Rasanya semua sudah maklum dengan apa yang berlaku.
Dengan kenyataan media daripada menteri sendiri, menunjukkan betapa seriusnya isu yang dibangkitkan.
Saya juga ditanya oleh ramai rakan-rakan yang dikenali.
Maaf kepada rakan-rakan FB yang saya tidak kenali, saya biasanya tidak menjawab kerana rasanya anda semua faham kenapa.
Jadi yang DM kepada saya bagi mengetahui hal-hal sebegini, biasanya saya tak layan sangat.
Namun begitu, sebagaimana kebiasaan, saya akan cuba mendapatkan apa sebenarnya yang berlaku.
Dari segi fakta atau perjalanan isu ini, saya rasa lebih baik diambil sahaja kenyataan media menteri kerana saya tidak berhak menceritakan apa yang berlaku secara terperinci, mungkin hanya mengulangi jawapan yang diberikan kepada saya sahaja.
Cuma saya ingin menarik perhatian kepada ahli dan penyokong PAS sahaja atas beberapa perkara dan sikap kita.
Apa kata kita biarkan dahulu kes ini kepada pihak berkuasa dan juga pimpinan tertinggi PAS untuk memutuskannya.
Jika menteri didapati bersalah, kita tidak akan sesekali menyokong beliau.
Kita hanya bersimpati atas apa yang berlaku.
Kita bukan ahli parti lain yang menjilat sehingga kering.
Salah tetap salah, asas kepada jemaah ini ditubuhkan ialah mahu menegakkan hukum Allah.
Tetapi, sebelum beliau didapati bersalah, kenapa sudah dihukum?
Kita boleh berkata Najib tidak bersalah sehingga dibuktikan.
Kita pernah mendiamkan diri untuk memberikan keadilan sewajarnya kepada Lim Guan Eng dalam kes rasuahnya.
Kita pernah bermandi air bersama-sama disiram oleh FRU demi menyatakan Anwar tidak bersalah.
Hakikatnya, ia tidak berlaku kepada pimpinan sendiri, atau simpati kita, terpilih.
Baru sahaja kita selesai dengan fitnah balak, sekarang kita masuk pula kepada fitnah baharu.
Sedangkal itukah pemikiran kita ahli dan penyokong PAS?
Sering mempercayai fitnah yang dilempar musuh?
Dan lebih menyedihkan lagi, pada kebanyakan isu yang dilemparkan, akhirnya kita dapati ia hanya fitnah atau separuh benar setelah dicampuri dengan unsur-unsur penyedap cerita.
Beginilah cara saya berfikir dan mengambil tindakan jika datangnya sesuatu berita.
Saya berharap, saya memenuhi kehendak ayat 6 dalam surah al-Hujuraat yang menyuruh kita bertabayyun dalam menerima berita.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Terima kasih kepada rakan-rakan yang mendiamkan diri daripada menyebarkan fitnah atau berita tidak sahih.
Semoga kita dilindungi Allah.
Mohd Nasir Abdullah
30 Mei 2021