ditundukkan oleh tentera Islam yang berpegang teguh pada keimanan dan strategi perang yang unggul.

“Kejayaan dicapai ke atas musuh itu, bukan sahaja disebabkan oleh kekuatan iman dan strategi yang baik oleh bala tentera Islam, bahkan juga disebabkan oleh musuh Islam yang dibejati oleh kezaliman dan maksiat. (Kerana perbuatan tersebut mereka) dibenci oleh rakyat mereka sendiri,” jelas beliau.

Keangkuhan Menolak Dakwah Islam

Tuan Guru Abdul Hadi turut mengimbas peristiwa penting dalam sejarah, apabila Rasulullah SAW mengutus surat kepada beberapa pemimpin dunia termasuk Raja Rom dan Raja Parsi.

Surat yang membawa mesej perdamaian dan dakwah itu mengajak mereka memeluk Islam dengan jaminan keselamatan, tetapi ditolak dengan penuh keangkuhan.

“Nabi hantar surat kepada raja Rom, raja Parsi, raja Muscat, raja Oman, raja Habsyah.

“Surat itu membawa mesej, ‘Aslim taslam’ (masuk Islam, kamu akan selamat). Tapi kalau tak mahu masuk Islam, jangan halang Islam disebarkan,” kata beliau.

Namun, keengganan mereka menerima dakwah Islam, malah menghina utusan Rasulullah SAW, membawa kepada tindakan balas tentera Islam.

Perjuangan ini akhirnya menyaksikan kemenangan Islam di bawah kepimpinan Khalifah Abu Bakar RA dan Khalifah Umar RA.

Keberanian dan Keimanan Tentera Islam

Salah satu pertempuran yang membuktikan keberanian luar biasa tentera Islam ialah Perang Mu’tah, di mana pasukan kecil Islam mampu menghadapi tentera musuh yang jauh lebih besar.

Abdul Hadi menjelaskan bahawa keutamaan syahid dalam kalangan tentera Islam menjadi kekuatan utama mereka, berbeza dengan tentera musuh yang takutkan kematian.

“Hebatnya tentera Islam, seorang lawan 70 orang, menang Islam lagi dengan pertolongan Allah.

“Orang Islam berperang nak mati syahid, kerana mati masuk syurga terus. Dia (musuh) takut mati.” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kezaliman yang dilakukan oleh pemerintahan Rom dan Parsi terhadap rakyat mereka sendiri menyebabkan rakyat tidak memberikan sokongan.

Akibatnya, kekuatan kerajaan mereka melemah dan akhirnya tewas kepada tentera Islam.

Pengajaran Sejarah

Kejatuhan Rom dan Parsi memberikan pengajaran besar bahawa kezaliman dan penindasan tidak akan mampu mengekalkan kekuasaan.

Sejarah membuktikan bahawa kekuatan sesebuah pemerintahan bukan sahaja bergantung kepada kehebatan ketenteraan, tetapi juga kepada keadilan dan sokongan rakyat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan bahawa umat Islam harus mengambil iktibar daripada peristiwa ini dengan memastikan pemerintahan Islam terus adil, menolak kezaliman, dan mengutamakan ketaatan kepada Allah SWT.

“Islam menang bukan kerana kekuatan tentera semata-mata, tetapi kerana keadilan dan keberkatan perjuangan,” tegas beliau.

Minda Pemimpin