Saat ini seluruh dunia tertumpu kepada Selat Hormuz yang kini menjadi medan pertembungan antara Republik Islam Iran dengan Amerika Syarikat dan negara haram Israel.
Konflik di Timur Tengah yang kini berpusat di Selat Hormuz telah mengakibatkan kenaikan harga minyak mentah dunia termasuk gangguan ke atas rantaian ‘supply chain’ ekonomi dunia.
Namun begitu, apa yang menarik enam daripada lapan laluan perdagangan yang menjadi nadi kepada sektor ekonomi dan perdagangan dunia terletak di Dunia Islam.
Oleh itu sejak berabad-abad lamanya, kuasa-kuasa besar dunia bertarung untuk menguasai serta mengawal laluan tersebut.
1. Selat Hormuz
Selat yang menjadi laluan perdagangan minyak mentah paling penting di dunia menghubungkan Teluk Parsi dengan Lautan Hindi, dengan sekitar 1/5 daripada perdagangan minyak mentah global melaluinya.
Ia juga adalah laluan eksport utama minyak mentah dari negara-negara Teluk ke seluruh dunia.
2. Selat Melaka
Laluan perdagangan utama antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan yang dianggarkan membawa sekitar 22-25 peratus daripada perdagangan maritim global.
Selat Melaka juga adalah laluan dan transit minyak mentah terbesar di dunia yang dianggarkan membawa kira-kira 23.3 juta tong sehari.
China amat bergantung kepada Selat Melaka untuk aliran sumber minyak mentahnya, dengan hampir 75 peratus import minyak mentah China melaluinya.
3. Bab el-Mandeb
Pintu masuk antara Laut Merah dan Teluk Aden sebelum ke Laut Arab dan Lautan Hindi.
Sebelum bermulanya serangan kumpulan Ansarullah ke atas kapal dagang yang mempunyai kepentingan ke atas negara haram Israel pada penghujung 2023 di selat tersebut, sebanyak 9.3 juta tong minyak mentah sehari melalui selat tersebut.
Pada tahun 2025, jumlah tersebut turun menjadi hanya sekitar 4.2 juta tong sehari.
Bab Al-Mandeb adalah komponen penting kepada Terusan Suez kerana ia adalah laluan utama untuk keluar dan masuk ke Terusan Suez.
4. Selat Denmark
Selat Denmark (Danish Strait) mempunyai tiga laluan yang menghubungkan Laut Baltik ke Laut Utara.
Dianggarkan sebanyak 4.9 juta tong minyak mentah sehari melalui Selat Denmark, dan ia adalah laluan perdagangan kritikal untuk eksport minyak mentah dan gas daripada negara-negara Baltik dan Nordic, khususnya Norway dan Denmark, di mana Norway adalah pengeluar minyak mentah dan gas asli terbesar di Eropah.
Selat Denmark juga adalah laluan strategik utama perdagangan untuk Eropah Utara.
5. Selat Turki
Selat Turki ialah Selat Bosporus dan Selat Dardanelles yang terletak di Lautan Marmara di Turkiye yang menjadi penghubung kepada Laut Hitam, Lautan Azov, Lautan Aegean dan Lautan Mediterranean serta menjadi titik utama yang membahagikan Eropah dan Asia.
Dianggarkan sebanyak 3.7 juta tong minyak mentah sehari melalui selat ini dan ia adalah antara laluan utama perdagangan Eurasia.
Selat Turki juga adalah ‘leverage’ geopolitik utama ketika ini khususnya antara Rusia dan Kesatuan Eropah berikutan perang proksi antara Barat dan Rusia di Ukraine.
6. Terusan Panama
Terusan Panama adalah sistem kunci air di Panama sepanjang 82 km yang merupakan antara laluan perdagangan utama yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik.
Terusan Panama juga adalah laluan strategik utama perdagangan untuk negara-negara Amerika Selatan.
Dianggarkan sekitar 2.3 juta tong minyak mentah termasuk bekalan gas asli, bahan mentah dan ribuan kontena melalui terusan ini dalam masa sehari.
Tahun lalu, Terusan Panama menjadi pertikaian utama antara Amerika Syarikat dan China hingga hampir mencetuskan konflik antara kedua-dua negara di mana kini Amerika Syarikat telah menguasai kembali terusan tersebut.
7. Selat Gibraltar
Selat Gibraltar adalah antara laluan perdagangan ekonomi dunia yang dianggarkan menguasai sebanyak 10 peratus perdagangan maritim global.
Dianggarkan lebih 100,000 buah kapal dagang melaluinya setiap tahun dengan membawa minyak mentah dan gas asli serta komoditi perusahaan.
Ia juga adalah laluan perdagangan utama yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean, termasuk Terusan Suez, selain menjadi hub strategik pengkalan tentera utama NATO di Gibraltar.
8. Terusan Suez.
Terusan Suez adalah sistem kunci air di Mesir sepanjang 193 km yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah dan menjadi antara laluan perdagangan utama yang menghubungkan Eropah dan Asia.
Ia mengendalikan sekurang-kurangnya sebanyak 12-15 peratus daripada jumlah perdagangan maritim global namun selepas penghujung 2023 hingga ke hari ini, jumlah kapal dagang yang melalui Terusan Suez mengalami penurunan drastik khususnya selepas sekatan yang dikenakan kumpulan Ansarullah di Bab Al-Mandab pada pengujung 2023 dan perang yang sedang berlangsung ketika ini.
Untuk suku pertama 2026, sebanyak 4.9 juta tong minyak mentah sehari telah melalui terusan ini, pengurangan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2023.
Berikutan risiko serangan kumpulan Ansarullah dan perang yang sedang berlansung ketika ini, bermula tahun 2024 kebanyakkan kapal dagang yang menggunakan Terusan Suez telah mula menggunakan laluan lain bagi mengelakkan perang.
Jika diamati secara teliti, pastinya siapa yang mengawal laluan perdagangan di atas akan mendapat limpahan ekonomi dan kuasa geopolitik yang cukup besar.
Sebagai contoh ketika Presiden Amerika Syarikat mahu ‘mengambil’ Greenland daripada Denmark, ramai yang tidak mengetahui kepentingan strategik Greenland dari sudut ekonomi, geopoltik dan ketenteraan.
Danish Strait terletak di Greenland, dan laluan perdagangan Artik Baharu yang diterokai oleh Rusia dan China yang dikenali sebagai ‘The Polar Silk Road’ turut berada berhampiran dengan Greenland.
Tujuan sebenar Amerika Syarikat adalah untuk menghalang Rusia dan China daripada mengawal laluan perdagangan tersebut pada masa hadapan yang dijadikan alternatif jika Barat berjaya mengawal majoriti laluan perdagangan maritim utama dunia.
Begitulah mustahaknya laluan perdagangan yang disebutkan di atas.
Berdasarkan keadaaan semasa, hanya tinggal Selat Melaka sahaja yang bebas daripada sebarang kawalan dan jangkauan mana-mana kuasa besar.
Namun begitu, penganalisis geopolitik dunia dan media antarabangsa telah mula mengangkat kepentingan Selat Melaka dan pencaturan menguasainya oleh kuasa besar dunia.
Semuanya bergantung kepada kunjungan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke China pada 14 Mei nanti kerana selepas itulah ia bakal mencorakkan apa yang bakal berlaku di Timur Tengah termasuk di Asia Timur.
Semuanya kerana pertembungan dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China.
Satu mahu mengekalkan hegemoninya yang kini berada di penghujung nyawa dan satu lagi pada bila-bila masa sahaja akan menjadi kuasa besar utama dunia.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
