Banjir Terburuk Negara Ini Selepas 1971, Menyuluh Keikhlasan Kita

Banjir Terburuk Negara Ini Selepas 1971, Menyuluh Keikhlasan Kita

Minggu ini, dua minggu sebelum berhujung tahun 2021 kita semua dikejutkan dengan banjir besar yang melanda Selangor, Wilayah Persekutuan serta Pahang,

Biasanya Kelantan serta Terengganu, dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an sinonim dengan banjir.

Hujan yang mencurah-curah semenjak hujung 16 Disember akhirnya menakung air terbesar di Lembah Kelang sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir dipenghujung tahun ini.

Medsos menggelegak dan penuh emosi hiba, bersulam carut marut kepada pemimpin negara, direncah dengan tuding menuding terutama pemimpin pembangkang negara ini.

Gambar serta video keperihan mangsa banjir tersebar dengan pantas dizaman langit terbuka ini.

Rakaman tangisan, suara kepanikan meminta bantuan bergentayangan di medsos.

Visual manusia berkerumun diatas bumbung rumah menanti bantuan, kenderaan dijeruk air banjir seperti teh tarik mamak menghiasi setiap status pelayar FB.

Shah Alam, Hulu Langat, Banting, Kapar, Kelang seterusnya menjangkiti Mentakab, Kuala Krau, Raub, Jerantut, Maran, Temerloh, Hulu Dungun, Kuantan, antara daerah yang ditenggelami air, bahkan daerah-daerah di negeri Pahang serta Wilayah Persekutuan mengulangi Jubli Emas banjir besar 1971.

Lebih 34 orang telah meninggal dunia dalam duka banjir fasa pertama penghujung tahun ini.

Belasan ribu mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala kemusnahan skala besar berlaku akibat banjir besar yang melanda.

Semenjak hari pertama banjir, PAS sebagai gerakan Islam yang membumi dilapangan telah menebarkan kebaktian.

PAS melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah mangsa-mangsa banjir.

Anggota Jabatan Amal dengan identiti baju merah merun dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli PAS. NGO barisan hadapan misi bantuan seperti Muslim Care Malaysia mengadakan puluhan misi bantuan banjir ditempat yang terjejas, kolaborasi antara NGO juga memeriahkan dunia kesukarelawan Malaysia.

Malaysia sekali lagi wajib bermuhasabah, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat.

Benar, curahan air hujan adalah secara mendadak luarbiasa dalam tempoh 24 jam di Lembah Kelang bahkan dikatakan berlaku seratus tahun sekali namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara.

Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga NADMA, pihak kerajaan negeri telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir.

Pemimpin negara jangan menunjukkan kebongokan mereka, antaranya melancarkan bantuan banjir di hotel yang mengundang rasa mual rakyat.

Bahkan pihak pemimpin oposisi yang bercuti di luar negara disaat rakyat dihempap kedukaan!.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat.

Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah.

PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar.

Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat “tentera merah” atau anggota Jabatan Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas.

Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini.

Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia.

Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga disetiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Dalam kesungguhan pesta membantu bencana banjir musim kovid 19 ini juga, pelbagai NGO berada dibarisan hadapan membantu rakyat kelantan dan Terengganu.

Antaranya Muslim Care Malaysia yang menggerakkan relawan serta aset mereka.

Juga mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir walau tanpa suluhan lensa publisiti.

Juga pelbagai NGO seperti Khidmat Malaysia , Pertubuhan Asatizah GU dan lain-lain lagi NGO bernuansa kebajikan dan dakwah.

Benarlah, banjir kali ini menjadi parameter sesebuah organisasi, samada mereka cemerlang dilapangan atau hanya gah pada carta organisasi.

Kovid 19 yang telah menyengat lebih dua juta rakyat negara ini, 31 ribu orang tewas akibat wabak yang menaufan dunia ini.

Banjir besar 2021 ini berlangsung dalam ekonomi yang suram, polemik dan intriq politik yang tak berkesudahan.

Saat ini rakyat dambakan pertolongan dan kecaknaan pemimpin untuk menyantuni mereka.

Bukannya ghairah beradu kuasa dan membidak catur permainan kuasa, sibuk untuk berpilihanraya sedangkan rakyat makin muak dan dihimpit resah akibat pandemik.

Jom turun kelapangan amal, kalian juga mampu meraih laba akhirat.

Menyumbanglah samada tenaga atau wang ringgit, segalanya Tuhan tak akan terlepas pandang kebaktian kita.

Oleh Dr Riduan Mohamad Nor.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI

Kolumnis