Kempen Perikatan Nasional (PN) turut disokong pemimpin akar umbi UMNO yang turut membantu tetapi secara senyap bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.
Beberapa sumber dalaman akar umbi UMNO di enam negeri memberitahu terdapat ahli-ahlinya yang membantu kempen calon lawan secara diam-diam bagi mengelak dihidu pihak atasan dan dikenakan tindakan disiplin parti.
Malah, ahli-ahli UMNO yang masih kekal berada dalam parti turut menyokong calon PN sama ada secara langsung tidak langsung, namun ia dilakukan secara bersembunyi.
“Ada ahli-ahli UMNO yang membantu kempen calon PN, tetapi ia dilakukan secara diam-diam… Mereka tidak membantu secara terang-terangan bagi mengelak dikesan pihak atasan parti.
“Pengalaman semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dijadikan pengajaran bagi mengelak menerima tindakan daripada parti tersebut,” kata sumber parti itu.
Untuk rekod, UMNO selepas PRU-15 lalu mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli-ahlinya yang didakwa mensabotaj parti, terdapat ahli dibuang dan digantung keahlian mereka.
Menurut sumber, kebanyakan mereka yang berkempen secara senyap tetapi tidak mahu dilihat ke depan terdiri daripada pemimpin akar umbi di kawasan.
“Pemimpin ketua-ketua cawangan banyak yang menyokong PN, ia termasuk pemuda dan wanita cawangan.
“Mereka ini masih berjawatan di kawasan, mereka bimbang jika dipecat parti habis elaun dan manfaat yang diperoleh daripada parti,” ujarnya lagi.
Jelasnya, tindakan pemimpin akar umbi UMNO tersebut juga menjejaskan peluang calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerana jentera dilihat tidak dapat berjalan dengan sebaiknya.
Antara faktor menyebabkan ahli-ahli UMNO itu menyokong calon PN secara diam-diam adalah disebabkan malu dengan keputusan parti untuk bekerjasama dengan DAP dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Mereka yang menyokong PN ini adalah ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan parti menyokong kerjasama dengan DAP dan Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Ahli-ahli UMNO ini berasa tertipu dan seakan diperdayakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara jelas membuat keputusan disebabkan kepentingan diri sendiri,” ujarnya lagi.
