Belanjawan 2021
“Sekarang saya tahulah betapa susahnya nak buat belanjawan negara,” seloroh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ditanya pengalaman baharunya mengetuai kerja ‘kira-kira’ negara, berbanding sebelum ini bertugas sebagai ketua di sektor perbankan.
Katanya, belanjawan kali ini mencabar kerana perlu menyeimbangkan banyak kumpulan fokus, negeri dan kementerian.
Malah, ia perlu dibuat dalam keadaan pendapatan negara terkesan kerana ekonomi merosot namun pada masa sama perlu berbelanja lebih.
Menurutnya, belanjawan negara kali ini dilihat sedikit menongkah arus teori ekonomi apabila sepatutnya perbelanjaan dikurangkan jika pendapatan merosot namun keadaan sebaliknya perlu dilakukan bagi Belanjawan 2021 kerana kerajaan perlu berbelanja lebih.
Ikuti temu bual khas wartawan Harian Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri dan Hayati Ibrahim bersama jurugambar Mohd Fadli Hamzah dengan Menteri Kewangan mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
KKM bakal dapat peruntukan besar
Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini paling penting dalam sejarah negara, dengan fokus utamanya menyelamatkanrakyat dan ekonomi negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa sama, oleh itu langkah sewajarnya perlu diambil untuk memulihkan keadaan.
“Ia bukan hanya belanjawan biasa apabila dari segi definisinya ia peruntukan untuk kementerian-kementerian.
“Tetapi kali ini ia kombinasi mencari penyelesaian (membantu rakyat) dan membantu pertumbuhan negara ketika perang menentang pandemik Covid-19,” katanya pada temu bual khas bersama Harian Metro, BH dan NST di pejabatnya di sini.
Tengku Zafrul berkata, jangkaan rakyat terhadap belanjawan kali ini sangat tinggi dan kerajaan perlu memastikan ekonomi negara kekal utuh manakala keselamatan rakyat terjamin.
“Jadi polisi kena seimbang antara kedua-dua ini, kita dah lihat ada pemulihan, tetapi paling penting untuk mengekalkannya.
“Satu daripada caranya adalah memastikan Covid-19 dapat dikawal dengan baik,” katanya yang berharap negara bakal menunjukkan pemulihan pada 2021.
Beliau berkata, peruntukan untuk belanjawan kali ini lebih tinggi dan sebahagian besarnya diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi.
Katanya, sebelum belanjawan, kerajaan sudah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) yang boleh dianggap sebagai belanjawan mini.
“Jumlah suntikan fiskalnya mencecah RM55 bilion yang menyamai saiz perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2020.
“Sebenarnya belanjawan ini umpama yang kelima selepas empat belanjawan mini sebelum ini, cuma yang ini paling besar,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan membentangkan usaha untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan memandangkan kadar pengangguran sekarang agak tinggi iaitu 4.7 peratus berbanding antara 3.3 hingga 3.5 peratus dalam tempoh 15 tahun lalu.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) pastinya akan mendapat peruntukan lebih besar dalam belanjawan kali ini.
“Kita perlu menyediakan peruntukan untuk pembelian vaksin, kita tidak boleh cakap kepada rakyat kerajaan tiada peruntukan untuk itu.
“Tetapi sama ada ia akan diumum dalam Belanjawan 2021 atau tidak, belum tahu lagi kerana kita tidak tahu bila vaksin akan sedia di pasaran,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menimbangkan pemberian tunai atau seumpamanya untuk membantu rakyat, beliau berkata, belanjawan kali ini dibentuk untuk membantu rakyat yang betul-betul memerlukan.
Ini kerana, katanya, ketika ini banyak golongan terkesan bukan hanya B40, tetapi M40 turut terkena tempias.
Katanya, tidak ketinggalan golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, muda, graduan, peniaga kecil, pemandu teksi dan sektor lain.
“Apa yang saya ingin katakan, kita cuba guna data yang ada sekarang untuk menghasilkan penyelesaian…tetapi bukan satu penyelesaian untuk semua peringkat,” katanya sambil menambah peningkatan kadar cukai ketika ekonomi sedang sakit bukan langkah bijak menaikkan hasil negara.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, pihak swasta perlu menggalas tanggungjawab dan bekerjasama dengan kerajaan.
“Apabila saya kata bekerjasama, saya pernah cakap dulu mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membantu dan mereka beri komitmen sepenuhnya.
“Tetapi saya rasa pihak swasta perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk sama-sama membantu. Sebelum ini, mereka ada membantu ketika kerajaan mengumumkan Prihatin dan Penjana.
“Tetapi yang utama kerajaan perlu melakukan segalanya untuk menyelamatkan apa yang kita ada sekarang (dengan bantuan semua pihak termasuk swasta),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak menyokong Belanjawan 2021 kerana ia khusus untuk rakyat dan negara.
“Saya berpendapat kalau belanjawan ini bagus, dapat tolong rakyat, ambil peluang ini untuk tunjukkan kepada rakyat kita tidak berpolitik dalam perkara penting seperti ini,” katanya.
Katanya, beliau juga mempertimbangkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik menerusi konsultasi belanjawan dan pertemuan yang diadakan sebelum ini.
Sedia dana khas usahawan Bumiputera
Kerajaan akan mengumumkan dana khas dalam Belanjawan 2021 untuk membantu usahawan Bumiputera khususnya yang terbabit dalam bidang perniagaan baharu.
Tengku Zafrul berkata, dana khas ini bagi memastikan usahawan Bumiputera dapat terus menyertai aktiviti ekonomi.
“Ada beberapa agensi terbabit seperti Tekun Nasional (Tekun), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Pelaburan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan beberapa agensi lain.
“Ada sesetengah agensi ada dana, tapi kita tambah (peruntukan). Ada agensi tiada dana berkaitan, kita akan buat dana khas.
“Kita mahu agensi ini fokus kepada industri tertentu. Jika tidak, mereka akan beri dana kepada industri yang mereka sudah biasa (berurusan).
“Kita mahu mereka bantu kumpulan industri tertentu dan tidak boleh beri kepada industri lain. Jika tidak buat begini, mereka (agensi) beri kepada usahawan yang ada rekod kewangan kukuh saja,” katanya.
Menurutnya, dana khas ini meliputi usahawan Bumiputera yang terbabit dalam segmen digital dan sektor baharu ekonomi.
“Kita akan gerakkan agensi ini beri tumpuan kepada sektor baharu. Kita mahu agensi beri dana kepada sektor ini saja dan bukan segmen tradisional.
“Kita perlu utamakan sektor baharu ini dan akan pastikan dana sampai ke kumpulan tepat.
“InsyaAllah tiada siapa akan ketinggalan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, peruntukan Bumiputera khususnya dalam kalangan usahawan pada belanjawan kali ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Belanjawan kali ini konsisten dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk menyokong dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi,” katanya.
Moratorium bersasar lebih efektif
Pelaksanaan moratorium bersasar lebih efektif membantu rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19, terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau berdepan pengurangan gaji.
Tengku Zafrul berkata, pendekatan ini lebih baik kerana mereka yang mempunyai duit boleh terus membuat bayaran pinjaman, sekali gus membantu golongan tidak berkemampuan.
Pada masa sama, katanya, pihak bank ada aliran tunai dan dapat memberi pinjaman kepada syarikat yang memerlukan.
“Jadi, tak kisahlah kumpulan B40, M40 atau T20, kalau hilang pekerjaan mereka boleh mohon, kalau gaji kurang 50 peratus, bayaran ansuran pun kurang 50 peratus.
“Tetapi sekarang kita nak tengok mungkin golongan B40 ini walaupun masih ada pekerjaan, tetapi masih susah, mungkin pasangannya terkesan, pendapatan isi rumah jatuh.
“Perkara ini perlu dikaji, kita perlu buat lebih lagi (untuk membantu golongan terkesan), tetapi untuk beri moratorium secara automatik kepada semua mungkin tak betul, kena lebih bersasar,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, berdasarkan pelaksanaan moratorium secara automatik bermula 1 April hingga 30 September lalu, kerajaan mendapati antara 97 hingga 98 peratus atau 7.7 juta rakyat Malaysia menikmatinya walaupun ada segelintir daripada mereka tidak memerlukannya.
Beliau berkata, atas sebab itu kerajaan ubah pendekatan dengan memberi moratorium bersasar kepada golongan terkesan.
“Kalau beri kepada semua orang (seperti) syarikat besar, pegawai dan usahawan mereka akan gunakan wang itu untuk tujuan lain.
“Ramai orang kaya ambil moratorium (dengan) melabur dalam pasaran saham dan buat pelaburan lain. Seorang daripada mereka mungkin 1,000 daripada kumpulan B40 dari segi jumlah pinjaman.
Sebab itu saya nak perluaskan lagi skop, kita berbincang dengan pihak bank menerusi Bank Negara Malaysia (BNM), jadi tunggu (pembentangan) Belanjawan 2021,” katanya.
Menurutnya, sehingga 9 Oktober lalu, pihak bank menerima 640,000 permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bayaran, dengan 98 daripadanya diluluskan.
Katanya, ini menunjukkan ramai membuat pembayaran pinjaman semula.
“Kita buat kaji selidik bersama Merdeka Centre yang tamat 30 Oktober lalu dan menunjukkan 70 peratus reponden menyatakan mereka tidak memerlukan moratorium setakat ini,” katanya.
Pertimbang pengeluaran Akaun 1
Caruman dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya menjadi simpanan untuk masa depan, namun jika ada pencarum yang mahu keluarkan kerajaan mungkin boleh pertimbangkan.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, kerajaan perlu membuat penilaian yang teliti bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan saja akan membuat pengeluaran.
“Kita tahu ramai yang betul-betul perlukan. Tapi, kita perlu periksa.
“Sekarang permintaannya ialah (pengeluaran caruman) akaun 1 (KWSP). Kita sebagai kerajaan yang prihatin pertimbangkan segala cadangan untuk mereka yang memerlukan.
“Ini simpanan mereka untuk masa depan. Tapi, hujah mereka ialah kalau saya tak boleh hidup hari ini, macam mana nak hidup esok hari.
“Maka, kita kena cari penyelesaian untuk selamatkan mereka hari ini dan juga esok. Kita tak boleh laksanakan penyelesaian jangka pendek,” katanya.
Menurutnya, kerajaan pasti akan membantu rakyat, namun pengeluaran caruman KWSP bukanlah antara jalan yang terbaik.
“Kerajaan pasti akan bantu, tetapi bukanlah dengan meminta mereka keluarkan caruman itu.
“Kalau terpaksa, mungkin kita boleh bagi tapi kita perlu cari jalan lain juga.
“Nampak seperti kerajaan lepas tangan apabila rakyat keluarkan duit sendiri. Itu tak sepatutnya berlaku.
“Pengeluaran caruman tidak boleh bertahan lama. Kita perlu penyelesaian jangka panjang seperti peluang pekerjaan atau tingkatkan kemahiran,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, perbincangan masih dijalankan dengan KWSP kerana mereka perlu melaksanakan penilaian dengan pihak berkepentingan.
“Namun, saya ingin jelaskan pengeluaran itu hanya langkah jangka pendek sedangkan yang kita perlukan penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Ketika ditanya mengenai ‘cakap-cakap’ bahawa KWSP tidak membenarkan pengeluaran akaun 1 kerana tiada wang mencukupi akibat membantu kerajaan memberikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Tengku Zafrul berkata, ia tidak benar sama sekali.
“KWSP ada aset lebih dari mencukupi,” katanya.
MyMetro