Ramai yang mengikuti perkembangan politik tanahair semenjak 90-an akan teringat kepada doa Almarhum Dato Ustaz Fadzil Noor agar Tun Mahathir diberikan umur yang panjang dan melihat sendiri apa yang telah beliau lakukan.
Dan bagi aku sepertinya sudah Allah makbulkan.
Apa yang menarik, dalam doa almarhum, beliau tidak menyebut dan meminta supaya Tun kekal jahat atau terpesong sebagaimana kebencian Tun kepada PAS dalam usaha mendaulatkan Islam dahulu sehingga sekarang atau Tun dikenakan hukuman segera dari Allah.
Yang almarhum mahukan agar setelah melihat segalanya, Tun akan tersedar dan kembali ke jalan Allah.
Perkara yang terjadi sekarang ialah Tun benar-benar melihat apa yang telah beliau lakukan.
Dari segi kemajuan material, kita tidak dapat nafikan kejayaan beliau bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di dunia yang mana negara luar mengenali Tun, melebihi PM yang lain dari segi positifnya pembangunan yang dibawa beliau.
Akan tetapi dari segi pembangunan insan menurut kehendak Islam, jelas beliau tidak berjaya kerana mungkin masalah pemahaman atau juga penasihat beliau yang tidak inginkan Islam menjadi asas kepada semua tindakan oleh kerajaan mahupun rakyat.
Ya, Islam pasti akan menjadi penghalang bagi sesetengah orang yang berniat menyeleweng.
Antaranya bagaimana beliau dilihat kesal dengan tindakan beliau yang menuruti kehendak jahat, bodoh dan berdosa cadangan Umno Terengganu menarik bayaran royalti petroleum yang sehingga kini menjadi pertikaian perundangan.
Dan Tun sangat bertuah kerana diberikan hidayah oleh Allah sewaktu menjadi PM kali kedua dan meluluskan bayaran itu terus kepada Kerajaan Terengganu walaupun berbeza parti.
Tun juga sempat meminta maaf dari musuh utamanya Presiden PAS yang sangat beliau kekang terutamanya sewaktu menjadi MB Terengganu kerana beliau tidak mahu bekerjasama dengan Presiden PAS setelah melalui beberapa siri permusuhan dalam isu seperti Amanat dan Memali yang mana Presiden PAS dituduh sebagai punca semasa beliau menjadi PM.
Tiada siapa yang pernah terfikir Tun akan solat di Masjid Rusila. Bahkan mereka berkawan baik sekarang.
Mangsa Memali juga bersetuju dengan Presiden PAS supaya memaafkan kesalahan Tun yang mereka anggap sebagai dalang kepada berlakunya peristiwa berdarah itu.
Tun juga sempat menyaksikan kejatuhan Umno secara hina akibat daripada politik wang yang mereka amalkan semenjak dahulu lagi, dimana amaran telahpun Tun keluarkan berkali-kali.
Rakyat akhirnya membenci Umno.
Tun juga melihat kejayaan empat negeri yang diperintah PAS berjaya dalam pentadbiran mereka walaupun masih ada yang kurang, tetapi ia jauh lebih baik daripada pentadbiran Umno kerana tiada isu salah guna kuasa dan tidak memilih untuk menyediakan bantuan kepada semua rakyat.
Oleh itu Tun sanggup menjadi penasihat kepada SG4 bagi mengembangkan lagi ekonomi.
Sekaligus tuduhan Umno dahulu yang PAS tidak pandai memerintah, adalah batil.
Tun kini berjaya memperbetulkan fitnah yang dilemparkan oleh musuh beliau, DS Anwar Ibrahim yang suatu masa dahulu ia kelihatan benar sekali tetapi pada akhirnya, gelaran Firaun itu sepertinya kembali kepada sang pemfitnah beliau dahulu.
Tun juga sudah tidak lagi menyindir hudud yang mana pada awal pemerintahan PAS di Kelantan, kemudian Terengganu, berbagai sindiran yang mungkin boleh menggugurkan iman, dikeluarkan oleh hampir semua pimpinan Umno, termasuklah PMX yang menjadi orang nombor dua Umno pada zaman itu.
Semoga Tun diampuni dan dirahmati Allah pada usia yang jarang diperolehi kebanyakkan manusia biasa ini.
Ahli-ahli PAS pada dasarnya tidak akan berdendam, yang ada hanyalah perbalahan politik yang boleh bekerjasama pada bila-bila masa apabila membawa kebaikan kepada Islam.
Buktinya kita pernah ada kerjasama politik dengan banyak pihak yang membantu Islam.
Ingatkah kepada Kassim Ahmad, seorang yang pernah membuat kontroversi berkenaan cadangan untuk menilai semula hadis-hadis Rasulullah?
Apabila beliau meninggal dunia, ahli PAS lah yang menguruskan jenazahnya dan membuang prasangka keimanan Kassim, menyerahkannya kepada Allah.
Ahli PAS uruskan juga jenazah, tidak hiraukan perbezaan.
Kita tidak pasti kenapa penyokong dan pengikut pemikiran Kassim Ahmad tidak mahu mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah pimpinan mereka itu.
Tetapi ia menjadi bukti, jika hal itu kehendak Islam, maka ahli-ahli PAS sanggup berkorban harta, perasaan bahkan nyawa sekalipun.
Insya Allah Tun akan kekal dalam kebaikan dan bersahabat dengan PAS.
Mohd Nasir Abdullah