Nepotisme atau pilih keluarga bermaksud melebihkan atau mengutamakan saudara-mara serta rakan-rakan yang ada hubungan, bukannya penilaian secara objektif keupayaan seseorang yang hendak dipilih.
Manakala kronisme pula bermaksud amalan yang mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan-kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya untuk keuntungan pihak mereka.
Mengikut ilmu mantiq (ilmu logik atau science of reason), pendahuluan ilmu falsafah dan ilmu istilah mestilah bersifat jami‘ (kolektif atau comprise atau compile) dan mani‘ (obstacle).
Maka, apa-apa takrif yang digunakan hendaklah memenuhi ciri-ciri yang berkaitan dan menolak perkara yang tidak ada kaitan dengannya.
Hal ini mendedahkan kejahilan mereka yang merendah-rendahkan martabat Rasulullah SAW dalam ilmu bahasa dan istilah.
Sekiranya disiasat, jelas sekali bahawa pemikiran mereka tidak berfalsafah, malah lebih cenderung memperlihat kejahilan dan keruntuhan moral mereka sendiri.
Keadaan ini disebut sebagai jahil murakkab, iaitu apabila seseorang bercakap mengenai perkara yang tidak diketahuinya.
Pelantikan keluarga Rasulullah SAW dan para sahabat RA terkeluar daripada takrif nepotisme dan kronisme.
Hal ini demikian kerana, mereka dilantik berdasarkan kelayakan dan pengorbanan mereka dalam perjuangan pada zaman awal Islam yang jauh daripada matlamat untuk mencari kemewahan dan kesempatan jawatan, ketika Islam dikepung oleh seluruh dunia.
Allah SWT telah memberikan jaminan akan kebalnya peribadi Rasulullah SAW daripada sebarang fitnah dan pembohongan, sebagaimana firman-Nya:
فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٩٤ إِنَّا كَفَيۡنَٰكَ ٱلۡمُسۡتَهۡزِءِينَ ٩٥ ٱلَّذِينَ يَجۡعَلُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ ٩٦ وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ ٩٧
“Maka, sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada orang-orang yang Musyrik. (94)
“Sesungguhnya, Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu). (95)
“(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya). (96)
“Dan demi sesungguhnya, Kami mengetahui, bahawa kamu bersusah hati dengan sebab apa yang mereka ucapkan. (97)” [Surah al-Hijr: 94-97]
Rasulullah SAW merupakan teladan daripada Allah kepada seluruh manusia bagi menegakkan keadilan dan kebenaran tanpa peduli siapa yang terlibat. Firman Allah SWT:
۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya, Allah adalah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Hakikatnya, pelantikan para sahabat RA dan keluarga Baginda SAW adalah disebabkan kelayakan ilmu dan akhlak, serta baiah setia mereka dalam menghadapi cabaran yang mengancam nyawa dan harta.
Bukannya kerana harta, kesenangan atau kepentingan peribadi ketika negara Islam berada dalam keadaan miskin dan dikepung oleh seluruh pelosok dunia.
Ketika itu, semua pegawai dan petugas negara Islam bekerja secara sukarela tanpa menerima gaji, sebaliknya hanya menerima sedikit imbuhan sahaja.
Rasulullah SAW juga mengharamkan ahli keluarganya daripada menerima zakat dan sedekah, kerana sumber tersebut merupakan sebahagian daripada punca kewangan negara bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan pada masa itu.
Pada masa yang sama, Baginda SAW menentang sekeras-kerasnya ahli keluarga yang menentang Islam, selaras dengan firman Allah SWT:
لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَـٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٢٢
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan mereka dimasukkan oleh-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap-Nya (limpahan rahmat-Nya). Mereka itulah Hizbullah (golongan Allah). Ketahuilah, sesungguhnya itulah golongan yang mendapat kemenangan (dunia dan akhirat).” [Surah al-Mujadalah: 22]
Mereka hanya beriman kepada janji Allah mengenai pahala dan syurga yang ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak dapat dirasai oleh pancaindera.
Hanya mereka yang benar-benar ikhlas beriman sahaja boleh menerima jawatan yang ditugaskan kepada mereka.
Hal ini disebabkan jawatan yang dipikul itu sangat mencabar, sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan hidup kerana terpaksa mengikat perut dan berpuasa.
Malah, ia bukan tempat untuk mencari kesenangan dan kesempatan yang menjadi prinsip dan matlamat pengamal kronisme dan nepotisme.
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Siasatan dan pemerhatian yang teliti akan mendapati bahawa mereka yang memfitnah Rasulullah SAW sebenarnya terdiri daripada kalangan yang runtuh moralnya sendiri, bersifat jahil dan fasiq, serta mengejar kebendaan dan pangkat.
Bahkan, dalam kalangan mereka terdapat individu yang kufur dan munafiq.
Jika dikaji secara ilmiah dan berfakta, jelas bahawa takrif kronisme dan nepotisme tidak bertepatan dengan peribadi Rasulullah SAW, yang telah dipilih oleh Allah dan dipuji akhlaknya.
Hal ini demikian kerana, Rasulullah SAW sentiasa berada dalam bimbingan wahyu dan Baginda juga mendidik ahli keluarganya untuk banyak berkorban dalam menghadapi kesusahan hidup.
Apabila ahli keluarganya meminta lebihan harta untuk menikmati kemewahan dunia, Allah SWT telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيۡنَ أُمَتِّعۡكُنَّ وَأُسَرِّحۡكُنَّ سَرَاحٗا جَمِيلٗا ٢٨ وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِيمٗا ٢٩
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, ‘Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan kepadamu mutaah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. (28)
“Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik antaramu pahala yang besar.’ (29)” [Surah al-Ahzab: 28-29]
Apabila cucu Rasullullah SAW mengunyah buah kurma daripada hasil zakat, dengan marah Baginda SAW mengeluarkan kurma daripada mulut cucunya, kerana diharamkan walau sedikit pun harta zakat kepada keluarganya.
Malah, Baginda SAW sendiri juga hidup dalam keadaan miskin kerana menyumbangkan hartanya untuk membantu rakyat.
Mereka yang menuduh Rasulullah SAW dengan tuduhan sedemikian sebenarnya menentang Allah dan boleh dipertikaikan keimanannya.
Hal ini demikian kerana, Allah mewajibkan manusia mengambil teladan daripada Rasulullah SAW:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” [Surah al-Ahzab: 21]
Rasulullah SAW tidak boleh dibandingkan dengan manusia lain, bahkan generasi keluarga dan para sahabatnya yang beriman juga tidak boleh disamakan dengan generasi kemudian.
Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa secupak makanan yang disumbangkan oleh para sahabat pada zaman awal Islam lebih besar pahalanya di sisi Allah, berbanding sumbangan emas sebesar bukit oleh generasi kemudian.
Maka, sesiapa yang mempertikaikan sifat mulia yang wajib dimiliki oleh para rasul sebenarnya mencabar Allah dan menghina para rasul-Nya yang wajib bersifat benar (siddiq), amanah, tabligh (menyampaikan), dan bijaksana (fatanah).
Malah, Baginda SAW terpelihara daripada sebarang sifat buruk dengan pengawalan wahyu daripada Allah SWT.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS