Hijrah Membawa Risalah Islam Kepada Masyarakat Majmuk

Hijrah Membawa Risalah Islam Kepada Masyarakat Majmuk

Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul akhir zaman kepada seluruh manusia yang diciptakan bermasyarakat majmuk merentasi perbezaan kaum, bangsa dan agama.

Baginda diutus untuk dunia akhir zaman yang sudah mencapai kemajuan ilmu sehingga merentasi sempadan negara dan wilayah dunia, Allah Pencipta alam Yang Maha Mengetahui mengurniakan sedikit ilmu dunia kepada manusia.

Maka, cukup dilantik seorang rasul sahaja bagi seluruh dunia.

Rasul yang dilantik ini dikurniakan tanda kerasulan dengan mukjizat ilmu melalui kitab suci al-Quran yang luas ilmunya merangkumi ilmu dunia hingga akhirat, serta alam nyata hingga alam ghaib.

Kebenarannya tidak boleh dicabar oleh ilmu manusia yang terlalu sedikit.

Berita kelahiran nabi akhir zaman disebut dalam kitab-kitab suci terdahulu, dan diberitahu oleh para ilmuwan dan agamawan dengan tanda-tanda yang cukup jelas dan nyata.

Hakikatnya, Islam ialah agama asal daripada Allah yang dianut oleh para rasul dan nabi.

Agama-agama lain, termasuk teori dan ideologi yang dicipta oleh manusia datang kemudiannya.

Manusia pula asalnya daripada keluarga yang satu, dan wajib hidup berkeluarga dan bermasyarakat, sebagaimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menjadikan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga daripadanya Allah mengembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai! Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Firman Allah SWT lagi:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), dan Kami telah menjadikan kamu bersuku-suku, supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Rasulullah SAW mengambil langkah pertama dalam berdakwah dengan mendapatkan perlindungan daripada kalangan bukan Islam yang menentang kezaliman berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemanusiaan.

Antaranya, keluarga Baginda SAW daripada kalangan Bani Hasyim termasuk yang belum lagi memeluk Islam, bagi menjaga dan mempertahankan Baginda.

Selain itu, ada juga para pemimpin kabilah dan keluarga bukan Islam yang menentang kekerasan serta mempertahankan Rasulullah SAW.

Sehinggakan, para pemimpin yang menentang Rasulullah SAW memberi tawaran menabalkan Baginda menjadi raja atau ketua besar di Makkah.

Namun begitu, tawaran itu ditolak oleh Baginda SAW kerana mempertahankan prinsip Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua.

Apabila tidak diberi tempat kepada Islam yang berdaulat (berkuasa) memerintah negara, maka Rasulullah SAW mencari kaum dan tempat yang bersedia untuk menerima Islam.

Sehinggalah kedatangan rombongan dari Madinah ke Makkah bagi menunaikan haji, sebagaimana yang diseru oleh Nabi Ibrahim AS yang menjadi bapa kepada beberapa kaum dan disanjung oleh penganut semua agama daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin.

Penduduk Madinah, Yathrib atau Taibah (nama asalnya) telah mendapat maklumat awal tentang kelahiran nabi akhir zaman daripada kaum Yahudi Ahli Kitab.

Ramai dalam kalangan mereka bermukim di Madinah menunggu kelahiran nabi akhir zaman tersebut yang diharapkan lahir daripada kalangan bangsa Yahudi.

Rombongan Madinah dalam kalangan pemimpin Arab, Aus dan Khazraj menerima Islam dengan mudah dan bersedia menyerahkan tanah air mereka bagi menegakkan negara yang mendaulatkan Islam.

Bahkan, mereka melakukan baiah (ikrar kesetiaan) bagi menegakkan Islam dan mempertahankannya.

Maka, Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya berhijrah dan berkumpul di Madinah.

Hijrah tidak boleh dilakukan dengan mudah kerana mendapat tentangan yang keras dan zalim daripada para pemimpin Makkah dan Arab yang lain.

Hal ini demikian kerana, Islam dianggap mengancam kedudukan mereka dan menghapuskan kebebasan mereka untuk melakukan apa-apa sahaja selama ini, termasuk kezaliman dan maksiat.

Mereka yang berhijrah menghadapi ancaman bunuh, sehingga akhirnya para musuh membuat keputusan untuk membunuh Rasulullah SAW.

Oleh itu, Allah SWT mengizinkan bertindak balas demi menegakkan negara yang mendaulatkan Islam dan memerintah masyarakat majmuk, sebagaimana firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang khianat lagi mengingkari ni‘mat. (38)

Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (39)

(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 38-41]

Akhirnya, Rasulullah SAW melakukan hijrah ke Madinah.

Ketika melakukan hijrah, perjalanan Baginda dibantu oleh seorang lelaki bukan Islam bernama ‘Abdullah bin Uraiqit yang masih kafir, tetapi dia tidak bersama kalangan mereka yang zalim.

Dia dijadikan pemandu jalan kerana mengetahui jalan sulit di antara celahan bukit bukau.

Apabila sampai di Madinah, Rasulullah SAW telah melakukan usaha menyatupadukan rakyat yang bermasyarakat majmuk.

Bermula dengan bangsa Arab, kaumnya sendiri yang menjadi teras perjuangannya, berpandukan firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِ‍َٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4)

Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu dari gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4-5]

Maka, Rasulullah SAW memulakan perpaduan antara kabilah Arab daripada kalangan kaumnya yang telah memeluk Islam dengan Aus dan Khazraj daripada Arab Madinah, serta kabilah lain yang menganut Islam.

Seterusnya, diajak bersama bukan Islam daripada kalangan bangsa Yahudi dan Arab yang belum memeluk Islam yang tidak menentang kedatangan penganut Islam yang berhijrah ke Madinah.

Perkembangan ini berlaku dalam keadaan nisbah golongan bukan Islam adalah majoriti.

Namun, mereka mahukan perubahan dalam masyarakat dan kaum mereka yang kerap terlibat dengan perang saudara.

Kaum bukan Islam disertakan dalam perjanjian yang dimeterai iaitu Piagam Madinah (Sahifah Madinah).

Perjanjian itu antara lain menegaskan Islam berada pada kedudukan tertinggi dalam perlembagaan negara, serta berkonsepkan Islam adil kepada semua. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58)

Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah Rasul-Nya dan kepada ulu al-amri (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Islam mewajibkan berlaku adil terhadap semua, termasuklah terhadap musuh ketika berperang.

Islam juga mewajibkan mentaati kepimpinan Islam dan meletakkan Islam (al-Quran dan hadis) sebagai hukum tertinggi.

Apabila Islam menjadi kuasa besar dunia selepas kewafatan Rasulullah SAW, pemerintahan negara mula melibatkan masyarakat bukan Islam.

Termasuk dalam kabinet iaitu kementerian yang menjalankan pentadbiran dan juga aspek ketenteraan yang mempertahankan negara, melindungi keselamatan serta keamanannya.

Dalam kementerian, bidang kuasa dibahagikan kepada dua lapangan:

1. Wazarah al-Tafwid (melibatkan perkara dasar negara), meletakkan syarat dilantik pemimpin daripada kalangan penganut Islam sahaja.

2. Wazarah al-Tanfiz (melibatkan pengurusan pentadbiran), membolehkan dilantik pemimpin daripada kalangan bukan Islam.

Islam berbeza dengan sistem demokrasi Barat yang menjadi kebanggaan mereka, apabila mereka hanya melantik anggota kerajaan daripada kalangan ahli yang menganut ideologi parti kerajaan sahaja.

Sebaliknya, Islam lebih terbuka kepada kerajaan perpaduan, dan turut melibatkan kalangan teknokrat yang terdiri daripada pakar dalam ilmu agama dan ilmu dunia, termasuklah daripada kalangan bukan Islam.

Dalam aspek ketenteraan dan keselamatan pula, Rasulullah SAW turut melibatkan kalangan bukan Islam dalam ketenteraan selepas Fathu Makkah (pembebasan Makkah).

Pendekatan ini berbeza dengan Perang Badar Kubra pada awal Islam, apabila Baginda SAW menolak tawaran seorang pahlawan bukan Islam untuk membantunya selagi belum memeluk Islam.

Hal ini demikian kerana, pada masa itu terdapat kalangan bukan Islam yang terlibat dalam perjanjian Madinah telah melakukan khianat dan berpihak kepada musuh.

Pada masa yang sama, berkeliarannya pengaruh golongan munafiq.

Adapun ketika Fathu Makkah, keadaannya sudah berubah kerana tindakan pengampunan beramai-ramai penjenayah yang zalim kepada Islam telah menyebabkan kepercayaan terhadap Islam meningkat.

Sehinggakan, ramai yang memeluk Islam, manakala kalangan bukan Islam pula lebih suka berada di bawah kerajaan Islam.

Maka, Rasulullah SAW menerima Safwan bin Umayyah, seorang pemimpin Makkah bukan Islam yang banyak menyimpan senjata. Beliau bertanya Rasulullah SAW:

أَغَصْبٌ يَا مُحَمَّدُ؟

“Adakah ini merupakan pinjaman atau harta rampasan?”

Rasulullah SAW bersabda:

لَا، بَلْ عَارِيَةٌ مَضْمُونَةٌ.

“Tidak, ia merupakan pinjaman dengan jaminan.” [Riwayat Abu Dawud, Musnad Abi Dawud, Kitab al-Buyu‘, No. 3562, daripada Safwan bin Umayyah]

Beliau turut dibenarkan menyertai Perang Hunain yang terkenal, apabila tentera Islam diserang hendap hingga menjadikan mereka bertaburan dan berpecah dalam keadaan bahaya.

Ketika sebahagian mualaf yang memeluk Islam mula berkeadaan ragu-ragu, Safwan meniupkan semangat kedaerahan dengan kata-katanya:

اسْكُتْ، فَضَّ اللَّهُ فَاكَ، فَوَاللَّهِ لَأَنْ ‌يَرُبَّنِي ‌رَجُلٌ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ ‌أَحَبُّ ‌إِلَيَّ مِنْ أَنْ يَرُبَّنِي رَجُلٌ مِنْ هَوَازِنَ.

“Diamlah kamu! Moga Allah membinasakan mulut kamu. Demi Allah! Aku lebih suka bersama pemimpin daripada kalangan Quraisy (Rasulullah SAW) berbanding pemimpin daripada kalangan kabilah Hawazin (dan Thaqif).” [Al-Waqidi, al-Maghazi, Jld. 3, Hlm. 10]

Langkah Fathu Makkah (tahun ke-8 Hijrah) membenarkan kalangan bukan Islam berada dalam pasukan tentera, sekali gus membatalkan larangan terdahulu yang berlaku dalam Perang Badar Kubra (tahun ke-2 Hijrah).

Apabila kerajaan Islam bertaraf kuasa besar dunia, dasarnya lebih terbuka apabila membuka ruang kepada teknokrat daripada kalangan bukan Islam dalam pelbagai lapangan.

Keadaan ini berlaku pada zaman para ilmuwan dizalimi dan dibunuh di negara-negara kuasa besar seperti Parsi, Rom, India, Mesir dan China kerana pengaruh mereka yang membahayakan kerajaan.

Ada dalam kalangan ahli falsafah yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya dan lain-lain.

Dalam sejarah Melayu Singapura, terdapat cerita berdepan serangan todak dengan menahan betis sangat terkenal.

Apabila seorang pemuda yang bijak meminta supaya Singapura bertahan daripada serangan todak dengan batang pisang, tiba-tiba pemuda itu dibunuh kerana kebijaksanaannya dianggap mencabar pemimpin kerajaan.

Maka, ramai daripada kalangan ilmuwan dan bijak pandai memeluk Islam, termasuklah tokoh ulama’ besar dan saintis daripada kalangan bukan Arab.

Namun begitu, masih ramai yang tidak memeluk Islam kerana konsep tiada paksaan agama dalam Islam.

Malah, rumah ibadat bukan Islam dan penganutnya juga masih ada sehingga kini.

Tidak hairanlah apabila negara Islam menjadi kuasa besar paling kuat dan maju tamadunnya.

Hal ini disebabkan ramainya para ulama’ yang bertafaqquh dalam ajaran syariat Islam serta para ilmuwan dunia yang beriman dan budiman bersama Islam.

Kemudiannya, negara Barat turut menjadi maju kerana menumpang tamadun Islam, tetapi mereka meninggalkan ajaran agama Islam sehingga membawa kerosakan kepada keamanan dunia dan alam sekitarnya pada hari ini. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Kejayaan Islam adalah disebabkan ajarannya yang benar daripada Allah, adapun umat Islam mengalami kelemahan dan kemunduran kerana meninggalkan ajarannya yang sempurna.

Hal ini berbeza dengan kejatuhan kerajaan lain yang berlaku kerana kelemahan dan kegagalan ajarannya yang bersifat agama atau ideologi.

Maka, usaha untuk kembali semula menegakkan ajaran Islam mendapat tentangan dari seluruh penjuru dunia, kerana sifat dengki dan menolak kebenaran daripada Allah. Firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٠٩

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat memesongkan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Baqarah: 109]

Maka, Islam wajib dipertahankan dan dakwah juga wajib diteruskan dengan mendahulukan perdamaian dan tidak menyerah kalah dalam menghadapi serangan.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru