KUALA LUMPUR 23 JANUARI 2019. Tinjauan di Istana Negara sempena Majlis Raja-raja yang mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Sangat jelik rasanya melihat gelagat pihak-pihak tertentu yang kini giat memberi komen mengecam pihak lain yang sudah mengakui dan memohon maaf atas sedikit keterkhilafan membabitkan isu prosedural Istana dengan menggambarkan seolah-olah pihak ini telah melakukan satu derhaka besar.
Pada masa yang sama, pihak-pihak tertentu ini seperti sudah lupa bahawa pihak merekalah yang sebenarnya telah melakukan satu derhaka besar dengan mempersoalkan kelangsungan institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri sedangkan pihak yang dikecam tidak pernah pun mempersoalkan perkara ini.
Lupakah mereka mengenai betapa seorang pemimpin senior mereka (dari PKR) pernah dengan lancangnya berkata secara terbuka di dalam Forum Malaysia & Statut Rome pada 27 April 2019:
(1) “Banyak sangat Raja di sini, banyak sangat belanja yang ditanggung oleh rakyat”.
(2) “Kalau hendakkan simbol, mengapa sembilan (Raja), mengapa tak satu saja?”
(3) “Raja itu, sekarang ini terutama sekali, makin meluas menentang dan menceroboh perlembagaan.”
(4) “Raja dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara”.
Lupakah mereka mengenai betapa seorang pemimpin senior mereka (dari DAP) juga pernah dengan lancangnya berkata secara terbuka di dalam Facebook beliau pada 24 Mac 2016:
(1) “Kebanyakan Raja hanya memikirkan kepentingan mereka sendiri”.
(2) “Raja-Raja selalu bertindak bercanggah dengan Perlembagaan.”
(3) “Keluarga diraja adalah satu bebanan kewangan yang serius kepada negara”.
(4) “Apa yang keluarga diraja sumbangkan untuk kesejahteraan rakyat?”
Banyaklah lagi jika mahu dikorek balik semua rekod begini, tetapi apa yang pentingnya ialah kita harus boleh membezakan antara perkara cabang/prosedur dengan perkara dasar/substantif.
Terkhilaf tidak masuk mengadap dalam tempoh yang dititahkan kah atau langsung mempersoalkan kelangsungan institusi Raja-Raja Melayu itu kah yang merupakan satu derhaka besar?
Kamarul Yusoff
