Gaza Bertukar Menjadi Kubur Penjajah

Gaza Bertukar Menjadi Kubur Penjajah

Tentera rejim penjajah Israel telah terperangkap dalam satu serangan hendap yang canggih dan disifatkan sebagai antara yang paling berdarah sejak 7 Oktober 2023.

Pihak tentera rejim penjajah Israel secara rasmi telah mengesahkan kematian sekurang-kurangnya lima orang askar dari briged Netzah Yehuda serta melaporkan 14 yang lain cedera dalam kejadian di Beit Hanoun, terletak di utara Gaza.

Media berbahasa Ibrani turut melaporkan jumlah korban yang jauh lebih besar dan secara luar biasa mengkritik peraturan penapisan tentera rejim penjajah tersebut.

Insiden yang digambarkan sebagai “kejadian yang sukar” oleh media rejim Israel ini menimbulkan lebih banyak persoalan terhadap kerajaan penjenayah perang Benjamin Netanyahu.

Ia menjadi tamparan hebat terhadap imej kawalan ketenteraan yang cuba dipertontonkan oleh rejim penjajah tersebut.

Beit Hanoun, bandar paling timur laut di Semenanjung Gaza, merupakan antara kawasan pertama yang dimusnahkan ketika fasa awal perang genosida rejim penjajah Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Dalam tempoh 20 hari pertama, bandar ini dibedil tanpa henti melalui serangan udara yang meluluhlantakkan kawasan tersebut.

Ia juga merupakan kawasan bandar pertama yang menghadapi serangan darat secara besar-besaran.

Kedudukan strategik Beit Hanoun terletak pada jaraknya yang sangat dekat dengan penempatan haram rejim penjajah, kurang daripada tiga kilometer dari bandar Sderot, menjadikan penguasaan penuh ke atas Beit Hanoun sebagai keutamaan ketenteraan rejim.

Kini, selepas 21 bulan perang genosida yang disokong Amerika Syarikat ke atas Gaza, satu insiden paling berdarah sejak pencerobohan awal telah berlaku di kawasan ini — satu penghinaan besar buat rejim Netanyahu dan mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan penduduk penempatan haram.

Abu Ubaida, jurucakap Briged al-Qassam, menyatakan bahawa operasi ini berlaku di medan perang yang disangka rejim sudah selamat, “setelah tidak ada lagi sudut yang belum digeledah.”

Kejadian ini menyerlahkan satu kebenaran yang lebih besar: matlamat rejim penjajah Israel untuk menghapuskan perjuangan rakyat Palestin ternyata satu kegagalan besar.

Walaupun telah mengenakan sekatan yang sangat ketat serta menggunakan pelbagai taktik kekejaman, pasukan tentera penjajah Israel (IOF) terus mengalami korban setiap hari, sama ada terkorban atau cedera akibat serangan pejuang Palestin yang tetap teguh dan tidak menyerah kalah.

Usaha untuk mengekalkan penjajahan jangka panjang di Gaza semakin terbukti mustahil dan membawa risiko maut buat Tel Aviv.

Kini muncul satu bentuk peperangan baru — perang keletihan (war of attrition) — antara IOF dan pasukan ujahiddin Palestin yang sangat tabah dan berdisiplin.

Apa yang berlaku di Beit Hanoun?

Pejuang Mujahiddin Palestin telah melaksanakan satu serangan hendap yang dirancang dengan rapi.

Peranti letupan pertama menyasarkan sebuah kereta kebal IOF.

Letupan kedua menyerang pasukan penyelamat yang tiba ke lokasi.

Peranti ketiga mengenai satu lagi pasukan penyelamat, dan akhirnya, peranti keempat bersama tembakan senjata ringan menyasarkan mereka yang sudah cedera akibat letupan awal.

Dalam kekalutan tersebut, tiga orang tentera IOF dilaporkan hilang; seorang daripada mereka ditemui mati.

Terdapat kebimbangan dalam IOF bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada mereka mungkin telah diculik.

Lima helikopter tentera Israel digunakan untuk membawa yang terkorban dan cedera ke Hospital Ichilov di Tel Aviv.

Menurut media Ibrani, jumlah sebenar tentera yang cedera dalam kejadian “sukar” ini mungkin mencecah puluhan orang — jauh lebih tinggi daripada yang diakui secara rasmi.

Briged al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas yang telah berulangkali diancam untuk dihapuskan oleh Netanyahu, mengaku bertanggungjawab terhadap operasi canggih ini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pejuang Palestin semakin berani, sering muncul dari runtuhan kawasan yang dibedil untuk melancarkan serangan secara langsung dan meletupkan bahan letupan yang telah dipasang terlebih dahulu.

Taktik ini kini menjadi ciri utama dalam operasi penentangan di seluruh Gaza, dari Khan Younis di selatan hinggalah ke Jabalia di utara.

Walaupun berulang kali diceroboh dan ‘dikuasai sementara’ oleh pasukan IOF, yang kemudiannya terpaksa berundur di bawah serangan balas, tidak ada tanda-tanda bahawa semangat perjuangan rakyat Palestin semakin lemah.

Sebaliknya, semakin lama perang genosida ini berlarutan, semakin banyak bukti muncul tentang keupayaan perancangan strategik, koordinasi disiplin dan tahap kepimpinan ketenteraan yang tinggi dalam kalangan pejuang Palestin.

Sebaliknya pula, terdapat tanda-tanda jelas keletihan dan keputusasaan dalam kalangan tentera IOF.

Tiada angkatan tentera, walaupun yang memiliki pelbagai teknologi ketenteraan canggih, akan mengambil masa hampir dua tahun untuk menewaskan satu kumpulan yang dikurung dalam wilayah sekecil Gaza.

Pilihan ketenteraan yang diambil oleh rejim penjajah Israel kini telah memakan diri.

Yang nyata, satu-satunya kejayaan dalam pembebasan tawanan hanya berlaku melalui gencatan senjata, bukan melalui operasi ketenteraan.

Dalam satu kenyataan di Telegram, Abu Ubaida memberi amaran bahawa jika rejim penjajah berjaya menyelamatkan askar mereka dari “neraka” baru-baru ini, ia tidak akan berjaya melakukannya lagi.

Beliau juga memberi bayangan bahawa lebih ramai tentera mungkin akan ditawan pada masa akan datang.

Beliau turut memberi amaran kepada Netanyahu bahawa keputusan “paling bodoh” yang boleh dibuat adalah terus mengekalkan tentera IOF di dalam Semenanjung Gaza.

Yang jelas, ketabahan rakyat Palestin dan keberanian pejuang adalah faktor utama yang menentukan realiti sebenar di lapangan dan membentuk fasa perjuangan seterusnya.

Palestin