Umno dalam euforia menyambut ulang tahun ke-80 tahun parti berbasis nasionalisme Melayu dan pragmatis.
Parti tua yang ditanam tembuninya di negeri selatan tanah air itu juga mengulangi sejarah keseluruhan parti-parti bertaraf perdana, memegang tampuk kuasa dalam tempoh yang panjang yang akhirnya menggelungsur perlahan daripada koridor kuasa seperti Parti Kongres di India, Parti Golkar di Indonesia, Front Liberation Nasionalist di Algeria, CUP di Turki dan Liberal Democratic Party di Jepun.
Umno hilang sebahagian pesona apabila lama berada di koridor kuasa.
Saat bersemaraknya penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946, bantahan awam kaum Melayu membawa kepada penubuhan Umno dengan rangkaian sivil masyarakat Melayu yang mendokong parti itu.
Pemuafakatan parti berbasis tiga kaum dinamakan sebagai Parti Perikatan telah berjaya menjulang trofi kemenangan besar dalam pilihan raya tahun 1955.
Perikatan menang 51 kerusi Parlimen berbanding PAS yang hanya menang satu kerusi Parlimen di Krian, Perak.
Dalam denai sejarahnya, Umno beberapa kali telah berpecah serta kehilangan tokoh-tokoh besar sejak dekad 1950-an lagi.
Antara parti serpihan Umno adalah seperti IMP, Parti Negara, Nasma, Semangat 46, BERSATU, termasuk perpecahan besar Umno pada tahun 1998 sehingga memunculkan Parti Keadilan.
Menjelang lapan dasawarsa penubuhannya, kekuatan Umno semakin roboh di pelbagai penjuru.
Parti yang lama terpalit dengan budaya korupsi, kroni kapitalisme, favoritisme dan nepotisme itu hilang pesonanya kepada sebahagian besar masyarakat Melayu.
Dalam PRU-15, Umno tidak disokong di kawasan ‘Malay Belt’, juga hilang undi anak-anak mudi yang tidak terikat dengan kilauan pesona sejarah parti terkait perjuangan kemerdekaan itu.
Sebanyak 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, namun Umno hanya berupaya menang sebanyak 26 kerusi dan terus berada pada titik terendah dalam sejarahnya.
Perlu dirakam, kemenangan 26 kerusi itu dalam kondisi Presiden Umno memberikan janji ‘no Anwar, no DAP’.
Bayangkan tahun keempat Umno bersenggama dengan DAP, terdapat pelbagai isu yang merobek nurani bangsa Melayu.
Adakah Presiden Umno yakin bahawa orang Melayu akan berpaling menyokong mereka semula?
Dalam banyak pertemuan pendokong Umno dengan Presiden Umno, terungkap cadangan ‘UMNO go solo’.
Apakah maksud lontaran idea itu, adakah tingkah silat politik Umno kali ini untuk merengkuh kembali sokongan orang Melayu?
Pandangan penulis mengenai kenyataan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bukanlah membawa maksud Umno akan bertanding sepenuhnya secara solo tanpa sebarang pemuafakatan strategik dengan gabungan PH.
Umno merangka garis besar susunan strategi dalam kerangka pemuafakatan bersama Pakatan Harapan.
Kemanisan melahap kuasa bukanlah perkara kecil kepada Umno; tanpa kantung dana serta akses kepada kerajaan maka parti itu akan berkubur tanpa batu nisan!
Tidak melampaui garisan sangkaan semua pengkaji politik bahawa terma ‘go solo Umno’ adalah merujuk kepada Umno akan bertanding di kerusi-kerusi yang mereka akan bertanding.
Anggaran sekitar 115 kerusi Parlimen diintai oleh Umno.
Di alam maya, avatar Umno muncul dengan pelbagai nama samaran untuk menggelombangkan sokongan kepada Umno.
Riuh geger kononnya anak-anak muda sibuk mengisi borang-borang Umno.
Kegemparan buatan ini adalah langkah optikal untuk menyusuli kemasukan kembali Khairi Jamaluddin ke dalam parti itu.
Logika Umno, strategi ‘go solo’ berjalan maka sebanyak 115 konstitusi tersebut, Umno akan berpencak tanpa pertindihan calon daripada Pakatan Harapan.
Ironinya, UMNO kelihatan bergerak solo kerana tidak berdepan dengan saingan daripada rakan strategik PHBN.
Taktik dan strategi Umno yang juga sinonim dengan perlecehan sosial oleh pemain politik seterunya sebagai ‘Umdap’ kali ini tidak mudah.
Kenyataan terbaru Lim Guang Eng sangat merobek nurani dan tanpa berselindung, segalanya kerana bagasi sejarah.
Malangnya, pengundi Umno pula dijangka memberi sokongan kepada calon PH sebagai sebahagian daripada persefahaman politik dalam rakan pemuafakatan.
Pola pengundian orang Melayu sudah berubah sejak PRU-15.
Umno hilang kubu kuat mereka di kawasan tanah pembangunan Persekutuan, juga undi anggota keselamatan.
Berpeluk sebantal Umno dengan DAP makin menjarakkan penyokong Umno dengan parti itu.
Apatah lagi, parti berbasis Melayu itu sangat ketara kekurangan tokoh-tokoh muda atau tokoh baru yang mempunyai karisma, pakej kompetensi serta kualifikasi kertas.
Ramai pengamat politik meramalkan PRU-16 sangat kritikal buat Umno; DAP dan Umno cuba diwajahkan seperti bermusuh jauh tetapi masih saling membantu dari segi sokongan pengundi semasa pilihan raya.
Mereka pasti akan bercantum selepas PRU demi membentuk kerajaan yang pastinya akan banyak mengabaikan kepentingan golongan Bumiputera.
Naratif ‘undi BN dapat DAP’ pasti akan kekal di bawah minda sedar orang Melayu untuk PRU-16 nanti.
Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
