Mustahil MKT UMNO gagal melihat ketidakwajaran mengekalkan seorang Presiden yang terpalit dengan kes-kes mahkamah.
Manakala di pihak Presiden sendiri, tiada langsung tendensi untuk berehat atau meletakkan jawatan demi kebaikan dan imej parti.
Situasi ini bukan berlaku dalam PAU baru-baru ini malah sejak hari pertama Presiden mendaki tangga mahkamah.
Di pihak MKT, ada dalam kalangan mereka yang merupakan penyokong tegar Presiden yang berharap dapat menjadi orang kanan apabila Presiden berkuasa.
Mereka akan membujur lalu melintang patah mempertahankan Presiden dengan pelbagai justifikasi.
Ada dalam kalangan mereka yang turut mempunyai ‘salahlaku’ yang boleh dimangsakan oleh Presiden jika berani menentang arus kuasa.
Mereka inilah akhirnya yang menjadi golongan majoriti dalam MKT.
Maka setiap kali mesyuarat, suara menyokong Presiden menjadi dominan.
Lalu keputusan mesyuarat senada dengan kehendak Presiden.
Bayangkan sehebat PM Ismail Sabri, Hishamuddin dan KJ sendiri tidak berani bertegas dan mendesak pada peringkat awal.
Malah untuk menyokong pandangan berani dan bijaksana Anuar Musa, Tajuddin A. Rahman dan Shahidan Kassim pun mereka takut untuk campur mulut.
Maknanya, golongan rasional dalam UMNO sudah gagal bersatu sejak awal-awal lagi lalu membiarkan Presiden dan Timbalan membentuk team mereka yang akhirnya bertapak kukuh dalam MKT UMNO.
Apabila team pro-Ismail Sabri yang ketika itu menjadi PM gagal bersatu untuk mematahkan langkah dan gelagat Presiden yang mencurigakan, maka natijahnya team ini dipancung satu persatu sebelum dan selepas PRU15.
Lalu jadilah UMNO sebuah parti milik seorang Presiden dengan sokongan mutlak MKT.
Begitulah juga kelompok yang menjadi Ketua-Ketua Bahagian.
Sikap mereka sama sahaja dengan MKT tadi; menjaga kedudukan, terpalit kes dan berpaut kepada siapa yang berkuasa.
Walaupun ada suara di sesetengah bahagian yang tidak lagi senada dengan Presiden namun sikap menjaga kepentingan peribadi tadi telah menjuruskan kepada peristiwa yang berlaku dalam minggu ini.
Dalam bahasa mudah peribahasa orang-orang tua; sokong membawa rebah.
Benarkah UMNO akan lebih kuat apabila berpadu dengan PH seperti yang dihujahkan oleh Presiden?
Kalaulah UMNO/BN bergabung dengan PN dalam PRU15, pastinya UMNO akan mendominasi kemenangan.
Dan jika UMNO membentuk kerajaan bersama dengan PN selepas PRU15 pun, UMNO akan kekal menjadi tulangbelakang kerajaan.
UMNO pun tidak akan berpecah seperti apa yang berlaku pada hari ini.
Tetapi itulah kemahuan MKT yang dikuasai oleh Presiden.
Segala hujah dan justifikasi Presiden diterima bulat-bulat oleh majoriti.
Hatta ‘No Anwar, No DAP’ yang dikategorikan sebagai kata keramat PAU pun cair berlinang dalam sekerlipan mata.
Bukankah sepatutnya UMNO menghukum Presiden yang melanggar ketetapan PAU itu?
Kalaulah pemecatan dan pengantungan Noh Omar, Hishamuddin, KJ dan ahli-ahli lain atas alasan melanggar disiplin parti, apakah Presiden pula terlepas daripada sebarang hukuman kerana melanggar PAU?
Di manakah kewarasan ahli-ahli UMNO yang selama ini saling memperingatkan dengan lagu ‘Anak kecil bermain api, terbakar hatinya yang sepi…..’?
Maka hebohlah apa yang terhebah pada hari ini.
UMNO berpecah-belah.
Pemimpin yang bersih dan berbakat tersepak keluar.
Akar umbi yang kecewa bercempera dan membawa diri ke destinasi baru.
PH awal-awal sudah bersuara untuk tidak memberi kerusi yang banyak untuk UMNO tandingi di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sebaliknya UMNO pula perlu memberi sesuatu kepada PH di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Rekod menunjukkan sokongan rakyat kepada UMNO merosot secara konsisten sejak PRU13.
Malangnya, ego UMNO tetap berterusan sebaik sahaja dapat melangkah gagah dengan pertolongan PAS dalam pemuafakatan.
Dengan apa yang berlaku dan akan terus berlaku dalam tempoh mendatang, gambaran yang kelihatan ialah UMNO sedang melalui detik keruntuhannya.
UMNO mungkin tinggal pada nama atau menjadi parti hidup segan mati tak mahu.
Kalau tidak pun UMNO akan jadi dedalu yang menumpang dan mencari makan di rumah tumpangan.
Bayang DiAir
