Aku ralit mendengar penceritaan dan luahan rasa Toh Puan Naimah Khalid, balu Tun Daim dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.
Ia berkisar tentang kisah di balik tabir almarhum suami beliau yang aku kira sebagai banyak maklumat baharu yang belum didedahkan.
Daim memang dikenali sebagai seorang yang pendiam.
Ada sebuah buku diberi judul ‘Daim yang diam’ berkenaan biografi diri beliau.
Dan sememangnya beliau sudah lama dikenali sebagai seorang yang sangat kaya.
Pernah menjadi Bendahari Umno, pastilah mahu tidak mahu akan terpalit dengan segala perkara yang mungkin tidak baik, kerana Umno juga dikenali sebagai sebuah parti yang rasuah, bukannya bersih dan buktinya, sudah banyak kes yang disabitkan dengan pimpinan mereka, malah ramai yang didapati bersalah.
Namun dengan pandangan kedua yang diberikan oleh balu almarhum, ia menjadi satu anjakan paradigma dengan cara kita mengenali dan mempercayai cerita berkenaan almarhum yang belum kita diperdengarkan.
Pastilah juga sebagai berlaku adil, kita perlukan penapis kepada cerita ini yang kita perlu pasang kerana ia datang dari balu almarhum.
Sangat munasabah jika sekiranya cerita-cerita dan maklumat Toh Puan Naimah akan cenderung kepada almarhum.
Ini kita faham dan tidak mengejutkan.
Akan tetapi untuk berlaku adil bagi kali keduanya, kita perlu melihat sejarah yang ada kemungkinan tersirat jawapan atas dakwaan kedua-dua pihak.
Tuduhan dari PMX perihal Daim, telahpun kita hafal, sejak puluhan tahun dahulu dan tidak sedikit yang mempercayai naratif PMX.
Jadi, melalui pemerhatian, almarhum Tun Daim tidak pernah menunjukkan yang dia sedang sibuk membaca apa-apa buku, waima buku berbaur seks sekalipun.
Namun tindakan beliau dalam banyak masalah ekonomi negara waktu beliau menjadi Menteri Kewangan, menunjukkan hasil positif.
Pastinya hasil pembacaan yang banyak untuk membuat keputusan yang berat itu.
Sementara PMX pula, pada sekitar 90-an, zaman beliau dipuji sebagai Menteri Kewangan terbaik, telah berlaku skandal kerugian ringgit berjumlah puluhan bilion waktu itu yang didakwa kerana pembelian Pound Sterling.
Sehingga kini kes itu belum diambil tindakan.
Dan PMX pula sentiasa dilihat bergambar dengan buku.
Tak kiralah buku apapun.
Kadang-kadang sejuk mata memandang PMX berjubah, menyampaikan kuliah.
Tetapi selepas kuliah, banyak kali juga beliau berjoget Tamil.
PMX jarang-jarang sekali dilihat membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan lebih selalu ternampak beliau sedang menyanyi.
Daim tidak begitu, hanya diam, tiada watak dalam lakonan.
Sekurang-kurangnya rekod hodoh almarhum Tum Daim banyak diceritakan oleh PMX kerana mereka berkawan dan PMX mendakwa tahu semua perkara buruk Daim.
Namun rekod hodoh PMX, dilihat sendiri oleh kita semua semenjak dahulu lagi, tidak perlu sesiapa mendedahkannya, tetapi PMX sendiri menunjukkannya.
Jadi aku tidak mahu mengatakan bahawa Toh Puan Naimah bercerita benar, kerana mungkin beliau menipu.
Tetapi aku juga tidak mahu menolak kemungkinan PMX menipu kerana bagi aku jarang benar beliau bercakap benar.
Sehingga ada gurauan menyebut, ‘bukak mulut, mohong’.
Jadi, adakah kita berdosa dengan almarhum Tun Daim kerana percaya cerita PMX?
Mohd Nasir Abdullah

