Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-‘Ankabut: 69)
Umat Islam dahulu pernah menjadi umat yang ditakuti dunia – bukan kerana bilangan mereka yang ramai, tetapi kerana ruh jihad yang membara dalam diri setiap jiwa.
Jihad bukan hanya erti peperangan, tetapi seluruh kehidupan yang didedikasikan kepada Allah, untuk meninggikan kalimah-Nya, membela kebenaran, dan membanteras kezaliman.
Namun hari ini, kita bertanya dengan hati yang pedih: Ainal Jihad? – Di manakah jihad itu kini?
Umat yang Terlena dalam Hiburan dan Permainan
Sedangkan dunia terbakar, dan umat Islam di Gaza, Syria, Sudan, Yaman dan Rohingya terus dizalimi dan dibunuh, kita pula sibuk dengan kejuaraan liga, gembira dengan kemenangan pasukan bola sepak dan melafazkan doa sepenuh hati untuk gol dan piala.
Tidak salah untuk bersukan, tetapi salah apabila sukan mengambil tempat jihad sebagai agenda utama umat.
Umat jenis apakah ini?
Firman Allah SWT:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَـٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (al-Qur’an), dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?” (Surah al-Baqarah: 85)
Kita menyanjung al-Qur’an, tetapi menyisih ayat-ayat jihad.
Kita berpuisi tentang perjuangan, tetapi membisu dalam tindakan.
Kita berselisih besar dalam hal kecil – seperti maulid dan bacaan talqin – tetapi tidak bersuara dalam soal ummah ditindas, umat dibunuh dan Islam dihina.
Umat yang Lupa Tanggungjawab dan Amanah
Apa yang akan kita jawab kepada Allah ketika Dia bertanya: “Apa yang kamu lakukan, sedangkan kamu adalah umat terakhir?”
Bagaimana kita akan menjawab anak-anak Gaza yang berkata:
“Wahai Tuhanku, tanyakan kepada umat Muhammad SAW, mengapa mereka mensia-siakan kami, tidak memberi kami makan, dan tidak melindungi kami?”
Bukankah ini penghinaan terhadap misi besar umat Islam sebagai khalifah di muka bumi, yang ditugaskan menegakkan keadilan, membela yang lemah, dan memerangi kezaliman?
Jihad yang Dipadam dari Tentera dan Negara
Di mana suara pemimpin umat Islam?
Mengapa tiada kekuatan politik, ketenteraan atau diplomatik yang benar-benar membela Islam dan umatnya?
Sebaliknya, para penguasa berebut-rebut menghadiri majlis jamuan di Barat, bergambar bersama rejim yang membunuh rakyat Palestin, dan mendiamkan suara ulama dan pejuang yang menyeru kepada jihad.
Jihad kini tidak lagi diajar dalam kurikulum sekolah, tidak lagi disebut dalam khutbah, tidak lagi dibincangkan dalam forum-forum rasmi.
Ia dipadamkan dari peta dunia umat Islam – seolah-olah jihad adalah jenayah, bukan ibadah.
Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:
“ذِرْوَةُ سَنَامِ الْإِسْلَامِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
“Puncak tertinggi Islam ialah jihad di jalan Allah.” (HR. Tirmizi)
Pengkhianatan Intelektual dan Kesetiaan kepada Musuh
Tragisnya, sebahagian yang mengaku cendekiawan Islam pula bersorak gembira apabila Muslimin dibunuh.
Mereka senang apabila musuh Islam bersenang, dan bersedih apabila musuh bersedih.
Apakah ini akhlak ulama pewaris Nabi?
Mereka lupa bahawa ulama sejati adalah suara kebenaran yang menggugah tirani, bukan menjadi alat kepada kekuasaan zalim.
Imam Ahmad bin Hanbal menolak tunduk kepada pemimpin zalim, walau diseksa.
Apakah kita masih ada ulama seperti ini?
Pohon Yang Dibakar Oleh Api Perubahan
Realiti yang menyedihkan hari ini juga adalah hasil dari pengubahan lanskap tanah umat Islam – termasuk projek penanaman pohon-pohon yang mudah terbakar di Palestin seperti pokok pine Eropah, untuk menutup tapak-tapak perkampungan Palestin yang dihapuskan.
Langkah yang kononnya demi kehijauan tetapi akhirnya menjadi bahan bakar kepada kebakaran besar.
Kebakaran fizikal ini adalah gambaran kepada kebakaran ruhani dalam umat.
Api dunia ini tidak sepedih api neraka kelak yang menanti umat yang melupakan amanah dan perjuangan.
Seruan Kembali Kepada Jalan Jihad
Firman Allah SWT:
فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah: 5–6)
Umat ini boleh bangkit semula, tetapi bukan dengan hanya bersorak dan berselfie.
Ia mesti bermula dengan taubat, kesedaran, ilmu, dan jihad.
Bukan semua jihad itu bersenjata – tetapi semua jihad mesti berasaskan kesungguhan.
Jihad menulis, jihad mendidik, jihad memimpin, jihad membela, jihad menasihati, jihad berpolitik, jihad berniaga – semua ini adalah cabang dari jihad yang besar.
Tetapi jangan dilupakan: jihad yang sebenar memerlukan pengorbanan – masa, harta, tenaga dan nyawa.
Kita tidak mahu menjadi umat yang hanya menonton dari jauh, tetapi menjadi umat yang menjadi sebahagian daripada perubahan.
Ainal Jihad? Soalan ini bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk dijawab dengan tindakan.
Huraian dari khutbah oleh Sheikh Salim Jabir (Ulama Besar Libya)