Negara aparteid yang zalim dan bersifat pembunuh kini merayu kepada Barat untuk membantu memadamkan kebakaran, sedangkan tanpa rasa belas kasihan, tenteranya terus membakar kanak-kanak dan orang dewasa hidup-hidup di Gaza.
Hutan-hutan yang menutupi perkampungan Palestin yang dimusnahkan sejak peristiwa Nakbah 1948 kini sedang terbakar, pada saat rejim Israel bersiap untuk meraikan ulang tahun ke-80 penubuhan mereka sebagai negara penjajah yang berasaskan kaum pendatang.
Ini merupakan lambang yang sangat sesuai bagi menggambarkan racun-racun dalaman dalam sistem Zionis yang semakin runtuh dan sedang bertukar menjadi abu.
Negara aparteid yang membunuh ini merayu kepada negara-negara Barat untuk memadamkan api, sedangkan pada masa yang sama, ia terus membakar orang awam di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan dengan bom-bom buatan Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman – semuanya dengan sokongan sebahagian besar rakyat Israel dan rangkaian Zionis antarabangsa.
Saya – seperti ramai orang lain – pernah menjadi mangsa penipuan dana Yahudi Zionis (Jewish National Fund – JNF) ketika zaman kanak-kanak, menyumbangkan wang saku kononnya untuk menanam pokok bagi ‘menghijaukan padang pasir’.
Namun kini saya merasa seakan ditebus dengan hakikat bahawa sesuatu sedang membersihkan tanah yang dicuri itu daripada penyamarannya.
Saya berasa bangga kerana ketika saya menjawat jawatan Menteri Air dan Perhutanan dalam kerajaan demokrasi Afrika Selatan, saya telah menggagalkan usaha untuk menamakan semula kawasan “Hutan Afrika Selatan” di Galilea, Palestin yang dijajah, kepada “Hutan Nelson Mandela”.
Vegetasi yang ditanam secara paksaan itu menyembunyikan tapak asal kampung Palestin bernama Lubya yang telah dihapuskan.
Kawasan itu pernah dilawati oleh pembuat filem Afrika Selatan, Heidi Grunebaum, yang kemudiannya menghasilkan dokumentari menyentuh hati berjudul “The Village Under the Forest”.
Penganalisis Timur Tengah terkenal dari Afrika Selatan, Naeem Jeenah, yang menemani Heidi dalam lawatan itu, menceritakan pengalaman mereka:
“Saya dan Heidi adalah dua orang bukan Kristian dalam delegasi Afrika Selatan ke sebuah persidangan Kristian di Bethlehem.
“Selepas persidangan, kami semua – lapan orang – nekad untuk melawat Lubya walaupun jauh dari laluan kami.
“Dalam perjalanan ke sana, perasaan kami bercampur baur, termasuk marah yang mendalam.
“Lubya telah dikosongkan pada tahun 1948, dan pokok-pokok asing telah ditanam menutupi tapak asal kampung.
“Hutan baru ini dinamakan sempena nama negara kami!
“Kami menemui sisa runtuhan rumah, sebuah telaga air, bahkan sebuah masjid kecil yang sebahagiannya tertimbus.
“Seorang reverend dalam kumpulan kami begitu bersemangat mahu mencabut semua pokok JNF itu – satu usaha yang mustahil, tetapi semangatnya menggambarkan perasaan kami semua: marah, kecewa, dan rasa dikhianati.
“Mungkin kami patut musnahkan papan tanda ‘Hutan Afrika Selatan’ yang tertera bendera negara kami.
“Filem Heidi mengenai Lubya mencerminkan apa yang kami semua rasai pada hari itu.”
JNF menanam pokok-pokok asing dari Eropah dan Australia seperti pine dan eucalyptus, yang mengandungi sap mudah terbakar dan boleh meletup seperti napalm di iklim panas dan kering.
Pokok-pokok ini juga jenis yang ‘haus air’ – sama seperti para pendatang Zionis – yang menyedut air dari akuifer bawah tanah dan mengancam kehidupan penduduk Palestin serta merosakkan alam sekitar.
Pokok asli seperti cedar dan zaitun diabaikan kerana terlalu “berbau Arab”.
Pendatang Zionis menanam pokok untuk mencipta suasana ‘Eropah kecil’ di tanah Syam, kononnya untuk ‘menghijaukan padang pasir’.
Namun, selepas berlakunya pengusiran etnik, pokok-pokok itu ditanam dengan pantas untuk menutupi bukti pembunuhan dan kemusnahan ratusan kampung Palestin – sebagai usaha untuk memadamkan kewujudan Palestin dari peta sejarah.
JNF berbangga dengan penanaman lebih 260 juta pokok sejak ditubuhkan oleh Theodor Herzl pada tahun 1901.
Di tengah-tengah genosid di Gaza dan serangan di Tebing Barat, pendatang Zionis terus melakukan pogrom dan membakar ladang zaitun yang menjadi sumber kehidupan dan budaya Palestin – dengan hampir sejuta pokok telah dimusnahkan sejak tahun 1967.
Alon Mizrahi, seorang Israel anti-Zionis yang hidup dalam buangan, menyatakan:
“Daripada pengalaman saya sendiri, ladang dan hutan-hutan itu tidak pernah terasa tulen.
“Seperti mereka yang menanamnya, ia mengeluarkan aura yang palsu dan rapuh.
“Saya membesar di sebelah salah satu hutan itu, dan walaupun saya tidak tahu tentang sejarah Zionisme ketika itu, saya sentiasa merasakan sesuatu yang pelik – tidak pernah terasa magikal seperti hutan sebenar.
Kebakaran hutan-hutan pendatang di Israel, yang merupakan tompok kolonial di tanah yang dicuri, mengingatkan saya kepada permulaan perjuangan bersenjata di Afrika Selatan pada tahun 1961, apabila kami membakar ladang-ladang tebu dan pokok wattle milik penjajah kulit putih – penjajah yang sama seperti Israel, yang merampas tanah orang asal.
Sebagai tanda paranoia yang kini menyelubungi Israel, wartawan Saluran 14 berbahasa Ibrani, Hillel Biton Rosen, berkata:
“Satu misteri: Puluhan kebakaran berlaku di seluruh negara – tetapi tiada satu pun berlaku di kawasan Arab.”
Dan beliau betul. Sebabnya ialah kerana ‘kawasan Arab’ menanam pokok-pokok asli, yang tidak mudah terbakar seperti pokok-pokok asing itu.
Mungkin ada kawasan lain juga?
Di zaman gelap pemerintahan aparteid di Afrika Selatan, ketakutan sentiasa menghantui masyarakat penjajah kulit putih – takut akan kemungkinan pembantu rumah orang kulit hitam akan meracun mereka atau membunuh mereka dalam tidur.
Itulah ketakutan kaum penjajah – yang ingin hidup selesa tanpa diganggu oleh sebarang bentuk pemberontakan – namun tidak pernah akan menikmati tidur yang lena sebagaimana orang yang berhati bersih.
Sepertimana rakyat Afrika Selatan berjaya menumbangkan sistem kolonial dan aparteid, begitu jugalah rakyat Palestin.
Perjuangan mereka, dengan sokongan solidariti antarabangsa, akan membawa kepada kemenangan – sejelas terbitnya matahari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat.
Ronnie Kasrils