Khamis lalu, ‘Secretary Of War’ Amerika Syarikat, Pete Hegseth mengumumkan bahawa tentera Amerika Syarikat telah melancarkan operasi ketenteraan ‘Operation Southern Spear’ di perairan Caribbean dan Pasifik bagi menyasarkan ‘pengganas’ yang menjalankan kegiatan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.
Pada hari berikutnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan mengadakan mesyuarat penting dengan pemimpin tertinggi tentera Amerika Syarikat, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth mengenai senario dan kemungkinan peperangan yang akan dilancarkan ke atas Venezuela.
Ketika ini kapal pengangkut pesawat terbesar Amerika Syarikat USS Gerald R Ford berserta dengan beberapa lagi kapal perang telah berada di perairan berhampiran dengan Venezuela di mana terdapat lebih kurang 17,000 anggota tentera Amerika Syarikat di dalam kapal-kapal perang tersebut.
Sebuah pangkalan tentera udara Amerika Syarikat di Puerto Rico berdekatan Venezuela yang telah ditutup lebih 20 tahun telah dibuka semula untuk kegunaan tentera udara AS bagi menempatkan pesawat pejuang F-35, F-16 berserta dengan dron dan pesawat pejuang lain.
Tentera Amerika Syarikat juga dilaporkan telah menjalankan latihan ketenteraan dan simulasi serangan ke atas Venezuela termasuk penggunaan pesawat pengebom ‘stealth’ jarak jauh B-52.
Sehingga hari ini, tentera Amerika Syarikat telah menyasarkan lebih kurang 20 buah bot di perairan Caribbean khususnya berhampiran Venezuela yang didakwa membawa muatan dadah tanpa apa-apa bukti yang kukuh yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 80 orang terkorban.
Tindakan dan ancaman perang oleh Amerika Syarikat mendapat kecaman antarabangsa khususnya dari negara-negara Amerika Selatan, Rusia, China dan Iran yang mendakwa Amerika Syarikat mencabuli undang-undang antarabangsa.
Presiden Venezuela Nicolas Maduro menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mendakwa beliau adalah ‘dalang utama’ di sebalik tindakan ‘cartel-cartel’ dadah yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.
Sebagai tindak balas, Venezuela melancarkan ‘mobilisasi besar-besaran’ di seluruh negara bagi menghadapi serangan Amerika Syarikat.
Mobilisasi tersebut turut membabitkan ‘Bolivarian Militia’, kumpulan separa tentera yang tubuhkan oleh bekas Presiden Venezuela Hugo Chavez yang dilaporkan membabitkan lebih 200,000 anggota.
Tentera Venezuela juga menjalankan latihan ketenteraan di darat, laut dan udara di mana persenjataan terkini seperti pesawat pejuang SU-30MK2, sistem pertahan udara S-300VM dan BUK-M2E serta bot serang laju yang dilengkapi peluru berpandu buatan Iran Peykaap III telah diuji keberkesanan menghadapi pelbagai kemungkinan.
Terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa pesawat pengangkut tentera Rusia IL-76 telah beberapa kali mendarat di Caracas, Venezuela membawa muatan kelengkapan ketenteraan yang dipercayai sistem pertahanan udara Pantsir S-1, peluru berpandu dan lain-lain lagi termasuk kehadiran tentera upahan kumpulan Wagner daripada Rusia.
Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Iran juga turut membekalkan dron untuk tentera Venezuela bagi menghadapi serangan tentera Amerika Syarikat.
Ini bukan kali pertama cubaan Amerika Syarikat melakukan ‘regime change’ di Venezuela.
Pada tahun 2019, Amerika Syarikat hampir berjaya melakukan ‘coup de-etat’ apabila berlaku krisis membabitkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang Venezuela Juan Guaido yang melancarkan protes besar-besaran di seluruh negara menuntut perletakan jawatan Nicolas Maduro sebagai presiden.
Kini Amerika Syarikat ‘menggunakan modus operandi yang sama’ apabila menggunakan pemenang Anugerah Nobel 2025 Maria Corina Machado, bekas calon Presiden Venezuela pada Pilihan Raya Presiden 2024 yang secara terang-terangan mengesa agar dilakukan kebangkitan serta menyokong campur tangan Amerika Syarikat.
Apa yang menyebabkan Amerika Syarikat begitu tertarik dengan Venezuela?
Antara sebab utama adalah hasil bumi yang kaya.
Venezuela mempunyai rezab simpanan minyak mentah terbesar di dunia yang dianggarkan berjumlah lebih kurang 303 billion tong, lebih besar daripada Arab Saudi, Rusia, Kanada, Norway dan Amerika Syarikat sendiri.
Selain itu juga, Amerika Syarikat dilihat ingin memperkukuh kembali dan mempertahankan kekuatan di kawasannya sendiri iaitu benua Amerika yang ketika ini dilihat negara-negara Amerika Selatan lebih cenderung dan akrab kepada China dan Rusia baik dari segi geopolitik, ketenteraan dan perdagangan di saat pengaruh Amerika Syarikat semakin lemah di serata dunia.
Adakah Amerika Syarikat akan menyerang dan berjaya melakukan ‘regime change’ di Venezuela atau bakal rebah di kawasannya sendiri seterusnya menamatnya hayatnya yang selama lebih seabad menjadi kuasa terkuat di dunia?
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat

