Konvoi bantuan terus menghampiri Semenanjung Gaza dalam satu lagi usaha mencabar sekatan haram Israel terhadap wilayah Palestin itu, menurut penganjur pada hari Selasa, lapor Anadolu.
“Kami semakin hampir ke Gaza,” kata International Committee for Breaking the Siege on Gaza (Jawatankuasa Antarabangsa bagi Menamatkan Kepungan Gaza) dalam satu kenyataan di platform media sosial X (milik syarikat AS).
Kira-kira 100 orang berada di atas sembilan buah bot dalam konvoi itu, yang merupakan sebahagian daripada misi “Thousand Madleens” (Seribu Madleen) anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza.
FFC, yang ditubuhkan pada tahun 2008, telah melancarkan puluhan misi dengan tujuan menghantar bantuan dan menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dikepung oleh Israel.
Konvoi baharu ini dilancarkan selepas tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih 40 bot yang berlayar ke Gaza minggu lalu untuk mencabar sekatan tersebut, serta menahan lebih 450 aktivis yang berada di atas kapal-kapal berkenaan.
Sebagai kuasa penjajah, Israel sebelum ini juga telah menyerang kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas muatan bantuan dan mengusir para aktivis yang terlibat.
Israel telah mengekalkan sekatan terhadap Gaza selama hampir 18 tahun dan menyusahkan lagi keadaan pada bulan Mac lalu dengan menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan wilayah itu kini berada di ambang kebuluran.
Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah membunuh hampir 67,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini semakin tidak sesuai didiami, dengan kebuluran dan penyakit yang cepat merebak.

