Disiplin Umno Terengganu Dipersoalkan

Disiplin Umno Terengganu Dipersoalkan

Bagi saya, ini adalah masalah disiplin, mereka tidak menggunakan ruang dan peluang yang saya berikan untuk mengkritik Kerajaan Negeri bagi apa-apa isu yang berbangkit, sedangkan inilah tempat dan masa yang sesuai bagi pembangkang.

“Saya yakin yang saya sudah memberikan hak yang seadilnya kepada pembangkang dari segi masa dan selainnya sewaktu Sidang DUN yang lalu.

“Rugilah, Ketua Pembangkang juga tidak bercakap, sedangkan mereka sebelum itu membuat beberapa kenyataan di luar Dewan, tetapi tidak menggunakan kesempatan ketika berada dalam Sidang DUN,” ujar Speaker DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai banyak kekosongan kerusi di pihak pembangkang terutama sewaktu sesi penggulungan.

Menurut beliau lagi, apa yang dikesalkan juga ialah, ada ADUN pembangkang yang membangkitkan perkara permusuhan di dalam Sidang DUN, seperti menuduh PAS yang memutuskan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Hal parti tegas beliau, sepatutnya tidak perlu menjadi perkara utama dalam persidangan kerana yang lebih patut diberikan perhatian ialah kemajuan negeri dan keuntungan yang boleh diberikan kepada rakyat, selain tuduhan ADUN itu juga jauh dari kebenaran kerana PAS banyak mendiamkan diri apabila diserang demi menjaga MN.

Namun, ada beberapa perkara yang dibangkitkan pembangkang dalam persidangan kali ini adalah baik yang mungkin boleh dibawa untuk diketengahkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita sebagai kerajaan, menerima apa-apa pandangan yang baik, walau daripada pembangkang sekalipun, demi menjadikan Terengganu lebih baik yang mana hasilnya akan kembali kepada rakyat dan kita akui yang kita tidak sempurna.

“Contohnya kita tidak mendriskriminasikan pembangkang dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk meneruskan peruntukan kepada semua ADUN pembangkang sebanyak RM250,000 itu, jelas menunjukkan kepercayaan kerajaan kepada ADUN yang dipilih secara sah oleh rakyat.

“Tiada pilih kasih kerana yang lebih utama, rakyat menerima bantuan-bantuan yang sepatutnya mereka terima, meskipun melalui ADUN pembangkang,” tegas beliau.

Bagi Dato’ Yahaya, sikap ini juga menzahirkan keikhlasan Kerajaan Negeri dan tidak menyimpan sekelumit dendam kepada pembangkang, kerana sewaktu beliau menjadi ADUN pembangkang dahulu, beliau dan rakan-rakan tidak pernah menerima peruntukan seperti ini.

MOHD NASIR ABDULLAH

Kolumnis