Tulisan Kapten (B) Mohd Asri Khalek Yang Menyegarkan

Tulisan Kapten (B) Mohd Asri Khalek Yang Menyegarkan

Saya membaca bait demi bait perkataan yang disusun dalam satu artikel bertajuk ‘Kebodohan tidak bertebing: Jangan biarkan peristiwa Dr Morsi di Mesir terjadi di Malaysia‘, tulisan Kapten (B) Mohd Asri Khalek bekas pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang disiarkan dalam Astro Awani menjentik berkenaan menjatuhkan pemimpin secara salah.

https://www.astroawani.com/…/kolumnis-kebodohan-tidak…

Entahkan ia satu suratan atau kebetulan, tulisan beliau disiarkan sehari selepas selesai perhimpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat Malaysia dari berbagai bangsa.

Beliau tidak menjelaskan kepada siapa tulisan itu ditujukan.

Mengambil hal ini secara positif, saya sangat bersetuju dengan apa yang beliau nyatakan, apatah lagi lebih merasa teruja kerana beliau mempersembahkan pandangan beliau kerana beliau berada di Mesir sewaktu rampasan kuasa itu berlaku, bukan hanya mendengar cerita dari sumber sekunder.

Yang beliau bimbangkan dari rampasan kuasa ialah Islam akhirnya menjadi begitu buruk.

Dan paling malang, Morsi pemimpin Islam yang diagung-agungkan dahulu sebelum menggantikan Mubarak, dilihat lebih teruk dan bagaikan tidak ada jasanya pada negara walaupun sudah berusaha dan berjaya merubah sebahagian keadaan ekonomi di Mesir.

Begitulah secara umum konklusi kepada kejadian di Mesir yang beliau ambil sebagai pengajaran yang saya percaya, seperti satu nasihat yang sangat baik kepada para penganjur yang mahu menjatuhkan kerajaan.

Golongan ulamak Mesir yang kononnya mahu menegur Morsi kerana terpengaruh dengan fitnah terhadap Morsi, akhirnya menjadi bagaikan seekor beruang yang menampar muka tuannya kerana seekor nyamuk.

Kini Mesir menjadi lebih teruk daripada keadaan sebelumnya dengan tiada siapa yang berani untuk membantu penduduk Gaza kerana akibatnya amatlah buruk.

Tentera Mesir menjadi begitu berkuasa dan keadaan ekonomi menjadi semakin teruk.

Persetujuan saya dengan tulisan Kapten (B) Mohd Asri adalah sangat kuat dalam isu menjaga negara daripada menjadi lebih buruk apatah lagi jika ada unsur-unsur campurtangan luar.

Izinkan saya memberikan pandangan sisi saya yang mungkin tidaklah sehebat pemikiran Kapten Asri tetapi insya Allah ianya benar.

Saya mengambil dalam konteks PAS sebagai penganjur perhimpunan dan bukan pertama kali, malah sudah ribuan kali himpunan yang kecil dan terbesar sudah PAS laksanakan, secara khususnya dalam isu menegur atau memberi tekanan kepada pemimpin.

PAS telah menjadikan wadah politik sebagai salah satu cabang utama bagi aktiviti jemaah selain tarbiah dan dakwah.

Dan cara PAS berpolitik ialah dengan kaedah ‘muwajahah silmiyyah’ iaitu pertembungan secara damai atau Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Tidak dinafikan dahulu pada awal penubuhan PAS yang masih muda, sebahagian ahlinya terikut-ikut dengan semangat kesungguhan yang agak ekstrim.

Namun disebalik sikap ekstrim yang selalu ditempelkan kepada PAS, yang terbunuh dalam catatan sejarah ialah Ahli Parlimen PAS Abdul Samad Gul, pekerja sukarela PAS di Lubuk Merbau, sebahagian penduduk Kampung Memali, petugas-petugas PAS ada yang dibelasah sehingga cedera oleh petugas lawan PAS seperti di Ijok.

Dan paling menghairankan, ada kes-kes ini belum selesai.

Masa berjalan dan PAS juga semakin matang.

Matang kerana dibelasah oleh musuh PAS samada dari segi bantuan mahupun fizikal seperti yang dimisalkan di atas ataupun diperbodohkan dari segi perundangan seperti menyekat atau memperlambatkan peruntukan. PAS tetap sabar.

Tiada pernah PAS merancang mahu memberontak atau membunuh pemimpin lawan PAS itu.

Sehinggakan apabila dua buah negeri PAS, Terengganu pada tahun 1961, 2004 dan Kelantan 1978 dirampas secara kudeta oleh Umno, PAS kekal bersabar.

Jika dikirakan sakit hati, PAS lah yang sepatutnya ke hadapan melanyak musuh PAS apabila ada peluang sewaktu menjadi Kerajaan Pusat.

Namun ia tidak berlaku.

Disebalik keghairahan rakyat mahu menumbangkan kerajaan dalam demo Bersih dahulu, apabila PAS mendapat maklumat sahih bahawa Bersih didalangi oleh anasir luar, maka PAS segera menarik diri.

PAS tidak mahu digunakan sebagai anak tangga, tempat kaki-kaki petualang negara menapak untuk naik.

Ini penegasan Presiden PAS.

Presiden PAS juga bertembung pendapat dengan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila Syeikh Yusuf menyokong penggulingan Ghaddafi, tetapi Presiden PAS menyatakan ia akan menjemput campur tangan asing di Libya.

Dan benar ia terjadi, malah keadaan Libya lebih tragis daripada mereka duduk di bawah Ghaddafi.

Sama pandangan Presiden PAS terhadap Arab Spring di Mesir, Yaman, Tunisia dan Syiria, Presiden PAS tegas menolaknya secara konsisten.

Perbezaaan besar antara Mesir dan Malaysia yang mesti kita lihat ialah, Mesir tidak mempunyai kerajaan lain untuk dibuat perbandingan.

Sedangkan Malaysia, kita mempunyai empat buah negeri yang dikuasai pembangkang dan telah berjaya menambat hati rakyat dengan pencapaian mereka terutama dalam agenda Islam.

Tiada rasuah oleh pemimpin negeri, diketuai Kelantan selama 35 tahun.

Tiada judi, riba dan mengawal apa-apa program yang boleh merosakkan akhlak.

Kita di Malaysia, pernah bertukar-tukar Kerajaan Pusat melalui PRU tetapi di Mesir, selepas menjadi Republik, membuang Raja Farouk, yang ada hanyalah Kerajaan Muhammad Naguib, Jamal Abdul Naseer, Anuar Sadat dan seterusnya Hosni Mubarak yang mana tiadapun contoh kepada pemerintahan mendekatkan diri kepada Islam secara syumul.

Di Malaysia, kerajaan tidak dikuasai tentera.

Sebelum wujudnya PAS, telah ada sekumpulan besar ulamak yang berusaha mewujudkan sebuah negara Islam.

PAS hanya menjadi rantai penyambung kerana bukan PAS yang memulakannya dan bukan PAS pengakhirnya.

Dengan segala halangan yang teruk dari British sebelum merdeka, termasuklah pengharaman Hizbul Muslim, sebuah parti Islam yang digeruni British, ulamak mencari jalan lain agar Islam dapat ditegakkan.

Dan setelah melihat Umno gagal dalam usaha memartabatkan Islam dalam partinya sendiri yang penuh dengan unsur judi, arak, mengagungkan Bristish, maka ulamak yang ikhlas memperjuangkan Islam ini, terpaksa menubuhkan PAS kerana tidak mahu bersengkongkol dengan pemimpin Umno.

Namun dalam permusuhan itu, PAS tetap mencari jalan agar negara tetap aman dan damai, tidak mahu permusuhan kekal.

Apabila dihulurkan tangan perdamaian oleh Tun Razak pada 1973, PAS menyambutnya kerana dapat menghidu ada unsur komunis yang mempengaruhi peristiwa 13 Mei.

Apabila duduk dalam Kerajaan Pusat, PAS berjaya membuat beberapa perubahan besar yang sangat signifikan dalam pentadbiran.

Walaupun ditendang dan kemudiannya ditekan, ditangkap, dipenjara dan ada yang terbunuh sekitar 80-an, PAS tetap teguh dengan pendiriannya ikatan sesama Islam melebihi segalanya dan sanggup bersama Umno pada tahun 2020 kerana meyakini muafakat itu akan menguatkan umat Islam dan bangsa Melayu secara keseluruhan.

Ingatan oleh Presiden PAS bahawa PAS tidak gilakan jawatan dan pemimpin hebat daripada parti lawan yang setuju dengan PAS, mereka akan diangkat semula menjadi pemimpin.

Ingatkah anda kepada ejeken PH apabila Presiden PAS dan DS Najib sedondon?

Ia kerana mahu mengelak pertembungan.

Sehingga PAS ditinggalkan kerana Umno mahu bersama PH akibat pimpinan Umno yang mahu lari dari isu-isu yang melibatkan mahkamah, PAS tidak pernah menggunakan kekerasan dalam perjuangan mereka.

Jauh dari itu, PAS sanggup berpisah dari kumpulan lain, walaupun sudah hampir dengan kemenangan apabila mengetahui ada agenda luar yang cuba mengganggu negara sebagaimana yang berlaku pada 2018.

Jadi saya bersetuju dengan tulisan Kapten (B) Mohd Asri supaya kita jangan menjadi bodoh tidak bertebing dengan hasrat mahu menukar pemimpin negara yang kononnya lebih baik dari yang sedia ada, akhirnya kita kecewa kerana ia lebih teruk.

Oleh itu, tidak pernah slogan angkat senjata datang dari pimpinan PAS, walau ada usaha memfitnah al-Maunah sebahagian dari perjuangan PAS.

Dan contoh pemimpin yang teruk yang pernah berdemo menuduh konon pimpinan dahulu sebelum beliau sangat teruk itu sedang memerintah kepimpinan negara kita sekarang dan rakyat harus turunkan beliau kerana kita sudah beberapa kali menurun dan menaikkan pemimpin tanpa ada masalah kekacauan, tidak seperti di Mesir.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis