Saya Tak Mahu Imuniti, Hadapkan Saya Ke Mahkamah

Saya Tak Mahu Imuniti, Hadapkan Saya Ke Mahkamah

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik keras keputusan terbaru kerajaan berhubung isu Pulau Batu Putih, khususnya yang melibatkan dirinya.

Dalam nada sinis dan tegas, beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang dilihatnya sebagai campur tangan eksekutif dalam bidang kuasa kehakiman.

Dalam kenyataan itu, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa beliau telah “dijatuhkan hukuman bersalah” berhubung keputusan tidak merayu semula kes kedaulatan Pulau Batu Putih, yang sebelum ini diputuskan berpihak kepada Singapura.

Namun, katanya, tiada tindakan diambil terhadap dirinya kononnya atas faktor usia lanjut.

“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan juga ialah Datuk Seri Anwar,” kata Dr. Mahathir.

Beliau kemudian menyindir, “Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan pendakwa raya. Begitulah hebat kuasanya.”

Kritikan ini menyentuh isu pemisahan kuasa (separation of powers) — satu prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman tidak boleh dicampuraduk.

Dr. Mahathir menyindir bahawa Perdana Menteri kini bertindak seolah-olah memegang ketiga-tiga peranan, suatu perkara yang menurutnya tidak termaktub dalam Perlembagaan.

Lebih tegas lagi, beliau menolak sebarang bentuk kekebalan atau layanan khas:

“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya.

Kenyataan itu jelas mencabar keputusan kerajaan dan menimbulkan persoalan besar terhadap proses keadilan serta motif politik di sebalik pengumuman tersebut.

Dr. Mahathir turut menyelar kenyataan Perdana Menteri yang dikatakan menyebut usianya mencecah 100 tahun sebagai alasan tidak mendakwanya, lalu menyimpulkan:

“Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.”

Isu Semasa