Melihat poster pertama ini, aku tersenyum sendirian, lalu terlintas idea untuk menulis semula sebuah kisah yang pernah aku nukilkan dahulu berkenaan sepasang suami isteri muda.
Ia sebuah kisah klasik yang mungkin sudah didengari ramai. Namun, ada pengajaran yang berguna.
Kisah berkenaan sepasang suami isteri yang baharu melangsungkan perkahwinan mereka.
Mereka tinggal di kampung, dan suami bekerja sebagai penoreh getah, sedangkan isteri tidak bekerja.
Tidak berapa lama kemudian, mereka berkelahi. Biasalah darah muda.
Perkelahian mereka agak besar, sehingga membawa Minah, si isteri, lari ke rumah orang tuanya.
Mamat, sang suami pula, memang benar-benar berang dengan Minah.
Mamat tidak ambil pusing ke mana Minah mahu pergi.
Hanya sahaja mereka tidak bercerai.
Manakala bapa Minah amat kecewa dengan sikap Mamat yang memarahi anak tunggal kesayangannya itu.
Lalu bapanya menyebelahi anaknya dan menyuruh anaknya tinggal dengannya sahaja.
Bapa dan ibu Minah meneruskan tugasan harian mereka seperti biasa, menoreh getah awal pagi.
Minah pula membantu kerja-kerja dapur memasak dan membasuh, semuanya.
Ringanlah sedikit beban tugasan mereka.
Manakala sudah lebih seminggu Mamat masih belum datang mengambil Minah kerana dia tahu bapa Minah yang garang itu akan memukulnya, jika dia datang.
Selang sebulan, tiba-tiba Minah muntah-muntah dan pening kepala, tidak sedap badan.
Bapanya terkejut besar apabila disahkan oleh isterinya bahawa Minah sedang mengandung.
Bagaimana mungkin setelah sebulan tidak bersama Mamat dia mengandung?
Bapanya menjadi marah kerana Minah telah menconteng arang ke muka mereka.
Lalu dipaksa Minah memberitahu, siapakah yang melakukan kerja terkutuk itu.
Minah, dalam ketakutan, memberitahu bahawa setiap pagi selepas ayah dan ibunya pergi menoreh, dia akan menyambut suaminya, si Mamat, yang datang memanjat tingkap bilik mereka dan keluar sebelum ibu bapa Minah pulang menoreh.
Nampaknya dalam kemarahan, kedua-dua ibu bapa Minah akan menjadi datuk.
Bila sudah menjadi datuk, maka akan hilanglah ‘bengkeng’ kerana kalah dengan cucu.
Rupanya berkelahi dan benci mereka itu hanya sekejap dan selebihnya lakonan di depan orang tua.
Di belakang, mesranya sampai mengandung.
Ada dua pengajaran dalam kisah ini.
Pertama, jangan kita percaya kepada apa yang kita nampak tentang peribadi orang lain di hadapan kita walaupun bersumpah atas nama Allah kerana dalam hati mereka, Allah sahaja yang tahu.
Kita boleh lihat sendiri sekarang, sudah berapa banyak kes yang kita nampak dia baik, berjanji, bersumpah, tetapi akhirnya baru kita tahu yang dia adalah scammer.
Kedua, jangan kita lebih-lebih mencampuri urusan rumah tangga orang ataupun memihak kepada mana-mana, walaupun anak sendiri, apalagi jika kita dengar cerita dari sebelah pihak.
Biar mereka menyelesaikan sendiri.
Kalau kita lebih-lebih, nanti kalau mereka berbaik semula, kita pula yang teruk.
Sekarang netizen suka sangat berkomentar perihal rumah tangga orang, jadi penghasut.
Jadi tidak perlulah kepada rakyat Malaysia yang cerdik untuk mencampuri dalam perkelahian Umno dan DAP.
Biar mereka menyelesaikan sendiri.
Takut nanti mereka berbaik semula sampai mengandung, rakyat Malaysia juga yang susah.
Inipun penat kita lihat penyokong Madani terpaksa pertahankan isu ladang babi, isu yang terberanak semasa mereka berbaik.
Kisah ini diceritakan oleh mantan Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat, Allahyarham Ustaz Abu Kassim Abdullah, dalam satu muktamar di Kota Bharu dengan beberapa penambahan.
*Poster-poster AI diambil dari internet. Saya mohon share.
Mohd Nasir Abdullah
