Beberapa hari lepas dunia dikejutkan dengan serangan bertali arus tentera Zionis “Israel” ke atas Syria yang menyasarkan beberapa sasaran strategik seperti bangunan kementerian pertahanan Syria.
Zionis “Israel” memberi alasan, serangan tersebut adalah satu amaran ke atas pentadbiran baharu Syria di bawah pimpinan Ahmad al-Syara supaya tidak melepasi sempadan yang ditetapkan iaitu ancaman terhadap keamanan ke atas negara haram “Israel”.
Zionis “Israel” juga memberi alasan untuk mempertahankan ahli kumpulan Duruz iaitu penduduk Arab bukan Islam yang menghuni di Lubnan, Syria dan Palestin.
Zionis “Israel” menyatakan terdapat perancangan penghapusan etnik ke atas kumpulan tersebut yang menghuni di kawasan Bukit Golan dan selatan Syria.
Keadaan sudah reda dengan gencatan senjata yang diumumkan oleh pihak berkuasa Syria.
Namun begitu ia sangat rapuh, potensi untuk berlaku ketegangan baharu sangat tinggi.
Umum mengetahui semua itu hanyalah alasan, hakikat sebenarnya Zionis “Israel” sedang melaksanakan agenda peluasan yang merangkumi Gaza, Tebing Barat, Selatan Lubnan dan Syria.
Umum juga mengetahui pimpinan baharu Syria berada di bawah pengaruh Turkiye yang meletakkannya sebagai pemerintah Syria selepas kejatuhan regim Basyar al-Asad.
Turkiye mahu Syria berada dalam keadaan stabil bagi memastikan kesinambungan penyelesaian masaalah jutaan pelarian Syria yang berada dalam negaranya yang menjadi beban politik dan bahan kempen utama parti pembangkang bagi menyerang parti pemerintah AKP pimpinan Erdogan.
Senario yang berlaku memberi kebaikan kepada Zionis “Israel” dan Amerika Syarikat khususnya dengan ketidakadaan pengaruh Republik Islam Iran di Syria.
Namun dalam masa yang sama mereka juga bimbang dengan pengaruh Turkiye yang dibimbangi akan mengancam Zionis “Israel” satu hari nanti.
Justeru persoalannya, sampai bila Turkiye mampu bertahan dengan provokasi Zionis “Israel”?
Pertembungan yang bakal berlaku adalah antara Zionis “Israel” dan Turkiye.
Namun apakah Turkiye sanggup mendepaninya yang akan melepasi batas hubungannya dengan Barat khususnya Amerika Syarikat.
Apa yang ditakuti oleh pihak Zionis “Israel” ialah senario penyatuan ummah yang berlaku antara seluruh umat Islam tanpa mengira etnik dan mazhab khususnya antara Turkiye dan proksinya serta Republik Islam Iran dan proksinya atas alasan menentang musuh yang satu iaitu Zionis “Israel” dan Imperialisme Barat.
Itulah yang diimpikan oleh umat Islam pada hari ini, walaupun ianya agak payah berlaku tetapi bukanlah mustahil.
Oleh kerana itulah pihak Zionis “Israel” dan Barat sentiasa menyalakan api perbalahan mazhab dan etnik sesama umat Islam supaya mereka sentiasa bertelagah.
Semoga Allah menyatukan umat Islam dan kita semua dapat melihat pembebasan Masjid al-Aqsa dan solat bersama-sama dengan saudara kita di Palestin satu hari nanti Insya Allah.
Sesungguhnya janji Allah itu adalah pasti dan hampir bagi orang-orang beriman.
YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lujnah Antarabangsa dan Hal Ehwal PAS Pusat

