Hikmah Di Sebalik Kekeliruan: Pendekatan PAS Dalam Mengurus Kepelbagaian

Hikmah Di Sebalik Kekeliruan: Pendekatan PAS Dalam Mengurus Kepelbagaian

Dalam dunia politik yang serba kompleks, salah tafsir terhadap tindakan pemimpin sering mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Namun bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kekeliruan itu bukan sekadar cabaran – ia adalah peluang untuk memperjelas prinsip dan pendirian Islam dalam mengurus kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.

Menerusi kenyataan panjang yang tular baru-baru ini, PAS menegaskan bahawa perjuangan Islam tidak boleh bersifat apologetik, bahkan perlu kekal tegas dan konsisten dalam mempertahankan aqidah serta prinsip keadilan sejagat.

Prinsip ini, menurut kenyataan tersebut, tidak sesekali bercanggah dengan kebebasan beragama seperti yang diajar oleh Islam melalui ayat:

“لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ”

(Tiada paksaan dalam agama) – [Surah Al-Baqarah: 256]

Malah, PAS mencontohkan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri mengizinkan golongan Yahudi tinggal di Madinah selagi mereka menghormati perjanjian, membuktikan keterbukaan Islam dalam menghormati hak agama lain.

Hormat Adat, Bukan Berkompromi Aqidah

PAS menjelaskan bahawa menghormati adat budaya kaum lain bukanlah suatu kesalahan selagi ia tidak menyentuh soal aqidah atau melibatkan unsur ritual keagamaan.

Tindakan mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina” atau menerima kuih bulan yang halal misalnya, tidak melanggar syariat.

Dalam konteks ini, PAS menyatakan kekal konsisten dalam menyantuni masyarakat majmuk, termasuk menerima tanda penghormatan seperti kalungan bunga atau selendang “VIP” daripada kaum India – satu amalan yang menurut PAS, telah dikaji dan disahkan bukan simbol keagamaan.

Malah, tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menerima kalungan seumpama itu dalam program masyarakat.

Kontroversi Ustaz Nushi: Isu atau Hikmah?

Tindakan YB ADN Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz menerima kalungan bunga dan selendang semasa kunjungan ke sebuah rumah ibadah baru-baru ini menjadi buah mulut ramai, malah turut menerima kecaman.

Namun, PAS tampil mempertahankan beliau dan menjelaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang ritual atau simbolik keagamaan, sebaliknya hanya menerima tanda penghormatan budaya dan mengadakan dialog.

Kontroversi ini membuka peluang kepada PAS untuk memperjelas pendirian rasmi parti berkenaan garis panduan terhadap penyertaan pemimpin Islam dalam acara-acara antara agama. Antara yang diperincikan ialah:

  • Rumah ibadah yang sah harus dihormati, manakala rumah ibadah haram harus ditangani secara adil menurut undang-undang.
  • Pemimpin Islam dibolehkan hadir ke rumah ibadah bukan Islam jika acara tidak berbentuk keagamaan.
  • Penyertaan dalam adat budaya yang tidak bercanggah dengan syarak dibenarkan, namun ritual keagamaan wajib dielakkan.
  • Tindakan yang kabur atau tidak jelas dari sudut hukum hendaklah dielakkan demi menjaga sensitiviti dan kesucian agama.

Garis Panduan JAKIM dan Sikap Dwi Standard

PAS turut menyambut baik cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk merangka garis panduan yang jelas, bagi menangani isu seumpama ini secara menyeluruh.

Namun, kekesalan disuarakan apabila usaha ini terbantut berikutan tekanan politik dan bantahan dari pihak tertentu, termasuk DAP.

PAS juga menempelak pihak yang melabel parti itu hipokrit apabila membandingkan tindakan Ustaz Nushi dengan gambar-gambar sambutan agama yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hal ini, PAS menegaskan bahawa garis ukur mesti bersandarkan neraca al-Quran dan Sunnah, bukan sentimen politik atau pilih kasih.

“Timing” Yang Tepat Untuk Menjernihkan Suasana

Sebahagian pengkritik mempertikaikan masa lawatan Ustaz Nushi yang dikatakan tidak sesuai, namun bagi PAS, itulah saat terbaik untuk menjernihkan kekeliruan – dengan memberikan penjelasan bahawa Islam tidak menindas, dan tidak menghalang kebebasan agama, selagi segalanya berlaku dalam ruang lingkup undang-undang yang sah.

PAS juga sedar bahawa apa sahaja tindakan mereka akan terus dikritik – ada yang menuduh ekstremis, ada pula yang menuduh terlalu lunak dengan kaum lain.

Namun, PAS percaya bahawa dalam kekeliruan yang timbul, akan terzahir juga hikmah di sebaliknya – iaitu Islam yang seimbang, berpegang teguh pada prinsip, namun tetap meraikan keharmonian dalam masyarakat majmuk.

“Hari ini orang menghentam, tetapi esok mereka akan memahami,” kata kenyataan tersebut penuh yakin.

Isu Semasa