Isu kehadiran atau ketidakhadiran UMNO dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 anjuran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) baru-baru ini telah dipolemikkan secara tidak seimbang.
Naratif yang cuba dibina ialah kononnya PAS tidak bersifat inklusif, tidak menjemput dan tidak serius dalam agenda perpaduan.
Namun apabila diteliti secara jujur, gambaran ini tidak berasaskan fakta yang sebenar.
Sejak awal penubuhannya, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah anjuran PAS ini merupakan program dalaman yang berfungsi sebagai medan tarbiyah, pengukuhan organisasi, serta penyatuan Ummah.
Ia bukan forum terbuka seperti Musyawarah Nasional yang dianjurkan oleh UMNO, yang memang sejak awal dirangka sebagai platform konsultatif yang melibatkan pelbagai kelompok profesional.
Maka, cubaan untuk menyamakan kedua-dua program ini adalah tidak tepat dari segi konteks dan tujuan.
Hakikat yang cuba diketepikan ialah UMNO sebenarnya telah dijemput.
Malah, ini bukan kali pertama PAS membuka ruang kepada UMNO untuk hadir dalam programnya.
Namun, keputusan untuk tidak menghadiri program tersebut dibuat oleh UMNO sendiri.
Dalam budaya politik yang matang, perbezaan pendirian seperti ini sepatutnya dihormati.
Akan tetapi, apa yang berlaku ialah naratif selepas itu cuba dipusing seolah-olah PAS yang bersalah kerana ‘tidak menjemput’ atau ‘tidak inklusif’.
Di sinilah timbul persoalan tentang kejujuran dalam berpolitik.
Lebih jauh daripada itu, sejarah politik mutakhir juga tidak boleh dilupakan.
Selepas Pilihan Raya Umum, Perikatan Nasional telah menawarkan kerjasama kepada UMNO untuk membentuk kerajaan bersama atas asas penyatuan.
Namun, UMNO memilih haluan lain bersama Pakatan Harapan, yang di dalamnya turut terdapat Democratic Action Party (DAP).
Maka, apabila isu perpaduan dibangkitkan hari ini, wajar ditanya: siapakah yang sebenarnya menolak ruang tersebut pada ketika ia terbuka?
Dalam Islam, kejujuran dan amanah dalam menyampaikan maklumat adalah prinsip asas yang tidak boleh dikompromi. Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَكُونُوا۟ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (Surah At-Taubah: 119)
Ayat ini bukan sekadar seruan moral, tetapi menjadi asas kepada integriti dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Dalam konteks ini, memutar fakta atau membina persepsi yang tidak selari dengan realiti adalah satu bentuk ketidakjujuran yang bercanggah dengan tuntutan iman.
Tambahan pula, Islam juga mengingatkan agar sesuatu berita itu disemak sebelum disebarkan. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya)…”
(Surah Al-Hujurat: 6)
Dalam suasana politik hari ini, prinsip tabayyun ini semakin penting.
Tuduhan bahawa PAS tidak menjemput UMNO jelas bertentangan dengan fakta bahawa jemputan telah dibuat.
Maka, penyebaran naratif tersebut tanpa penelitian hanya akan mengeruhkan lagi suasana dan menjarakkan masyarakat daripada kebenaran.
Isu masa penganjuran juga tidak wajar dijadikan hujah utama untuk merendahkan program tersebut.
Gerakan politik dan dakwah tidak pernah terikat sepenuhnya dengan musim tertentu.
Bahkan dalam tradisi PAS, program seperti Ijtimak menjadi medan penting untuk memperkukuh jemaah dan menyusun strategi perjuangan dalam apa jua keadaan.
Akhirnya, persoalan ini sebenarnya tidak rumit.
PAS menjemput, UMNO tidak hadir, itu sahaja faktanya.
Namun yang menjadi rumit ialah apabila fakta ini cuba ditutup dengan naratif yang mengelirukan.
Dalam politik, perbezaan pilihan adalah perkara biasa.
Tetapi kejujuran dalam menyampaikan hakikat adalah asas yang tidak boleh dikorbankan.
Dalam dunia yang sarat dengan persepsi dan propaganda, kebenaran sering menjadi mangsa.
Justeru, tanggungjawab semua pihak ialah kembali kepada prinsip, bercakap benar, berlaku adil dan tidak memutar belitkan realiti demi kepentingan sempit.
