Presiden PAS Kuliahkan Maksud Sebenar ‘Rahmah’

Presiden PAS Kuliahkan Maksud Sebenar ‘Rahmah’

Rahmat adalah kurniaan daripada Allah SWT yang dalam pembahagian pada 100 hari.

Dia berikan satu hari kepada sekalian hamba-Nya di alam dunia, manakala 99 hari lagi disimpan untuk diberikan di Hari Kiamat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas maksud ‘Rahmah’ dalam Kuliah Tafsir Surah Al-Fatihah semasa slot ‘Fikrah Murabbi’ pada Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di i-City Convention Centre (ICCC), di sini hari ini.

“Yang satu inilah binatang-binatang kesian pada anak dia.

“Yang satu inilah haiwan sayang sama dia. Manusia berkasih sayang.

“Yang satu inilah berlakunya adil sesama manusia. Baik sesama manusia.”

Namun katanya, terdapat dalam kalangan manusia hilang atau tidak ada rahmat kerana tidak fikir mengenai kurniaan Allah Taala yang berikan kepada hamba-Nya dalam kalangan Muslim dan kafir.

Jelasnya, rahmat Allah diberi biarpun kepada orang kafir dan pelaku kejahatan di mana mereka tidak terus ditimpakan bala sebaliknya rahmat Allah memberi peluang mereka hidup supaya bertaubat.

Dalam bidang perundangan terangnya, rahmat Allah Taala adalah apabila kehakiman mengikut Islam di mana hendaklah mencari jalan bagi membebaskan orang yang dituduh itu, bukannya menghukum.

“Bukan mesti nak hukum juga macam mana pun, ini tak betul.

“Salah dengan konsep kehakiman dalam Islam, Nabi kata kesilapan seorang hakim membebaskan orang yang dituduh lebih baik daripada kesilapan menjatuhkan hukuman. 

“Dengan sebab itulah Islam membenarkan peguam-peguam disebut dalam kitab fikah, jadi peguam tak berdosa bila bela orang salah.

“Tujuannya untuk mencari point (hujah) yang membebaskan daripada hukuman. Atau yang meringankan hukuman,” jelasnya.

Malah ceritanya, Islam membenarkan ‘wakalah’ bagi pembelaan sebagaimana kisah pernah berlaku kepada Umar al-Khattab RA yang melihat lelaki dan perempuan melakukan maksiat.

Katanya, oleh kerana Umar sebagai Amirul Mukminin tidak dapat mendatangkan empat saksi di mana prosedur ini merupakan rahmat hukum Islam, maka beliau menarik diri dari meneruskan tuduhan.

Dalam aspek ekonomi pula kupas Tuan Guru, Nabi menyebut bahawa Allah rahmat kepada penjual yang bersimpati kepada pembeli dan sebaliknya, termasuk rahmat ke atas pemberi hutang. 

“Kerana harga barang-barang naik kononnya nak bawa projek rahmah. Nabi dah sebut makna rahmat. Rahmat yang menyeluruh dengan makna orang yang menjualnya. Jangan letak harga mahal sangat, menyakitkan orang. 

“Nak untung-untung lebih, itu tak ada rahmat. Tak boleh. Yang untung banyak sangat menyusahkan orang. Yang beli pula, jangan tawar sampai rugi penjual itu. Tak boleh, kena ada rahmat. Yang beri hutang, jangan paksa,” ujarnya.

Demikian itu kata beliau menyuruh sebahagian peniaga menjual murah, tetapi yang lainnya dibiarkan, maka itu bukan maksud rahmat sebagaimana dimaksudkan di dalam ajaran Islam.

Lanjut Tuan Guru lagi, rahmah yang wujud bahkan membezakan Islam dengan teori ideologi manusia seperti kapitalis, sosialis dan komunis yang mementingkan sebahagian kelompok dan mengabaikan sebahagian lain.

Jelasnya, Islam yang wasatiyah terus bertahan dan memelihara kepentingan semua pihak ketika mana ideologi-ideologi manusia semakin merosakkan, runtuh dan akhirnya hancur.

Beliau turut menceritakan mengenai rahmat Allah Taala kepada hamba-Nya yang dimasukkan ke dalam syurga walaupun catatan amal mendapati dia seorang pelaku kejahatan dan dosa.

Selain itu terangnya, rahmat Allah juga membuka hati-hati manusia sehingga hasil daripada kerja dakwah Islam menyebabkan ramai yang memeluk Islam dan berlaku pembukaan wilayah Islam.

Isu Semasa