Kenaikan Harga Minyak: Ujian Integriti Pemimpin Dan Ketidakpuasan Hati Rakyat

Kenaikan Harga Minyak: Ujian Integriti Pemimpin Dan Ketidakpuasan Hati Rakyat

Pengumuman kenaikan harga minyak hari ini sekali lagi mencetuskan gelombang ketidakpuasan hati rakyat, terutama apabila janji-janji lama pemimpin kembali diungkit.

Janji-janji yang suatu ketika dahulu dianggap solusi tuntas kini menjadi bahan sindiran, seolah-olah membuktikan betapa sukarnya mengekalkan integriti dalam kepimpinan.

Rakyat tidak hanya bersuara di media sosial, malah turut mengaitkan situasi ini dengan peringatan Rasulullah SAW yang termaktub dalam hadis al-Bukhari. Baginda bersabda:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan percakapan orang yang benar pula didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.”

Hadis ini, menurut para sarjana Muslim, menggambarkan kerosakan akhlak dan integriti dalam masyarakat akhir zaman.

Mereka menegaskan bahawa situasi ini kerap berlaku apabila golongan pendusta diangkat sebagai pemimpin.

Kata-kata mereka sering kali didorong oleh kepentingan peribadi, bukan demi kemaslahatan rakyat.

Dalam konteks kepimpinan, amanah adalah tanggungjawab utama yang mesti dijunjung tinggi.

Rasulullah SAW dengan tegas mengecam pemimpin yang menipu rakyatnya. Baginda bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلَّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.”

Kenyataan ini menggariskan betapa beratnya dosa pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

Kenaikan harga minyak bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga menjadi cerminan kepada kredibiliti pemimpin dalam merealisasikan janji-janji mereka.

Rakyat mengharapkan pemimpin yang jujur, yang mampu bertindak dengan bijaksana dan adil dalam menangani cabaran ekonomi semasa.

Namun, apabila janji-janji yang suatu ketika dahulu dilaungkan dengan penuh keyakinan kini tidak ditepati, ia menimbulkan persoalan tentang keikhlasan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagi pemimpin, wajar direnungkan bahawa sejarah akan menjadi saksi kepada tindakan mereka.

Jangan sampai generasi akan datang mengenang mereka sebagai pemimpin yang hanya pandai menabur janji manis tanpa usaha yang konkrit untuk merealisasikannya.

Semoga Allah membimbing kita semua, khususnya pemimpin, agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan keikhlasan.

Rakyat tidak meminta bulan dan bintang, hanya kejujuran dan integriti dalam kepimpinan yang mereka dambakan.

Kolumnis