Kebebasan Tanpa Sempadan Terbatas Memusnahkan

Kebebasan Tanpa Sempadan Terbatas Memusnahkan

Allah, Tuhan Pencipta alam, Yang Maha Esa, lagi Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, mencipta alam dan semua makhluk-Nya mengikut fitrah (sifat semula jadi) atau naluri masing-masing, tidak boleh melampau daripada fitrahnya.

Semua makhluk itu menyerah diri (Islam) kepada ketetapan Allah. Firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣

“Maka, adakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri (Islam) segala yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa (mengikut fitrahnya), dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Semua makhluk menyerah diri kepada sempadan Allah (Islam) sama ada secara fitrah atau pilihan oleh kalangan yang berakal.

Apabila ada makhluk melanggar sempadan, maka ia pasti akan membawa kemusnahan.

Contohnya, makhluk binatang dan tumbuhan ditetapkan kawasan kehidupan masing-masing.

Apabila binatang yang hidup di air sahaja, sekiranya berada di daratan, maka pasti akan mati.

Begitu juga pokok dan segala tumbuhan, apabila dipindahkan dari kawasannya, maka pasti tidak akan mampu hidup, sebaliknya ia menjadi kering lalu mati.

Laksana pemandu kenderaan yang diluluskan mendapat lesen memandu, lalu mereka bebas untuk memandu berdasarkan undang-undang jalan raya.

Sekiranya, mereka keluar daripada sempadan yang ditetapkan oleh undang-undangnya, bermakna sudah terbabas namanya dan boleh menyebabkan kemalangan yang merosakkan kenderaan, mencederakan pemandu, dan mungkin mematikan mangsanya.

Begitulah makhluk manusia yang berakal dan bermasyarakat berada dalam sempadan fitrahnya yang berbeza dengan binatang yang tidak berakal. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ ١٦٤

“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa-apa yang berguna bagi manusia, dan apa-apa yang Allah turunkan dari langit berupa air; lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, pengisaran angin, dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” [Surah al-Baqarah: 164]

Di sini menunjukkan semua makhluk diciptakan mengikut undang-undang Allah yang telah ditetapkan kepada masing-masing.

Sekiranya masing-masing melanggar sempadan yang ditetapkan kepada fitrahnya, maka akan membawa kebinasaan.

Allah SWT memberikan amaran kepada manusia yang melanggar sempadan fitrahnya dengan firman-Nya:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Manusia yang ditugaskan untuk beribadat, mentadbir urusan dunia dengan mengurus makhluk yang lain bersamanya, dan diberikan amanah melaksanakan hukum Allah, merupakan satu kemuliaan kepada mereka. Firman Allah SWT:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠ يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (70)

(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpin mereka; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya dengan tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitab mereka itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71)

Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 70–72]

Ditetapkan kepada manusia yang dimuliakan itu segala keperluannya yang baik, sama ada keperluan jasad (makanan, pakaian, tempat tinggal, dan lain-lain) mahupun keperluan roh dan akal (ilmu dan akhlak yang mulia) yang ditetapkan sempadan halal dan haram.

Semua yang diharamkan itu merosakkan diri manusia dan merupakan sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Maka, manusia yang berada di kedudukan masing-masing yang ditugaskan peranannya tidak boleh terkeluar daripada sempadan Allah.

Kerosakan akan berlaku apabila manusia mencipta undang-undang sendiri yang tidak diizinkan oleh Allah kerana merosakkan kehidupan mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa manusia berada di bawah Islam yang diletakkan pada kedudukan tertinggi dalam perkara yang menjadi sempadan yang tidak boleh diceroboh.

Namun, Allah mengizinkan untuk manusia menggunakan akal dan pengalaman di bawah kemampuan mereka yang diketahui oleh Allah.

Adapun dalam perkara di luar kemampuan akal, maka ditetapkan nasnya yang menjadi sempadan.

Allah meletakkan kesalahan syirik sebagai dosa yang paling besar, apabila melampaui ketinggian Islam kerana ia merosakkan manusia dan juga alam sekitarnya. Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Maka, semua pihak berada di bawah syariat Allah dan diharamkan mengatasinya.

Sama ada dia seorang pemimpin tertinggi yang bertanggungjawab menegakkan perlembagaan dan undang-undang, pentadbir yang mengurus segala urusan pentadbiran, ataupun badan kehakiman yang menentukan hukuman, sehinggalah penguat kuasa, pemimpin masyarakat, keluarga, dan individu; semuanya perlu meletakkan Islam sebagai yang tertinggi dan diharamkan mengatasinya.

Disebut dalam al-Quran berkaitan urusan negara, firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58)

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlak tanpa pilihan.

Adapun ketaatan kepada pemimpin bersyarat tidak boleh mengatasi Allah dan Rasul.

Dinyatakan dalam Sahifah (Piagam) Madinah yang menjadi asas perlembagaan negara:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya, apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan dalam kalangan yang terlibat dalam perjanjian ini, adanya pertikaian atau perbalahan yang ditakuti menyebabkan kerosakan, maka hendaklah dirujukkan (penyelesaiannya) kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan Muhammad Rasulullah SAW (Islam adalah tertinggi).” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, hlm. 504]

Ada kalangan yang menganut liberalisme dan menempelkan jenama mereka dengan Islam menjadikan maqasid al-syari‘ah sebagai alasan bagi bebas melakukan apa-apa sahaja.

Kita menyaksikan berlaku penyakit jasad, keruntuhan akhlak, kerosakan alam sekitar, dan bencana alam akibat kesalahan manusia mentadbir cara hidup dan alam dunia, sehingga melanggar sempadan Allah, halal dan haram, serta sifat fitrah manusia yang ditetapkan oleh maqasid al-syari‘ah untuk menjaga maslahat keperluan hidup berdasarkan ketetapan Allah dan hukum-Nya, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah, dan harta.

Maqasid al-syari‘ah ialah tujuan atau hikmah daripada hukum Islam untuk membawa maslahat (kebaikan) dan menolak mudarat dalam rukun kehidupan.

Para ulama’ membahagikan maslahah kepada tiga bahagian:

1. Maslahah mu‘tabarah (maslahah yang ditetapkan oleh Allah yang tidak boleh dipertikaikan), seperti mengorbankan harta dan jiwa raga untuk berjihad, kerana maslahat menjaga agama dan mempertahankannya adalah lebih utama daripada nyawa dan harta. Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٩٥

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-Baqarah: 195]

Bermaksud meninggalkan jihad akan menyebabkan kebinasaan dunia dan akhirat apabila agama direndah-rendahkan dan dihina.

2. Maslahah mulghah (maslahah yang diharamkan), iaitu matlamat tidak boleh menghalalkan cara, seperti mencuri, menipu, merasuah, dan merompak sehingga membunuh kerana mahu memperoleh harta bagi nafkah keluarga atau menunaikan haji yang diwajibkan. Firman Allah SWT:

… وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ ١٥١

“…Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya.” [Surah al-An‘am: 151]

3. Maslahah mursalah (maslahah yang tidak ada ketetapan daripada Allah dan tidak diharamkan), yang terlalu banyak lapangannya.

Maka, kaedah maqasid al-syari‘ah tidak boleh ditafsirkan dengan bebas sehingga mengatasi hukum Islam.

Islam tidak mengongkong manusia dalam keperluan kehidupannya mengikut fitrah yang tidak merosakkan, antaranya dihalalkan yang haram dalam keadaan darurat bagi menjaga rukun hidup. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ١٧٣

“Sesungguhnya, Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Akan tetapi, sesiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya), sedangkan dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah al-Baqarah: 173]

Dihalalkan yang haram dalam keadaan darurat kerana menjaga nyawa mengikut sempadan yang diizinkan oleh Allah.

Inilah kepercayaan kepada Tauhid Uluhiyyah (Allah sahaja yang diabdikan diri kepada-Nya). Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan tidak (pula) bagi perempuan beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Begitu juga kepercayaan kepada Tauhid Rububiyyah (Allah yang mencipta dan mentadbir makhluk-Nya). Firman Allah SWT:

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠

“Adakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [Surah al-Ma’idah: 50]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru