Saat ini konflik antara India dan Pakistan makin tegang berikutan tragedi pada 22 April lalu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India apabila dipercayai 5 individu melepaskan tembakan ke atas sekumpulan pelancong dan warga tempatan yang mengakibatkan seramai 26 orang terkorban dengan lebih 20 orang lagi dilaporkan cedera.
India menuduh serangan tersebut dilakukan oleh “Kashmir Resistant”, barisan hadapan kumpulan Lashkar-e-Taiba dan Hizbul Mujahideen yang dilabel sebagai proksi Pakistan.
Tekanan hebat ke atas Perdana Menteri India Narendra Modi dan kerajaannya untuk melancarkan tidakbalas ketenteraan ke atas Pakistan terus meningkat dengan Narendra Modi berjanji untuk mengenalpasti, menjejak dan menghukum setiap pelaku dan penyokongnya.
Tidak hanya di India, protes besar-besaran ke atas Pakistan turut berlaku di luar India khususnya di Kedutaan Pakistan seperti di Britain, Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman.
Di atas kertas, perang pada bila-bila masa sahaja boleh berlaku ketika ini khususnya jika ada yang tersilap langkah.
Hakikatnya, konflik di wilayah Kashmir sudah menjangkau 78 tahun dan masih tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Selama konflik ini berlaku, ia telah memakan korban yang cukup ramai, kemusnahan harta benda serta impak ekonomi yang cukup besar terutamanya kepada penduduk di wilayah yang bergolak ini.
Wilayah Kashmir sebenarnya di kuasai oleh tiga buah negara iaitu India, Pakistan dan China.
India menguasai hampir 55 peratus daripada Wilayah Kashmir iaitu Jammu, Lembah Kashmir dan Siachen Glacier.
Pakistan menguasai 30 peratus daripada wilayah tersebut yang terdiri daripada Azad Kashmir dan Gilgit Baltistan.
China pula menguasai 15 peratus daripada wilayah tersebut yang terdiri daripada Lembah Shaksgam dan wilayah Aksai Chin.
Bermulanya konflik di Wilayah Kashmir apabila Kerajaan British membuat keputusan untuk menamatkan penjajahan ke atas India selepas tamat perang dunia kedua.
India pada masa itu adalah satu wilayah yang besar, termasuk juga Pakistan dan Bangladesh sebelum kedua–dua negara itu dibentuk dan merdeka.
Pada masa itu juga telah wujud gerakan kemerdekaan dan konflik agama di seluruh India yang tidak mampu di bendung lagi oleh British.
Akibatnya, Parlimen British telah meluluskan Indian Independence Act 1947 yang memberikan kemerdekaan kepada India namun konflik antara agama telah menyukarkan lagi kemerdekaan India daripada British.
All Indian Muslim League di bawah pimpinan Muhammad Ali Jinnah menuntut sebuah negara merdeka berasingan untuk penganut beragama Islam India bagi meredakan ketegangan agama di mana akhirnya British memutuskan untuk membahagikan India kepada dua buah negara iaitu India dan Pakistan.
Setelah diwujudkan Pakistan dan merdekanya India pada Ogos 1947, laluan kedamaian dan kemerdekaan masih sukar kerana terdapat lebih 550 buah negeri di dalam India yang diperintah oleh Maharaja yang tidak dijajah oleh British.
Kesemua negeri di atas boleh memilih samada untuk menyertai India dan Pakistan ataupun memilih untuk kekal dalam pemerintahannya sendiri.
Salah satu daripada negeri tersebut ialah Jammu dan Kashmir (Jammu Kashmir).
Majoriti penduduk Jammu Kashmir beragama Islam namun di perintah oleh Hari Singh seorang Maharaja yang beragama Hindu.
Maharaja Hari Singh mahu Jammu Kashmir kekal di bawah pemerintahannya dan tidak mahu berada di bawah pemerintahan samada India mahupun Pakistan.
Situasi menjadi tegang apabila majoriti penduduk Jammu Kashmir yang beragama Islam mahu berada di bawah Pakistan dan mendesak Pakistan supaya menggesa Maharaja Hari Singh agar Jammu Kashmir berada di bawah pemerintahan Pakistan.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku kebangkitan rakyat di Jammu Kashmir.
Maharaja Hari Singh tidak mampu mengawal keadaan lalu meminta bantuan India untuk meredakan keadaan.
India meletakkan syarat kepada Maharaja Hari Singh untuk membantunya iaitu Jammu Kashmir mesti berada di bawah pemerintahan India.
Maka pada 26hb Oktober 1947, perjanjian The Instrument of Accession (Jammu and Kashmir) telah di tandatangani di antara Maharaja Hari Singh dan Lord Mountbatten, Gabenor Jeneral India yang mengesahkan bahawa Jammu Kashmir adalah sebahagian daripada Wilayah India.
Pakistan tidak mengiktiraf perjanjian tersebut dan tercetuslah perang pertama di antara India dan Pakistan dalam perebutan wilayah Jammu Kashmir yang di kenali sebagai Indo–Pakistani War 1947.
Kebangkitan rakyat menjadi semakin kuat dan Maharaja Hari Singh kehilangan bahagian selatan Jammu Kashmir kepada ketua–ketua puak dan penduduk Islam tempatan yang mahu bernaung di bawah Pakistan.
India menghantar bantuan ketenteraan kepada Maharaja Hari Singh dengan menurunkan tentera di Srinegar.
Pakistan cuba menghantar bantuan ketenteraan namun dihalang oleh British.
Akibat desakan kuat Pakistan, British akhirnya membenarkan Pakistan menghantar bantuan ketenteraan kepada ketua–ketua puak dan penduduk tempatan yang pro Pakistan.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) campurtangan serta menggesa diadakan gencatan senjata dan perundingan di antara India dan Pakistan.
Setelah termeterainya gencatan senjata, pihak PBB telah menggariskan sempadan di wilayah Jammu Kashmir di antara India dan Pakistan.
PBB juga telah meletakkan tentera di bawah panji–panjinya untuk berada dan menjaga garis sempadan serta ketenteraman Jammu Kashmir ketika itu.
Pada April 1948, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Resolusi 39 PBB untuk menubuhkan UN Commission for India and Pakistan (UNCIP) bagi menyelaras gencatan senjata dan perundingan di antara India dan Pakistan bagi menyelesaikan isu pertikaian wilayah Jammu Kashmir.
Pada 27 Julai 1949, satu perjanjian yang di kenali sebagai The Karachi Agreement telah di tandatangani oleh antara kedua-dua negara namun tidak bertahan lama kerana selepas itu kembali ke kancah peperangan semula pada tahun 1965.
Indo Pakistani War 1965 menyaksikan ketumbukan besar kereta kebal dan kereta perisai yang paling banyak dalam sejarah semenjak tamatnya perang dunia kedua.
Peperangan selama 17 hari antara India dan Pakistan menyaksikan korban yang besar hingga mencecah ribuan orang.
Akhirnya akibat campurtangan diplomatik Amerika Syarikat dan Russia, PBB sekali lagi berjaya menghentikan peperangan dan menganjurkan gencatan senjata.
Akhirnya satu perjanjian gencatan senjata yang di kenali sebagai Tashkent Declaration telah di tandatangani pada 10hb Januari 1966 di Tashkent, Russia serta menamatkan peperangan tersebut.
Perang Kargill 1999 menimbulkan ketakutan kerana sebelum meletusnya perang, India dan Pakistan mempamerkan kekuatan ketenteraan terutamanya dengan melancarkan ujian peluru berpandu nuklear.
PBB ketika itu khuatir dengan keadaan tersebut telah mengenakan sekatan terhadap India dan Pakistan dengan Majlis Keselamatan PBB mengusulkan Resolusi 1172 agar India dan Pakistan menghentikan ujian tersebut.
Akibat daripada desakan antarabangsa yang kuat, India dan Pakistan menghentikan peperangan tersebut pada 26hb Julai 1999.
Pada 9 Ogos 2019, Kerajaan India telah memansuhkan Artikel 370 yang memperuntukkan wilayah Jammu Kashmir mempunyai kuasa autonomi untuk memerintah dan mempunyai perundangan sendiri.
Ia telah mengundang keresahan masyarakat tempatan dan dunia yang khuatir wilayah terbabit akan kembali ke kancah konfrantasi.
Adakah kali ini sekali lagi akan tercetus perang antara India dan Pakistan?
Tidak dinafikan samada ada berlaku atau tidak, sudah tentu ada pihak yang akan mengambil kesempatan demi untuk kepentingan geopolitik mereka khususnya di Asia Tengah.
Sama–sama kita doakan agar keamanan dan kestabilan dapat di capai di Kashmir.
Cukup banyak nyawa yang terkorban, kemusnahan harta benda dan ketegangan yang tidak berkesudahan.
Sampai bila keadaan ini harus berterusan?
Islam agama yang cintakan kedamaian dan keamanan.
Islam memimpin perpaduan, bersatulah kita di bawah panji–panji Islam seperti kata pepatah Melayu bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat.