Ketika membelek-belek tulisan ribuan sang pelayar maya, saya mendapati ramai yang begitu teruja dengan pengembaraan ‘romantis’ UMNO dan PAS dalam membina mahligai yang diimpikan.
Hubungan UMNO dan PAS mampu diabadikan sebagai ‘penyatuan abad ini’ dalam lipatan sejarah politik tanah air.
Dalam meniti setiap jambatan kata hati para penulis yang sudi menitipkan pandangan, kelihatan ada unsur-unsur yang sukar dipadam dari sejarah silam.
Justeru hubungan yang hendak dipupuk perlu dibajai dengan kata-kata indah dan saling percaya mempercayai.
Untuk itu, pada waktu yang amat kritikal dalam menghadapi PRU 15, para pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin akan mengusik sudut kesangsian yang paling dalam, dalam lubuk jiwa rakan seperjuangan.
Gabungan ini tidak akan belayar dalam samudra tanpa rintangan.
Kemasukan Bersatu dalam gabungan ini menguji semua pihak terutamanya pemimpin dan ahli yang kelihatan tidak konsisten dalam pandangan.
Yang akan merobohkan kekuatan UMNO dan PAS bukannya Bersatu.
Sebaliknya kesediaan dan sikap sendiri.
Untuk ikatan ini berjaya, ada beberapa pendekatan yang perlu diambil kira dan pengorbanan yang perlu dilakukan, meskipun kejayaan di Slim merupakan kejayaan tujuh kali berturut-turut.
Bertentangan dengan pandangan ramai, semua pihak ada peranan dalam Muafakat Nasional atau Pakatan Nasional.
Para pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu menghentikan kritikan dan komentar negatif terhadap rakan-rakan sepasukan dalam Pakatan Nasional.
Serangan terhadap rakan dalam pasukan tidak akan mendatangkan faedah kepada sesiapa.
Tidak dinafikan bahawa UMNO berada dalam keadaan yang kuat tetapi perlu cermat dalam mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kenyataan yang tidak konsisten daripada pemimpin berbeda akan dilihat sebagai kecelaruan dan kelemahan.
Sebarang kenyataan yang memperkecilkan rakan dalam gabungan hanya akan menimbulkan rasa tersinggung yang boleh membawa padah.
Saidina Umar Al Khattab pernah berkata “Aku tidak pernah barang sekali menyesali tindakan aku ketika berdiam diri. Namun acap kali aku menyesali tindakan aku ketika membuka mulut.’
Membuat komentar atau pandangan yang terkucil daripada landasan membawa banyak implikasi.
Jika para pemimpin UMNO dan PAS mengambil iktibar akan kata-kata Saidina Umar ini, saya berpandangan bahawa gabungan ini akan mencapai kejayaan luar biasa.
Dalam usaha perang saraf, ilmu adalah apabila kita tahu apa yg hendak diperkatakan dan ‘kebijaksanaan’ ialah apabila kita tahu bila sesuatu itu hendak diperkatakan.
Semoga pelayaran perjuangan agama dan bangsa ini akan sampai ke destinasinya.
Cikgu Kamarul
