Lawatan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, ke Terengganu baru-baru ini membuka mata ramai pihak tentang perubahan landskap politik dan ekonomi di rantau ini.
Singapura bukan negara yang membuat langkah diplomatik tanpa tujuan.
Setiap lawatan mempunyai mesej tersirat dan kepentingan strategik yang jelas.
Persoalannya, mengapa Terengganu yang dipilih?
Selama ini, hubungan Singapura dengan Malaysia sering tertumpu kepada Kuala Lumpur dan Johor.
Namun, kali ini, perhatian diberikan kepada sebuah negeri di Pantai Timur yang diperintah PAS.
Ini menunjukkan bahawa Singapura mula melihat Terengganu sebagai negeri yang mempunyai potensi ekonomi dan geopolitik yang semakin penting.
Ramai rakyat Singapura sendiri dilaporkan terkejut dengan lawatan tersebut.
Ada yang menganggapnya sekadar lawatan biasa, tetapi ramai juga melihatnya sebagai usaha Singapura untuk mendekati kepimpinan politik alternatif di Malaysia.
Singapura terkenal dengan pendekatan pragmatik.
Mereka tidak peduli siapa yang memerintah asalkan hubungan ekonomi dan pelaburan dapat diperkukuhkan.
Hakikatnya, Singapura sentiasa berfikir jauh ke hadapan.
Mereka melihat potensi pelabuhan, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan projek ECRL yang bakal mengubah ekonomi Pantai Timur.
Ketika sesetengah pihak di Malaysia masih sibuk berpolitik tanpa arah, Singapura sudah mula mengatur strategi jangka panjang.
Mungkin juga Singapura menjangkakan Menteri Besar Terengganu bakal mengambil alih kepimpinan negara pada pilihan raya umum yang akan datang.
Apa yang lebih menarik ialah lawatan ini secara tidak langsung memberi pengiktirafan antarabangsa kepada kepimpinan Terengganu.
Selama ini ada pihak yang cuba menggambarkan negeri-negeri yang diperintah PAS sebagai mundur atau tidak mesra pelaburan.
Tetapi apabila bekas Perdana Menteri Singapura sendiri hadir, naratif itu mula dipersoalkan.
Namun rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati.
Singapura sentiasa mengutamakan kepentingan nasional mereka.
Mereka akan melabur jika menguntungkan ekonomi mereka.
Malaysia tidak boleh terlalu ghairah menerima perhatian luar sehingga mengabaikan kepentingan rakyat tempatan, nelayan, usahawan kecil dan hak milik strategik negara.
Lawatan ini juga menunjukkan bahawa politik Malaysia kini semakin diperhatikan dunia luar.
Negeri-negeri pembangkang bukan lagi dianggap terpencil atau tidak relevan.
Jika negeri-negeri tersebut mampu menunjukkan kestabilan pentadbiran dan hala tuju ekonomi yang jelas, pelabur asing tetap akan datang tanpa mengira ideologi politik.
Akhir sekali, lawatan Lee Hsien Loong ke Terengganu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Dunia sedang berubah dengan pantas.
Dalam persaingan ekonomi serantau, siapa yang cekap merancang dan membina keyakinan akan mendapat manfaat terbesar.
Persoalannya sekarang, adakah Malaysia benar-benar bersedia memanfaatkan peluang ini atau sekadar menjadi penonton kepada strategi negara lain?
Iskandar Abdul Samad
