Tun Abdullah Ahmad Badawi: Di Sebalik Diplomasi Halus Seorang Negarawan

Tun Abdullah Ahmad Badawi: Di Sebalik Diplomasi Halus Seorang Negarawan

Dalam barisan panjang Perdana Menteri Malaysia, nama Tun Abdullah Ahmad Badawi mungkin jarang disebut sebagai tokoh geopolitik dunia.

Namun, bagi saya secara peribadi, beliaulah Perdana Menteri yang paling saya rasa dekat – bukan kerana dasar populis, tetapi kerana kehalusan fikir dan kearifan diplomasi yang beliau tunjukkan, terutamanya ketika Malaysia berada di persimpangan sejarah dunia.

Tun Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003, tepat pada waktu dunia menyaksikan perubahan besar dalam landskap kuasa global.

Ketika itu, Amerika Syarikat berada di kemuncak kekuatan hegemoninya di bawah Presiden George W. Bush – menyerang Iraq, menggugat kestabilan Timur Tengah, dan meminggirkan suara dunia dengan retorik unilateralismenya.

Namun, tanda-tanda keletihan mula kelihatan – perang yang berpanjangan, kos yang tinggi, dan sokongan antarabangsa yang kian merosot.

Pada masa yang sama, kuasa-kuasa lain mula menyusun langkah.

China masih belum menjadi kuasa dunia seperti hari ini, namun ekonominya sedang bangkit dengan pantas.

Vladimir Putin pula baru mengukuhkan cengkaman politiknya di Rusia.

BRICS – blok baharu kuasa ekonomi dunia – baru sahaja dibentuk pada tahun 2006.

Dunia sedang berubah, dan Malaysia perlu memainkan peranan yang bijaksana.

Diplomasi yang Tenang Tapi Tajam

Di tengah ketidaktentuan ini, Tun Abdullah hadir bukan sebagai pemimpin retorik tinggi, tetapi sebagai negarawan tenang yang memahami nilai diplomasi.

Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri, selain Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, yang pernah memegang portfolio Menteri Luar.

Pengalaman ini menjadikan pendekatan dasar luar Malaysia sewaktu beliau sangat tersusun, stabil dan jauh dari kontroversi – namun tetap berpengaruh.

Salah satu kejayaan paling gemilang dalam era beliau ialah penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS) yang pertama pada tahun 2005.

Malaysia ketika itu mempengerusikan ASEAN dan berjaya menghimpunkan China, Jepun dan Korea Selatan – tiga kuasa yang sering tegang hubungannya – untuk duduk semeja membincangkan masa depan rantau Asia Timur.

EAS kemudian diperluas untuk melibatkan Australia, New Zealand dan India.

Sidang ini menjadi asas kepada RCEP (Regional Comprehensive Economic Partnership) – perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia hari ini, yang merangkumi hampir satu pertiga ekonomi global.

Tanpa slogan besar atau kempen megah, Malaysia di bawah Tun Abdullah telah membuka jalan kepada satu kerjasama ekonomi serantau yang berimpak besar dan berjangka panjang.

Pen Yang Menyatukan Dua Kuasa

Satu peristiwa kecil tetapi sangat simbolik dalam EAS pertama di Kuala Lumpur sering saya ingat.

Ketika itu, hubungan China dan Jepun sangat tegang akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua.

Demonstrasi besar-besaran di China membakar produk Jepun, manakala diplomasi kedua-dua negara membeku.

Namun, dalam sidang tersebut, kedua-dua pemimpin – Junichiro Koizumi (Jepun) dan Wen Jiabao (China) – hadir.

Mereka secara “kebetulan” duduk bersebelahan.

Pen Koizumi pula didapati tidak berfungsi sewaktu hendak menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur.

Wen kelihatan serba salah. Hulur atau tidak pen kepada lawannya?

Di sinilah Tun Abdullah memainkan peranan halusnya – memujuk Wen supaya meminjamkan pen tersebut.

Wen akur, Koizumi menerima, dan detik itu menjadi simbol damai dalam forum yang pertama kali menghimpunkan kuasa-kuasa besar Asia Timur.

Satu tindakan kecil, tapi bererti besar. Inilah diplomasi Malaysia – menjadi jambatan, bukan halangan.

Tun Abdullah bukan sekadar pemimpin negara, tetapi pengaman di kala ketegangan.

Diplomasi yang Semakin Dilupakan

Hari ini, ramai mungkin terlupa betapa bijaknya Tun Abdullah menavigasi dunia dalam keadaan bergejolak.

Malaysia tidak terlibat dalam kontroversi besar, malah semakin dihormati kerana pendekatannya yang sederhana, realistik, dan konstruktif.

Ketika negara lain sibuk bermegah dengan kuasa ketenteraan dan slogan geopolitik, Malaysia memimpin dengan prinsip dan diplomasi.

Pemergian beliau baru-baru ini bukan sekadar kehilangan seorang mantan Perdana Menteri, tetapi juga pemergian satu era diplomasi Malaysia yang damai, stabil, dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Innalillahi wa inna ilayhi raji’un.

Jasamu dikenang, Tun. Semoga damai abadi bersamamu.

Oleh: Ayman Rashdan Wong

Kolumnis