Pakar PBB: Apa Yang Berlaku Di Gaza Bukan Peperangan, Tetapi Genosida

Pakar PBB: Apa Yang Berlaku Di Gaza Bukan Peperangan, Tetapi Genosida

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese, menyatakan bahawa kempen ketenteraan ‘Israel’ di Gaza telah melangkaui takrif peperangan, dan sebaliknya perlu digambarkan sebagai satu “kempen genosida”.

Beliau menuduh institusi dan syarikat korporat mendapat keuntungan daripada kemusnahan serta serangan terhadap orang awam di Gaza, dan menyeru tindakan segera oleh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan sokongan terhadap apa yang digambarkannya sebagai satu “ekonomi pemusnahan.”

“Dalam tempoh 20 bulan yang lalu, tentera dan pendatang Israel telah memusnahkan kawasan besar tanah Palestin, manakala Bursa Saham Tel Aviv terus mencatat keuntungan,” kata Albanese.

Beliau menambah bahawa tindakan genosida sedang dilakukan “atas alasan mengagihkan bantuan kemanusiaan di Gaza”, dan mengulangi gesaannya supaya embargo senjata secara global dikenakan ke atas ‘Israel’ serta semua perjanjian perdagangan dengannya digantung.

Albanese juga menyeru lebih daripada 1,000 syarikat agar memutuskan hubungan dengan ‘Israel’ atau bersedia untuk dipertanggungjawabkan, sambil menegaskan bahawa:

“Sudah tiba masanya bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam ekonomi genosida untuk menghentikan keuntungan mereka yang dibina atas penderitaan dan pencabulan hak asasi manusia.”

Pegawai PBB itu turut menekankan bahawa satu-satunya jalan ke hadapan ialah dengan negara-negara mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau menyatakan bahawa entiti yang terlibat dalam menyokong ekonomi kempen ‘Israel’ sepatutnya memboikot ‘Israel’, bukannya meneruskan hubungan perdagangan dengannya.

Palestin