Lapangan Krisis

Lapangan Krisis

Kedudukan geografi Timur Tengah ialah penghubung tiga benua yang menjadi tumpuan manusia sejak awal dahulu lagi.

Maka, ia menjadi tempat dibina tamadun awal Islam bagi menghadapi jahiliah yang sentiasa bertembung.

Pada masa yang sama, ia menjadi medan pertembungan sejak zaman dahulu dan medan dua Perang Dunia pada abad yang lalu.

Seterusnya, Timur Tengah menjadi medan pertembungan sejak Perang Dingin sehingga hari ini dalam mencetuskan perang proksi yang sedang bergolak kerana dikhadamkan oleh kuasa asing.Malaysia pula terletak di timur dunia Islam.

Peranan Selat Melaka sebagai laluan hubungan laut di antara negara timur jauh dengan Timur Tengah, juga menjadi medan rebutan dan pertembungan kuasa besar sejak zaman penjajah dan ketika dua Perang Dunia serta era Perang Dingin.

Maka setiap perkembangan terkini di Timur Tengah tetap memberikan kesan kepada Malaysia dalam pelbagai aspek.

Khususnya dalam aspek persaudaraan Islam yang disifatkan oleh sabda Rasulullah SAW:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم، مثل الجسد، إذا اشتگی منه عضو، تداعى له سائر الجسد بالشهر والحمى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman itu dari segi kasih sayang, bersimpati dalam kalangan mereka laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh jasad merasanya sehingga berjaga dan demam.”

[Riwayat Muslim 2586]

Hubungan iman merentasi sempadan geografi, perkauman dan mazhab, walaupun ia pernah dijadikan bahan letupan yang pernah memecahbelahkan umat Islam dan faktor kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah pada awal abad yang lalu.

Peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa menandakan hubungan yang diputuskan pada zaman penjajah itu gagal memisahkan sejahil-jahil umat Islam.

Perkara ini menandakan hidupnya kemanisan iman dalam diri umat Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

ثلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الإيمان: من كان الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر بعد أن أنقذه الله منه، كما يكره أن يقذف في النار.

“Sesiapa yang ada dalam dirinya tiga perkara, nescaya dia masih mempunyai kemanisan iman. iaitu Allah dan Rasul lebih dikasihi daripada yang lain. Kasihnya kepada seorang sahabat kerana Allah. Benci menjadi kufur (murtad) setelah diselamatkan oleh Allah daripadanya, laksana tidak mahu dicampak ke dalam neraka.”

[Riwayat al-Bukhari 16 dan Muslim 43]

Maka setiap Muslim itu tidak boleh ditakfirkan dengan mudah dan sesuka hati disebabkan kejahilannya.

Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Minda Tok Guru